Friday 31 July 2020

Mahkamah Swiss sabitkan pegawai bank bersalah ‘tutup mata’ dana 1MDB



Mahkamah Switzerland telah mensabitkan kesalahan terhadap seorang pegawai bank kerana gagal untuk memberikan amaran mengenai wang jutaan dolar berkaitan dengan syarikat pelaburan negara 1MDB yang terpalit dengan skandal itu.

Mahkamah Jenayah Persekutuan pada Jumaat berkata pihaknya telah mendapati bank tersebut bersalah kerana melanggar syarat untuk melaporkan transaksi yang mencurigakan dan mengenakan hukuman denda sebanyak $50,000 Swiss franc (AS$55,000) ditambah dengan kos mahkamah.

Keputusan mahkamah itu masih boleh dirayu.

Bekas eksekutif anti pengubahan wang haram di bank swasta Coutts & Co Ltd telah menafikan melakukan kesalahan. Reuters tidak menamakan pesalah itu kerana undang-undang Switzerland mengenai privasi dalam proses mahkamah.

Pihak berkuasa kewangan Swiss, Finma pada tahun 2017 memerintahkan Coutts untuk membayar $6.5 juta Swiss franc kerana melanggar peraturan pengubahan wang haram dalam perniagaannya yang berkaitan dengan 1MDB tetapi menghentikan prosidingnya sendiri terhadap eksekutif itu.

Siasatan Finma mendapati antara tahun 2009 dan 2015, aset bernilai AS$2.4 bilion dipindahkan melalui akaun di Coutts, yang ditubuhkan pada abad ke-18 dan terkenal sebagai bank kepada Ratu Elizabeth dari Britain.

Pendakwaan Switzerland itu memberi amaran terperinci daripada rakan sekerja eksekutif bank Coutts mengenai transaksi oleh Low Taek Jho, atau Jho Low, ahli perniagaan Malaysia yang berkait dengan syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang ditubuhkan pada tahun 2009 oleh kerajaan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Di Malaysia, pada Selasa lalu, Najib didapati bersalah melakukan rasuah dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun pada hari Selasa dalam perbicaraan pertama berhubung skandal 1MDB bernilai berbilion dolar yang luas rangkaiannya hingga ke negara-negara Teluk dan Hollywood.

Low menafikan sebarang salah laku, pada Januari lalu dia berkata dirinya hanya bertindak sebagai perantara untuk perjanjian yang melibatkan 1MDB.

Pegawai Jabatan Keadilan AS (DOJ) menganggarkan AS$4.5 bilion diselewengkan dari Malaysia oleh pegawai dan sekutu peringkat tinggi 1MDB antara 2009 dan 2014 dan kemudian wang itu diubah secara haram melalui negara-negara termasuk AS, Switzerland, Singapura dan Luxembourg.

Thursday 30 July 2020

PH sokong bubar Dun Sabah, kecam sogokan hingga RM32 juta


Pakatan Harapan mengumumkan sokongan penuh kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang bertindak membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah.

Dalam kenyataan bersama tiga pemimpinnya, PH yakin hanya rakyat mampu menewaskan rampasan kuasa jahat yang telah dilancarkan oleh Tan Sri Musa Aman dengan sokongan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Pakatan Harapan mengecam sekeras-kerasnya politik khianat yang dilakukan Musa Aman, PM, Menteri Dalam Negeri dan Perikatan Nasional serta tawaran sehingga RM32 juta seorang termasuk dengan tawaran jawatan timbalan ketua menteri,” kata kenyataan yang ditandatangani oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR), Haji Mohamad Sabu (Presiden AMANAH) dan Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP).

Tambahan pula, katanya, tindakan rampasan kuasa ini dibuat ketika negara dalam usaha membendung wabak Covid-19.

“Nampaknya kesihatan orang ramai bukanlah keutamaan berbanding usaha merebut pangkat dan kuasa,” kata kenyataan itu.

Sehubungan dengan itu, mereka menyeru rakyat Sabah menyokong Datuk Seri Shafie dan parti-parti yang bersekutu dengannya dalam pilihan raya negeri akan datang, “untuk menetapkan semula (reset) politik nasional dengan mengangkat politik berprinsip serta menolak politik lompat parti.”



Wednesday 29 July 2020

Terbukti siapa aibkan maruah Melayu, Mujahid ajak lawan perompak harta rakyat


Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyeru agar masyarakat Melayu bersatu menentang individu yang terlibat dengan rasuah dan merompak harta rakyat.

Dalam catatannya Facebook hari ini, beliau mengimbas perjalanan Pakatan Harapan (PH) sebagai pembangkang yang ketika itu pernah dituduh memfitnah dan berbohong, dalam cubaan mereka mendedahkan isu 1MDB dan SRC.

Beliau berkata, pendedahan mereka sering dijawab dengan bahasa perkauman sehingga dilabel anti Melayu, liberal, tali barut Amerika dan tidak setia pada negara.

Kempen terancang dan dibiayai kerajaan BN pada masa itu juga katanya, telah menuduh pembangkang sebagai khadam DAP yang tunduk pada orang kafir.

“Saya dikatakan khadam DAP dan penganut Islam Liberal! Melayu tertipu dengan skim licik ini supaya orang Melayu Islam asyik sibuk tuduh menuduh sesama mereka.

“Hari ini terbuktilah siapa yang mengkhianati aset negara dan memalukan maruah orang Melayu?

“Bukankah orang Melayu sendiri yang dimalukan dengan rompakan terbesar harta negara abad ini?
Kenapa orang Melayu masih perlu berbalah tentang kesalahan merompak harta negara yang cukup jelas ini?” soalnya.

Justeru katanya, seluruh kerajaan Barisan Nasional (BN) dianggap bersubahat dengan Najib Razak ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri itu, lebih-lebih lagi apabila membayangkan bagaimana jentera kerajaan digunakan untuk menutup isu skandal yang dilakukannua.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, Umno dan Pas giat melaungkan tentang perpaduan Melayu namun bersatu atas nama perompak harta negara.

“Apabila saya memikirkan bagaimana seluruh aparatus kerajaan (BN) digunakan untuk menutup isu ini, saya yakin seluruh kerajaan BN-Umno bersubahat dengan Najib.

“Parti Islam Pas turut memberi ‘nyawa’ penafian kepada Najib sampailah selepas penghakiman bersalah dikeluarkan.

“Alhamdulillah. Disebalik sentimen Melayu dan agama yang digunakan untuk mengalih pandangan rakyat, tidak semua orang Islam dan Melayu terpesong dengan pembohongan itu,” kata Mujahid lagi.

Tuesday 28 July 2020

Kerajaan digesa komited prinsip kebebasan media



Oleh B. Suffian

Kerajaan perlu komited kepada prinsip kebebasan media yang didukung oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), desak Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi.

Beliau menegaskan, kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Sedunia meningkat daripada 145 antara 180 negara kepada 101 di bawah pentadbiran PH.

Buat pertama kalinya, menurut beliau, Malaysia menjadi juara kebebasan media di Asia Tenggara.

“Jika Perikatan Nasional (PN) terus bertindak mengongkong media dan menghalang kerja-kerja wartawan sepertimana yang dilakukan sekarang, saya khuatir kedudukan Malaysia akan merundum dalam indeks kebebasan media kepada seperti di zaman Barisan Nasional (BN) dahulu,” katanya ketika Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Shu Qi berkata, bagi pengamal media dan penggiat demokrasi, kerajaan dilihat seakan-akan melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas media.

Dalam tiga bulan sahaja kerajaan baharu ditubuhkan, tambahnya, seorang wartawan disoal siasat polis semata-mata kerana melakukan kerjanya dan sebuah agensi berita yang lain telah diambil tindakan undang-undang.

Shu Qi menambah, kerajaan perlu menghentikan penggunaan Akta Finas 1981 khususnya seksyen 22(1) terhadap bahan-bahan selain yang diperuntukkan secara sempit dalam undang-undang tersebut bagi industri perfileman.

“Kabinet perlu segera mengadakan perbincangan dengan semua pemegang taruh, untuk merangka rang undang-undang baru bagi meminda Akta Finas 1981 dengan mengambil kira konteks dan keperluan masa kini,” katanya. — Roketkini.com

Najib bersalah, Melayu bersatulah


Pepatah ada mengatakan 'biar lambat asal jangan tak sampai langsung' begitulah kes 1MDB telah mula didedahkan oleh Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan kemudiannya sejak 2011 di parlimen.

Transaksi meragukan dan penipuan terbesar merompak harta negara dirancang begitu rupa sehingga nama pemimpin nombor 1 Malaysia mula dikenali sebagai pemimpin kleptokrat.

Reaksi kepada penghakiman bersalah Najib Razak agak menarik. Ramai orang Melayu dari parti Umno dan PAS dilihat hadir walaupun pertuduhan ke atas Najib melibatkan jenayah terbesar seorang kleptokrat dari pemimpin Melayu dan dari parti Melayu terbesar di dunia.

Dari awal pertuduhan ke atas pemimpin Melayu itu, saya melihat sangat sukar terlepas dari peruntukan perundangan yang ada kerana ia melibatkan penggubahan wang haram dan pecah amanah. Tahap pembuktian terletak pada beban OKT kerana ia melibatkan duit yang jelas dimasukkan dalam akaun OKT.

Bertahun ketika ahli parlimen pembangkang membawa isu 1MDB dan rangkaian rumitnya dari anak syarikat SRC dan sarang antarbangsa lain, kami dari pembangkang ketika itu dikatakan memfitnah dan berbohong.

Isu pendedahan kami dijawab dengan bahasa perkauman, kami ketika itu dikatakan anti Melayu, Liberal dan talibarut Amerika dan tidak setia pada negara.

Kempen terancang dan dibiayai kerajaan waktu itu menuduh kami anti Islam penganut Islam liberal dan tunduk pada orang kafir.

Saya dituduh sebagai khadam DAP dan penganut Islam Liberal!

Melayu tertipu dengan skim licik ini supaya orang Melayu/Islam asyik sibuk tuduh menuduh sesama mereka pada masa mereka sudahpun mencuri duit negara dan Jho Low menunggang pemimpin Melayu bermewah dengan duit curi ini. Melayu tertipu lagi...

Hari ini terbuktilah siapa yang mengkhianati aset negara dan memalukan maruah orang Melayu?

Bukankah orang Melayu sendiri yang dimalukan dengan rompakan terbesar harta negara abad ini? Kenapa orang Melayu masih perlu berbalah tentang kesalahan merompak harta negara yang cukup jelas ini?

Apabila saya memikirkan bagaimana seluruh aparatus kerajaan digunakan untuk menutup isu ini, saya yakin seluruh kerajaan BN/Umno bersubahat dengan Najib. Peguam Negara, media kerajaan, parti Umno dan cybertrooper Umno.

Selain itu parti Islam PAS turut memberi 'nyawa' penafian kepada Najib sampailah selepas penghakiman bersalah dikeluarkan. Bayangkan, parti Umno dan PAS bercakap tentang perpaduan Melayu, bersatu atas nama perompak harta negara?

Apa pun, alhamdulillah... di sebalik sentimen Melayu dan agama yang digunakan untuk mengalih rakyat kepada perompakan ini, tidak semua orang Islam dan Melayu terpesong dengan pembohongan ini.

Orang Melayu ada maruah dan harga diri dipandu dengan Islam yang menentang keras pemimpin yang jahat merompak harta rakyat. Sebab itu orang Melayu memberi mandat kepada Pakatan Harapan untuk menebus maruah yang dicabuli ini walaupun hanya sekitar 30 peratus yang bersolidariti dalam undi menentang kleptokrat Melayu.

Saya mengajak supaya semua orang Melayu bersatu demi satu penghormatan kepada tahap kemuliaan akhlak yang diajar oleh Islam.

Siapa kata Melayu berpecah? Saya yakin perpaduan orang Melayu lebih kuat hari ini dengan pensabitan Najib, dengan syarat jika kita semua bersetuju dan bersatu hati melawan rasuah, melawan pemimpin yang merompak harta rakyat dan melawan penungang agama yang semakin berleluasa.

Bersatulah.

MP DAP gesa kerajaan terus bantu PKS terjejas Covid-19




Kerajaan digesa melancarkan Geran Khas Prihatin (GKP) fasa kedua bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang terjejas ekoran penularan Covid-19.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata terdapat lebihan dana daripada pelaksanaan fasa pertama inisiatif tersebut.

“Peruntukan awal GKP adalah sebanyak RM2.1 bilion untuk 700,000 penerima. Bagaimanapun, sehingga 20 Julai 2020, hanya 545,000 PKS yang permohonnya diluluskan dengan jumlah keseluruhan bayaran sebanyak RM1.64 bilion.

“Lebihan (dana) ini harus dibuka untuk permohonan bagi memberi manfaat kepada 160,000 PKS,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Naib Pengerusi DAP Melaka itu, tempoh permohonan GKP juga terlalu singkat, iaitu dari 1 hingga 15 Mei, berbanding permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang dibuka selama sebulan.

“Banyak PKS yang terlepas pandang skim berkenaan, sebahagiannya disebabkan oleh hebahan publisiti yang kurang efektif oleh kerajaan.

“Perintah kawalan pergerakan (PKP) juga masih dikuatkuasakan semasa tempoh permohonan tersebut, menyebabkan kesukaran untuk pemilik PKS menyediakan dokumen yang diperlukan,” katanya.

Malah, katanya, beliau juga menerima aduan di kawasannya tentang permohonan BPN yang ditolak kerana mempunyai perniagaan yang berdaftar.

“GKP amat penting untuk mereka yang bergantung kepada perniagaan sebagai sumber pendapatan.

“Ini termasuk mereka yang berniaga kecil-kecilan. Mereka ini antara paling terkesan dengan PKP dan ramai daripada mereka masih bergelut untuk bangun semula,” ujarnya.

Geran khas sebanyak RM3,000 disediakan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin PKS) kepada setiap syarikat PKS mikro yang layak. — Roketkini.com

Daulatkan perjuangan rakyat banteras salah guna kuasa, perlukah Pas sokong penyangak?


Biro Undang-Undang (KANUN) AMANAH Nasional mengucapkan tahniah dan syabas kepada rakyat yang telah mengundi Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-14. Hasil daripada perjuangan itu, beberapa orang penyangak wang negara telah pun dibawa ke muka pengadilan.

Kelmarin, Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun disabitkan oleh mahkamah berkaitan kesalahan salah guna kuasa yang membabitkan SRC International iaitu salah sebuah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Begitu juga, pembayaran semula wang negara berjumlah USD3.9 billion oleh Goldman Sachs juga menunjukkan bahawa cerita 1MDB ini bukanlah satu cerita dongeng.

Sebaik sahaja PH mengambilalih tampuk pemerintahan, kerajaan PH telah membongkar dengan bersungguh-sungguh kes 1MDB dan pensabitan Najib ini adalah satu permulaan kejayaan hasil usaha pemimpin PH dan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamed.

Tindakan Perdana Menteri melantik Tan Sri Tommy Thomas sebagai Peguam Negara dan memberikan tugasan khas kepadanya untuk membongkar dan mendakwa pesalah 1MDB adalah tindakan tepat yang memberikan makna besar kepada manifesto PH.

Kerajaan PH juga telah membersihkan institusi penting negara iaitu institusi Peguam Negara dan kehakiman dan memulihkan kepercayaan rakyat kepada kedua-dua institusi tersebut.

Rakyat masih tidak lupa bahawa sebelum PH mengambilalih tampuk pemerintahan, Peguam Negara sebelumnya iaitu Tan Sri Apandi Ali menyatakan bahawa tiada apa-apa kesalahan yang boleh didakwa ke atas penyangak 1MDB. Dengan pensabitan ini, kini terbukti bahawa dakwaan tiada salah laku berkaitan 1MDB adalah palsu.

Justeru, KANUN menggesa supaya mandat rakyat dapat dikembalikan kepada PH supaya usaha-usaha untuk mendaulatkan perjuangan rakyat menerusi manifesto PH dapat diteruskan.

KANUN juga mengesa supaya Pas dapat mengkaji semula kerjasama politik mereka dengan Umno melalui Muafakat Nasional supaya tidak terlihat bahawa Pas juga bekerjasama dengan penyangak 1MDB.

Jika Pas masih meneruskan kerjasama sebegini maka Pas akan dilihat sebagai penyokong kepada penyangak 1MDB dan ini tentu sekali tidak selari dengan perjuangan Islam yang berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah.

KANUN juga ingin mengingatkan Pas bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga beliau didapati bersalah dan kini Najib telah didapati bersalah oleh Mahkamah. Sabitan itu kekal sehinggalah jika ada apa-apa keputusan Mahkamah yang lebih tinggi yang mengakaskan keputusan Mahkamah Tinggi ini.

Sayugianya, Pas tidak terus bersekongkol dengan orang yang telah disabitkan oleh Mahkamah dan patut menfaraqkan kerjasama politik Pas dengan Umno memandangkan ramai lagi pemimpin besar Umno yang masih terpalit dengan kes 1MDB.

Marilah kita sama-sama merenung firman Allah Taala:

“Dan Allah memberikan satu misal perbandingan lagi: Dua orang lelaki, salah seorangnya kelu pekak dari semulajadinya, tidak dapat menyatakan apa yang difikirkannya dan tidak dapat mendengar apa yang dikatakan kepadanya; dan ia pula menjadi beban kepada orang yang menjaganya, ke mana sahaja ia diarahkan pergi oleh penjaganya, tak dapatlah dia membawa sesuatu yang berfaedah; adakah dia (yang demikian sifatnya) sama seperti orang (yang boleh berkata-kata serta dapat) menyuruh orang ramai melakukan keadilan, dan ia sendiri pula berada di atas jalan yang lurus (jalan yang benar)?

[Tafsir Pimpinan Al-Rahman: An-Nahl: 76]

Tahniah rakyat Malaysia, perjuangan tolak kleptokrat berhasil


AMANAH mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia atas kegigihan perjuangan menolak kleptokrat yang akhirnya telah berhasil apabila Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah semalam.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad berkata, kemenangan dalam perjuangan melawan penyangak tidak mungkin tercapai sekiranya rakyat negara ini tidak mempunyai keberanian untuk menukar kerajaan pada 2018.

“Terlalu ramai yang telah berperanan dalam saga ini, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi antara pihak terawal membangkitkan isu ini, iaitu sejak 2012.

“Ucapan terima kasih perlu diberikan juga kepada Tony Pua, Rafizi Ramli dan beberapa yang lain yang telah menjadi juara dalam memastikan isu ini difahami oleh rakyat,” katanya.

Untuk rekod, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (sekarang Damansara) Tony Pua buat pertama kali mendedahkan salah laku dalam 1MDB di Dewan Rakyat pada 2010.

Semalam, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, rasuah dan salah guna kuasa membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Mengulas lanjut, Khalid berkata, siri jelajah penerangan telah menjadi pencetus kepada gerakan menolak kleptokrat oleh rakyat jelata.

“Pimpinan Umno-BN seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal turut terkesan dengan perjuangan ini sehingga mereka terpelanting dari Umno-BN dan kerajaan kerana menolak amalan khianat yang terdapat dalam 1MDB,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Khalid turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Tun Mahatir sebagai Perdana Menteri sebelum ini yang telah memulakan siasatan dan tindakan pendakwaan terhadap Najib atas penyelewengan dan pecah amanah terbabit.

“Ini adalah antara janji terutama di dalam manifesto PH untuk PRU-14 yang jelas telah ditunaikan oleh PH.

“Begitu juga diucapkan terima kasih kepada bekas Peguam Negara, Tommy Thomas dan kakitangan beliau di Jabatan Peguam Negara yang memberikan fokus untuk memastikan pendakwaan terhadap Najib dan semua golongan kleptokrat berasaskan fakta yang kukuh dan tepat sehingga walaupun kerajaan bertukar, usaha pendakwaan dan sabit kesalahan tetap berjaya,” katanya.

Merompak wang negara

Sehubungan itu, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berharap dengan jatuhnya hukuman ke atas Najib itu akan menjadi permulaan kepada kelangsungan tindakan undang-undang terhadap gerombolan kleptokrat yang mencuri dan merompak wang negara.

“Biar semua memahami rakyat ‘Malaysia Baharu’ ini tidak akan menerima amalan rasuah dan kleptokrasi walaupun oleh pihak yang paling berkuasa di dalam bumi bertuah ini.

“Tahniah rakyat Malaysia. Ini kemenangan kita bersama!” tambah Khalid lagi.

Isu kleptokrasi yang dikaitkan dengan Najib dan skandal mega 1MDB melibatkan wang berbilion ringgit menggemparkan negara bahkan dunia menjelang PRU-14 sehingga menyaksikan BN tumbang pada 9 Mei 2018.

Kemenangan PH yang berjaya memperoleh majoriti mudah di 113 kerusi Parlimen manakala BN hanya mampu menang di 79 kerusi Parlimen sekali gus membenamkan 61 tahun pentadbiran BN.

Najib berdepan hukuman penjara 20 tahun


Bagi pertuduhan salah guna kuasa, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang menetapkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau RM10,000 bergantung mana yang lebih tinggi.

Tiga pertuduhan pecah amanah pula dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang menyediakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebatan.

Bagaimanapun Najib,67, akan terkecuali daripada hukuman sebatan berdasarkan kepada faktor usianya.

Baki tiga lagi pertuduhan yang dikenakan pada Najib membabitkan dakwaan pengubahan wang haram.

Untuk itu beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Ia menyediakan hukuman penjara sehingga 15 tahun, denda RM5 juta atau lima kali ganda wang yang terlibat, tertakluk kepada mana yang lebih tinggi.

Selesai Mohd Nazlan menyampaikan keputusannya, ketua pembelaan Najib, Muhammad Shafee Abdullah, membuat permohonan supaya rayuan mereka – yang dibuat sebelum hukuman dijatuhkan – didengar pada Isnin ini.

Bagaimanapun permohonan Shafee dibantah Timbalan Pendakwa Raya Kanan V Sithambaram.

Kalau curi petai boleh dipenjara 15 bulan, kes anak tiri Najib patut dihukum lebih berat



Gobind Singh Deo (PH-Puchong) menggesa kerajaan menjelaskan sekiranya wujud pelanggaran Akta Kontrak berhubung kes ‘melepaskan tanpa dibebaskan’ dari dakwaan pengubahan wang haram, terhadap anak tiri Najib Razak, Riza Abdul Aziz.

Beliau berkata, mengikut seksyen 24, seseorang yang berjanji memulangkan semula nilai harta rompakan dengan syarat dakwaan terhadapnya perlu digugurkan, maka perjanjian tersebut sebenarnya adalah tidak sah dan terbatal di sisi undang-undang.

“(membacakan seksyen 24), Individu A berjanji dengan individu B untuk menggugurkan dakwaan kerana rompakan yang telah dimulakan oleh B.

“B berjanji untuk memulangkan kembali nilai barangan yang dirompak itu. Perjanjian itu adalah batal kerana tujuan tidak sah disisi undang-undang,” katanya ketika ucapan perbahasan dalam sidang Parlimen hari ini.

Peguam tersebut turut mempertikaikan bagaimana satu perjanjian untuk kes sebegitu besar yang telah pun menarik minat seluruh dunia, boleh diselesaikan dengan cara tersebut.

Ini kerana dakwanya, sekiranya satu kesalahan mencuri petai boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga 15 bulan, kes Riza Aziz itu patut dikenakan hukuman lebih berat kerana melibatkan satu jumlah yang cukup besar.

“Adakah satu perjanjian sebegitu sah dalam undang-undang?

“Adakah ini bermakna, jika dalam representasi yang dibuat bahawa kita berjanji akan kembalikan wang yang dirompak atau kita ambil dengan perbuatan rasuah itu, maka dengan keadaan tersebut, pertuduhan itu akan gugur?” soalnya lagi.

Mei lalu, kerajaan dilapor bakal menerima aset luar negara bernilai RM465.3 juta, hasil persetujuan yang dicapai untuk Riza dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan pengubahan wang haram.

SPRM berkata, ia adalah persetujuan dicapai antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi di mahkamah.


Monday 27 July 2020

Najib sah berhubung dengan Jhow Low





Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini berkata, Datuk Seri Najib Razak selaku tertuduh tahu berkaitan transaksi wang ke dalam akaun di AmBank Islamic tetapi tidak mendedahkannya.

Berkaitan akaun bank, Mohd Nazlan berkata, ahli perniagaan paling dikehendaki, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dan Ketua Setiausaha Sulit Najib, Azlin Alias saling berhubung dengan Najib.

Walau bagaimanapun, Mohd Nazlan berkata, Najib tidak bertindak dalam isu pengembalian dana milik SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta atas alasan siasatan masih berjalan.

Hakim berkata tertuduh dimaklumkan bahawa dana itu daripada SRC dan sebagai menteri kewangan beliau ialah pemilik syarikat itu daripada segi undang-undang.

Mohd Nazlan berpendapat Jho Low sepenuhnya faham peranannya dan tiada keraguan bahawa dia berurusan dengan akaun bank Najib.

Menurutnya, sukar untuk mencadangkan Najib sebagai mangsa penipuan Jho Low.

Beliau juga berkata, Najib tidak meminta kepada pegawai-pegawaI kerajaan, terutama di Jabatan Perdana Menteri untuk mengesahkan kesahan “derma” daripada kerabat diraja Arab Saudi.

“Tak konsisten dengan apa yang Raja Abdullah kata di Riyadh,” kata Mohd Nazlan lagi.

Hakim menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Najib berhubung satu pertuduhan menyalahguna kuasa dana RM42 juta dari SRC International.‬

Baki enam pertuduhan lagi sedang dibacakan.

Najib bersalah semua 7 pertuduhan



Najib Razak didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Bekas perdana menteri itu kelihatan tenang semasa hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membacakan keputusan beliau di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kata Mohd Nazlan, pihak pembelaan gagal mewujudkan keraguan yang munasabah ke atas kes yang dibawa pasukan pendakwaan.

Disebabkan itu, kata hakim, pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes ke atas Najib melebihi keraguan yang munasabah.

Kes aneh penganiayaan terhadap Lim Guan Eng



Pendapat oleh Tony Pua, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Damansara di Kuala Lumpur pada Isnin, 27 Julai 2020:

Jika anda memerhati pemimpin-pemimpin UMNO sejak kebelakangan ini, mengikuti cakap-cakap para laskar siber BN di media sosial, ataupun membaca berita dan ruangan pendapat di media arus perdana, jelas terdapat satu usaha bersepadu dan bersungguh-sungguh untuk mencemarkan reputasi Setiausaha Agung DAP dan mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dengan menggunakan isu projek terowong bawah laut Pulau Pinang.

Dan mungkin juga anda pernah terfikir, dengan tahap mengenai perkara itu, pastinya kes ini adalah sebesar skandal 1MDB, sekaligus meletakkan Lim Guan Eng dalam ‘liga’ yang sama dengan bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak.

Lagi pun, kalau ada asap, tentu ada api kan?

Hakikatnya, itulah yang BN dan PN rancangkan – supaya anda dan orang ramai fikir demikian. Oleh itu, jika mereka – laskar siber dan media arus perdana yang menyebelahi PN – terus mengapi-apikan isu tersebut secara besar-besaran, disertakan tindakan yang seolah-olah rutin oleh pihak berkuasa seperti SPRM, bibit-bibit keraguan ditanam dalam minda penyokong, meskipun di kalangan yang paling tegar.

Dalam kes ini, pihak-pihak yang bersekongkol ini telah berjaya mewujudkan ‘asap palsu’ (atau helah) yang berbahaya untuk memberi gambaran ada api yang marak. Bak kata pepatah Inggeris, ‘throw enough mud at the person, and some might just stick’.

Ada di luar sana yang cakap bahawa salah satu syarat untuk UMNO menyertai Kerajaan PN adalah membuka semula kes terhadap Lim Guan Eng yang melibatkan projek terowong bawah laut. Ya betul, ‘buka semula’ kerana kes itu sudah pun disiasat dan ditutup secara rasmi oleh SPRM pada bulan November 2018 kerana sememangnya, tidak ada kes

Justeru, kita melihat SPRM agak sibuk sejak kebelakangan ini, menangkap bekas pembantu Lim Guan Eng, menyoal siasat semua Exco utama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dan sejak seminggu yang lalu, menyoal Lim Guan Eng berjam-jam selama 3 hari.

Yang melucukan, kesemua yang disoal siasat berasa bingung. Mereka diminta, selama berjam-jam, untuk mengesahkan laporan minit-minit mesyuarat kerajaan yang merakamkan dengan teliti proses tender (tawaran) dan penganugerahan kontrak projek terowong bawah tanah tersebut. Walau bagaimanapun, tiada soalan telah ditanya, meskipun kepada Lim Guan Eng, secara terus atau tersirat mengenai sebarang pemberian dana yang tidak betul, rasuah atau gratifikasi yang diberi kepada ‘suspek’.

Bagaimana  pihak berkuasa menyiasat sebuah kes ‘rasuah’ atau ‘pengubahan wang haram’ apabila tiada secebis bukti, walaupun lemah, yang menunjukkan berlakunya pembiayaan atau pemindahan dana?

Sebagai contoh, Dato’ Seri Najib Razak yang didakwa kerana membelanjakan wang berjumlah RM42 juta yang berasal daripada SRC International, di mana sebahagian wang itu telah digunakan untuk membayar bil kad kredit kepunyaannya dan bil membeli-belah isterinya, Rosmah di Hawaii. Beliau turut didakwa kerana menerima sekurang-kurangnya RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadinya, yang mana, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat telah mengesahkan bahawa wang itu berasal dari 1MDB.

Dalam kes-kes Najib, bukti perbuatan rasuah tersebut – iaitu penggunaan wang – adalah jelas. Dalam kes Guan Eng, di sebalik semua ‘petir dan guruh’, bukti wang atau gratifikasi yang dituduh berlaku tidak wujud.

Namun begitu, fakta-fakta ini semua tidak penting bagi mereka yang mempunyai agenda untuk mencemarkan imej Guan Eng, dan pada masa yang sama, merosakkan reputasi dan integriti parti DAP serta Pakatan Harapan.

Sebagai contoh, ada satu artikel oleh Tay Tian Yan, Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sinchew Daily pada Jumaat lalu bertajuk ‘Guan Eng dan Najib kedua-duanya ditimpa nasib malang’.

Dalam kes Najib, mahkamah telah memberikan satu penghakiman terus untuk beliau membayar RM1.69 bilion cukai tertunggak. Keputusan oleh mahkamah itu jelas memberi gambaran bahawa Najib telah mengelak membayar cukai sehingga berbilion ringgit. Dalam kes Guan Eng, beliau telah diminta oleh SPRM untuk memberi keterangan. Tiada pendakwaan telah difailkan, tiada juga kes terhadapnya.

Tetapi, Timbalan Ketua Pengarang Sinchew Daily tersebut menyamakan Najib dan Guan Eng dengan niat jahat untuk mendorong para pembaca untuk melihat Guan Eng sebagai pesalah dan berskandal seperti Najib. Pandai dan licik kan?

Hakikatnya, UMNO, BN dan PN, juga pihak media yang berperanan sebagai ‘tukang sorak’ yang kini gigih berusaha mereka kes palsu terhadap Lim Guan Eng, membuktikan kepada kita semua bahawa meskipun dengan kesemua kuasa dan jentera kerajaan yang ada di tangan kerajaaan, mereka tidak dapat mengemukakan sebarang penyalahgunaan kuasa, rasuah atau pecah amanah oleh ketua parti DAP.

Walaupun selama dua tahun Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, mereka gagal memperoleh sebarang bukti penyalahgunaan kuasa. Saya pasti, dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini sejak kerajaan baharu memegang tampuk kuasa, pihak-pihak berkuasa berkaitan telah diarahkan untuk menggali dengan mendalam apa jua salah laku yang boleh digunakan untuk membabitkan Lim Guan Eng, atau sekurang-kurangnya, untuk mencemarkan reputasinya.

Tetapi jelas, mereka tidak menjumpai apa-apa; tiada kontrak untuk kroni, tiada penyalahgunaan proses, tiada aktiviti membeli-belah peribadi yang mewah. Jadi, mereka pun terpaksa membuka semula  kes terowong bawah laut yang sudah lama ditutup.

Kenapa SPRM menutup fail kes sebelum ini? Jawapannya mudah; projek itu dianugerahkan menerusi tender terbuka. Projek telah dinilai oleh sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, iaitu seorang penjawat awam, dan bukan Lim Guan Eng. Dan tiada sesen pun dibayar oleh kerajaan negeri untuk projek terowong, yang mana ia hanya akan bermula setelah syarikat kontraktor Zenith Construction Sdn Bhd memperoleh semua kelulusan perancangan dan persekitaran yang diperlukan, serta dana yang diperlukan untuk melaksanakan projek tersebut.

Saya jijik dengan penyalahgunaan kuasa politik oleh mereka yang memegang kuasa sekarang, yang berlaku di depan mata kita. Saya juga jijik dengan personaliti media yang menjadi pak turut kepada kerajaan hari ini. Tidak banyak perbezaan antara rejim hari ini dan pemerintahan Najib Razak yang kita kalahkan pada tahun 2018.

Oleh itu, ada juga hikmah di sebalik semua perkembangan ini, jika kita dapat menjatuhkan kerajaan Najib Razak yang sangat berkuasa semasa ia memerintah, maka kita pasti mampu melakukan perkara yang sama kepada rejim Perikatan Nasional yang jelas tidak bersehaluan. — Roketkini.com

Adakah Putrajaya tukar perjanjian dengan Goldman Sachs, soal Guan Eng





ADAKAH Malaysia mengubah perjanjian penyelesaian tuntutan dengan firma kewangan antarabangsa, Goldman Sachs apabila sekadar mendapat bayaran tuntutan AS$3.9 bilion (RM16.63 bilion), soal Lim Guan Eng.

Dalam satu kenyataan, setiausaha agung DAP itu mempersoalkan sama ada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melepaskan Goldman Sachs dengan sebegitu mudah, sedangkan sebelum ini Malaysia telah menuntut pembayaran sebanyak AS$7.5 bilion atas penglibatan firma itu dalam skandal 1MDB.

Terus usaha pulihkan mandat PRU14


Kenyataan bersama Mohamad Sabu, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), dan Lim Guan Eng, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), pada 27hb Julai 2020

“Jalan ke depan ialah dengan memberikan peluang pertama kepada Datuk Seri Anwar dan sekiranya beliau gagal, Datuk Seri Shafie wajar diberikan peluang yang serupa; kedua-duanya dengan berasaskan sokongan kukuh 109 orang Ahli Parlimen.”

Sejak Langkah Sheraton oleh bekas Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan yang telah mengkhianati mandat rakyat pada pilihan raya 2018, parti AMANAH dan DAP telah bekerja untuk memulihkan semula mandat tersebut; menjadi jambatan bagi kelima-lima parti pembangkang yang membentuk Pakatan Harapan Plus.

AMANAH dan DAP dipandu prinsip-prinsip asas berikut:

Pertama, pentingnya setiakawan kesemua pasukan dan parti anti-Perikatan Nasional, yang diwakili oleh 109 Ahli Parlimen yang menentang penukaran Speaker Parlimen yang dilakukan secara tidak demokratik dan sewenang-wenangnya;

Kedua, persoalan mengenai siapa akan menjadi Perdana Menteri seterusnya tidak wajar menjadi halangan dalam usaha memulihkan mandat rakyat. Pilihan untuk terus kekal menjadi pembangkang hanya kerana kita gagal berkompromi untuk jawatan Perdana Menteri adalah tidak boleh diterima. Kegagalan untuk mencapai kesepakatan mengenai calon Perdana Menteri menunjukkan bahawa obsesi terhadap jawatan Perdana Menteri adalah lebih penting berbanding mandat pilihan raya rakyat Malaysia pada tahun 2018;

Ketiga; manifesto pilihan raya umum Pakatan Harapan pada tahun 2018 harus terus menjadi asas urus tadbir kerajaan PH Plus.

Sebagai rekod, AMANAH dan DAP memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri pada 26 Februari.

Pada 28 dan 29 Februari, Parti Keadilan Rakyat, AMANAH dan DAP kembali mewujudkan semula gabungan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan menyokong Tun sebagai Perdana Menteri dalam usaha menghalang tertubuhnya sebuah kerajaan yang bukan pilihan rakyat.

Antara bulan Mac dan Mei 2020, AMANAH dan DAP telah sepenuh hati mengajukan supaya gabungan besar yang menang dalam PRU 2018 dibina semula, iaitu PKR, DAP, AMANAH, Warisan dan kumpulan Tun Dr Mahathir dalam Bersatu.

Pada 30 Mei, selepas kebuntuan yang berlanjutan, Majlis Presiden Pakatan Harapan membuat keputusan untuk mempertimbangkan dua pilihan:

Pilihan Pertama - Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri;

Pilihan Kedua - Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, dengan peralihan kuasa dalam tempoh 6 bulan.

Beberapa sesi rundingan dijalankan sehingga PKR secara rasminya menolak pilihan kedua pada 19 Jun.

Dengan tujuan untuk mencari jalan keluar, pimpinan AMANAH, DAP dan Warisan serta kumpulan Tun Dr Mahathir mengadakan mesyuarat tidak rasmi bagi mencari pilihan-pilihan lain pada 25 Jun di Rumah Tetamu Sabah, Kuala Lumpur.

Tun Dr Mahathir telah menerangkan dalam mesyuarat tersebut bahawa beliau tidak berniat menjadi Perdana Menteri untuk kali ketiga. Beliau menawarkan diri sebagai calon Perdana Menteri hanya untuk membantu menewaskan kerajaan Perikatan Nasional yang tidak mempunyai mandat rakyat dan memulihkan kembali mandat PRU 2018.

Dalam konteks ini, Lim Guan Eng telah mencadangkan, dengan sokongan Mohamad Sabu, supaya Datuk Seri Shafie Apdal dijadikan calon ketiga untuk membantu meleraikan kebuntuan antara Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar.

Tun Dr Mahathir dengan senang hati bersetuju terhadap cadangan menjadikan Shafie calon Perdana Menteri dalam masa dua minit sahaja selepas ia diajukan oleh AMANAH dan DAP. Tun Dr Mahathir menegaskan bahawa ia bukan soal sama ada beliau kembali menjadi Perdana Menteri, tetapi soal menyelamatkan negara dan memulihkan mandat rakyat.

Selain mengurangkan rasa tidak senang PKR terhadap Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Shafie akan menjadi pilihan bersejarah sebagai pemimpin pertama dari Sabah atau Sarawak yang dicadangkan sebagai Perdana Menteri.

Pemimpin AMANAH dan DAP yang menghadiri mesyuarat tidak rasmi itu, kemudiannya memaklumkan Tun Dr Mahathir dan mereka yang lain bahawa pilihan baharu Shafie ini perlu dibawa kembali untuk perbincangan bersama pimpinan parti masing-masing dan kemudian dibincangkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Kami menegaskan bahawa bilangan 109 Ahli Parlimen perlu menjadi asas untuk memulihkan kerajaan; bukan perkumpulan setakat 91 Ahli Parlimen tanpa Warisan dan kumpulan Tun dalam Bersatu, atau hanya 71 Ahli Parlimen tanpa PKR. AMANAH dan DAP berkongsi perasaan kecewa dalam kalangan rakyat Malaysia bahawa walaupun dengan 109 kerusi di Parlimen menentang PN walaupun ditawarkan jawatan menteri dan GLC, kita masih gagal menuntut semula mandat rakyat.

Kami tidak bersetuju dengan idea bahawa Pakatan Harapan boleh berunding dengan sesiapa sahaja dengan berbekalkan 91 kerusi, dengan mengesampingkan kumpulan Tun Dr Mahathir dan Warisan. Kami juga tidak bersetuju dengan idea bahawa perubahan boleh berlaku dengan hanya 71 Ahli Parlimen, tanpa penglibatan 38 Ahli Parlimen PKR.

Kami berpendapat bahawa sama ada Anwar atau Shafie, dengan berbekalkan 109 Ahli Parlimen, sesiapa yang berjaya mendapat angka untuk mencukupkan angka 112 Ahli Parlimen, wajar diberi peluang mengetuai kerajaan gabungan itu nanti sebagai Perdana Menteri.

Ada yang menyebut bahawa memandangkan pembangkang tidak dapat menyelesaikan persoalan calon Perdana Menteri, kita patut terus kekal sebagai pembangkang dan menunggu pilihan raya seterusnya. Kami tidak berpendapat begitu. Sebarang formula untuk menang dalam PRU seterusnya secara sendirian sebagai Pakatan Harapan atau tanpa Pakatan Harapan adalah formula yang sukar. Hanya Pakatan Harapan Plus yang melibatkan Pakatan Harapan, Warisan dan kumpulan Tun merupakan kombinasi boleh menang dalam PRU akan datang. Kekuatan bersama ini mesti menjadi premis asas, bukannya perkumpulan pembangkang yang berpecah-belah dan lemah.

Malahan, pilihan untuk berputus asa daripada menuntut semula kuasa kerajaan bukan sahaja tidak bertanggungjawab, bahkan merupakan pengkhianatan terhadap pilihan rakyat pada 9 Mei 2018. Dengan tidak mencuba untuk menuntut kembali mandat itu secepat mungkin, kita hanya mengabsahkan Langkah Sheraton, sebuah kerajaan tanpa mandat, kesemua dasar-dasarnya yang tidak demokratik dan paling penting sekali, ketiadaan iltizam politik untuk membanteras rasuah dan memupuk ketelusan dalam urus tadbir. Ini tidak boleh dibiarkan berlaku.

Jalan ke depan ialah dengan memberikan peluang pertama kepada Datuk Seri Anwar dan sekiranya beliau gagal, Datuk Seri Shafie wajar diberikan peluang yang serupa; kedua-duanya dengan berasaskan sokongan kukuh 109 orang Ahli Parlimen.

Pada masa yang sama, 109 orang Ahli Parlimen dan kelima-lima parti Pakatan Harapan Plus iaitu AMANAH, DAP, PKR, Warisan dan kem Tun Dr. Mahathir dalam Bersatu harus memastikan hubungan kerjasama yang erat untuk memainkan peranan sebagai blok pembangkang yang berkesan dan bersatu untuk:

•Membina harapan dalam detik yang sukar ketika krisis politik, ekonomi, dan Covid-19;

•Membina keyakinan dan perpaduan nasional rakyat Malaysia ketika berhadapan sentimen perpecahan Perikatan Nasional;

•Mendedahkan salah guna kuasa dan skandal seperti 1MDB dan menjuarai tadbir urus yang berintegriti;

•Memperkukuhkan keselamatan ekonomi dan solidariti ekonomi bersama rakyat Malaysia menghadapi krisis ekonomi paling getir dalam beberapa generasi, yang dicetuskan oleh Covid-19;

•Menawarkan cadangan dan dasar alternatif bertunjungkan pengalaman, kepakaran dan kebolehan yang diperolehi Pakatan Harapan semasa menerajui tampuk pemerintahan.

Mohamad Sabu
Presiden,
Parti Amanah Negara (AMANAH)

Lim Guan Eng
Setiausaha Agung,
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Sunday 26 July 2020

RUU355 bukan keutamaan tetapi sandiwara Pas raih sokongan politik


Isu pelaksanaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU355 yang dibawa Pas semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), jelas membuktikan bahawa ianya diangkat semata-mata untuk meraih sokongan politik.

Pengarah Biro Mobilisasi AMANAH Nasional, Mohd Sany Hamzan berkata, meskipun sudah berada dalam kerajaan, Pas gagal meletakkan agenda tersebut sebagai keutamaan mereka seperti mana ketika isu tersebut dihangatkan.

“Perkembangan ini turut disokong dalam ucapan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengatakan bahawa ketika Pas menjadi pembangkang, mereka membawa isu tersebut tanpa memikirkan realiti sebenar bagaimana pindaan undang-undang mempunyai prosedur yang panjang dan perlu dirujuk kepada perlembagaan Persekutuan.

“Ternyata Pas hanya menjadikan isu tersebut sebagai desakan bermotifkan politik ketika berada di barisan pembangkang dan bersikap sambil lewa pula setelah memegang kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Ahmad Marzuk Shaari berkata, proses membentangkan RUU355 di Parlimen mengambil masa yang agak lama dan tidak boleh dilakukan dalam tempoh tiga bulan selepas Pas menjadi parti kerajaan.

Katanya, pelaksanaan RUU berkenaan perlu mengikut tertib tertentu jika dibawa oleh kerajaan, berbeza dengan sewaktu mereka menjadi pembangkang.

Sementara itu, Tuan Ibrahim dalam ucapan semalam berkata, dahulu mereka mendesak dan bersikap berapi-api agar PH melaksanakan RUU, disebabkan Pas bukanlah sebahagian daripada kerajaan.

Malah katanya, adalah mudah ketika menjadi pembangkang kerana mereka tidak perlu memikirkan prosedur pelaksanaan RUU berkenaan yang sepatutnya difikirkan oleh kerajaan ketika itu.

“Dulu suruh saja, tapi sekarang sebab kita kerajaan maka prosedur itu kita terpaksa tempuh sebab kita yang mengurus. Ada orang kata khususnya puak-puak PH duduk serang, di mana suara lantang PAS sebelum ini? Dulu berapi-api, memanglah dulu berapi sebab pembangkang, dulu berapi,” kata Tuan Ibrahim.

Justeru, Sany berkata, beliau mengajak penyokong-penyokong Pas untuk menilai semula pendirian terhadap parti itu selepas memegang tampuk kuasa.

Menurutnya, negara sudah menyaksikan begitu banyak pendirian dan kenyataan yang bercanggah ketika Pas menjadi pembangkang dan selepas berperanan sebagai kerajaan.

“Saya menyeru seluruh ahli dan penyokong Pas yang masih mempunyai kesedaran bagi memperjuangkan isu rakyat untuk bersama dengan kami dalam AMANAH.

“AMANAH terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang ikhlas untuk berjuang berasaskan kepada prinsip dan menolak sebarang agenda mempermainkan rakyat dengan isu-isu agama dan kaum,” katanya lagi.

Saturday 25 July 2020

Hasil peninggalan kerajaan Najib Razak bebankan negara




Usaha Pakatan Harapan (PH) dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah berjaya membuahkan hasil.

Sejumlah besar dana yang diseleweng ketika zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib Razak telah dibawa kembali ke Malaysia.

Namun, usaha tersebut tidak harus terhenti di sini. Sebelum ini, Malaysia telah memperolehi US$620 juta (RM2.6 bilion) dari Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS).

Terbaharu, bank pelaburan Goldman Sachs bersetuju membayar pampasan bernilai US$3.9 billion (RM16.6 bilion). Bayaran ini menunjukkan pendedahan skandal kleptokrasi tersebut selama ini adalah berasas dan bukan tohmahan.


Justeru, jumlah itu harus digunakan secara telus untuk menebus tiga bon 1MDB yang akan tamat tempoh pada 2022 dan 2023. Malaysia harus membayar US$3.5 bilion (RM15 bilion) pada 2022 untuk menebus dua bon, dan US$3 bilion (RM12.8 bilion) pada 2023.

Penebusan bon-bon tersebut sangat mustahak supaya Malaysia tidak lagi terbeban dengan bayaran faedah setiap tahun. Untuk tiga bon itu sahaja, Malaysia membayar faedah sebanyak US$338.66 juta (RM1.44 bilion) setiap tahun.

Ini tidak termasuk bayaran faedah tahunan RM287.5 juta untuk sukuk 1MDB yang tamat tempoh pada 2039. Inilah hasil peninggalan kerajaan Najib Razak untuk rakyat Malaysia.

Memandangkan 1MDB adalah milik penuh kerajaan Malaysia, maka kegagalan 1MDB melunaskan hutangnya akan memberi impak terus kepada negara.

Sehubungan itu, kedudukan kewangan syarikat tersebut harus terus dipantau dan ditadbir dengan telus.

Saya menggesa agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus melaporkan status terkini dana 1MDB yang dipulangkan dan keadaan liabiliti syarikat tersebut seperti yang telah dilaporkan oleh PH sebelum ini dalam Tinjauan Fiskal 2020.

Rakyat berhak mengetahui perkembangan isu ini secara terbuka dan telus.

Siasatan dan pendakwaan berhubung skandal mega 1MDB hendaklah diteruskan dan dilengkapkan terutama terhadap Najib Razak yang didakwa terlibat dalam penyelewengan wang 1MDB ini termasuk penerimaan wang berjumlah US$681 juta (RM2.6 bilion) hasil urusniaga tiga bon haram yang diatur Goldman Sachs.

*FAIZ FADZIL merupakan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional merangkap ADUN Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Tuduh PH Melaka jual aset bumiputera jelas berniat jahat



Bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari menyifatkan tuduhan mengatakan Kerajaan Pakatan Harapan Melaka menjual aset bumiputera bagi perbelanjaan bolasepak adalah suatu fitnah yang tidak berasas dan jelas berniat jahat.

Pengerusi Pakatan Harapan Melaka itu juga berkata, hartanah bumiputera di Melaka yang tidak terjual dianggarkan sekitar RM800 juta.

Daripada itu katanya, pada zaman BN, hartanah bumiputera yang hendak dilepaskan atau dijual kepada bukan bumiputera dikenakan levi sebanyak 6% yang akan dimasukkan sebagai hasil kerajaan negeri untuk dibelanjakan.


Namun, katanya selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, levi pelepasan aset bumiputera dinaikkan pada kadar 10% hingga 20% bagi aset komersial.

“Untuk memastikan bumiputera mendapat manfaat dari aset yang tidak terjual, maka kerajaan PH telah menubuhkan Danaharta Bumiputera dan levi yang dipungut disalurkan ke dalam Danaharta Bumiputera,” katanya.

Beliau menambah, jumlah levi terkumpul dalam tempoh PH memerintah adalah RM19 juta disamping RM33 juta telah diluluskan.

Tegasnya, Kerajaan PH juga komited menggunakan Levi ini hanya bagi dua tujuan sahaja iaitu bantuan perumahan kepada kumpulan B40 dan M40 dan bantuan Mikro Kredit kepada usahawan Bumiputera.

Sebagai makluman, agihan Danaharta Bumiputera disalurkan melalui Amanah Finance House atau kini dijenamakan sebagai Melaka Finance House.

Justeru beliau berharap Danaharta Bumiputera yang ditinggalkan PH sebanyak RM33 juta dapat diteruskan oleh Kerajaan Negeri Melaka kini.

Hakikatnya kerana PH menanglah, kita berjaya dapat balik duit 1MDB




Majlis Presiden Pakatan Harapan mengambil maklum pemulangan RM16.6 bilion (USD3.9bilion) dalam penyelesaian di antara Kerajaan Malaysia dan syarikat Goldman Sachs, berkait salah laku dan penyelewengan dalam kes 1MDB. Ini menjadikan keseluruhan wang rakyat yang telah dipulangkan setakat ini berjumlah RM19 bilion. Walau bagaimanapun, proses keadilan dalam isu 1MDB masih belum selesai dan mesti diteruskan hingga ke penghujungnya.

Majlis Presiden mengingatkan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan tidak bersetuju dengan tawaran Goldman Sachs sebelum ini untuk hanya memulangkan USD1.75 bilion, kerana jumlah penuh yang dituntut adalah USD7.5 bilion.

Proses pemulangan wang dari Goldman Sachs ini sebenarnya hanya bermula dengan kemenangan Pakatan Harapan dan kekalahan Barisan Nasional pada PRU14. Majlis Presiden mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam usaha ini, termasuk Peguam Negara pada ketika itu yang telah memulakan proses perundangan demi mendapatkan keadilan buat rakyat Malaysia.


Pemulangan wang ini juga menjadi bukti wujudnya pelbagai salah laku dan kebobrokan pada zaman itu. Pakatan Harapan menegaskan bahawa semua watak utama di dalam kes ‘scam’ 1MDB mesti diadili di mahkamah, termasuk individu yang dinamakan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) sebagai “MO1” dan Low Taek Jho (Jho Low) yang sehingga kini belum ditahan. Mereka tidak boleh dibenarkan bebas begitu sahaja.

Sumber :https://www.facebook.com/197799207237326/posts/1243055836044986/

Friday 24 July 2020

Lesen Finas : Setelah teruk digasak netizen akhirnya menteri ‘U-Turn’


Pengguna media sosial bebas memuat naik video seperti biasa tanpa mememerlukan lesen daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.

“Pengguna media sosial bebas menggunakan platform yang sedia ada seperti TikTok, YouTube dan sebagainya, termasuk menghasilkan dan memuat naik video seperti biasa tanpa perlu memohon lesen atau bimbang didakwa oleh Finas,” katanya.

Katanya perkara itu antara perkara yang dipersetujui kabinet hari ini.

Saifuddin semalam dikritik hebat selepas berkata penerbit filem wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem serta Surat Perakuan Penggambaran (SPP) tidak kira media arus perdana atau media personal yang menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada keperluan lesen itu turut terpakai ke atas pihak yang menggunakan platform media sosial seperti Instagram dan TikTok.

Isu lesen itu muncul selepas kerajaan memutuskan untuk menyiasat sama ada Al-Jazeera mempunyai lesen selepas menerbitkan dokumentari berkaitan layanan kerajaan terhadap pekerja asing ketika Covid-19.

Sementara itu, kabinet juga, kata Saifuddin Abdullah, memberi komitmen untuk mendukung kebebasan media dan hak kebebasan individu di media sosial serta akan meminda Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981.

Pindaan itu, katanya lagi, akan mengambil kira situasi semasa.

Saifuddin berkata, pada 20 Jun lalu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) telah memulakan usaha meminda akta-akta bawah pengawasan kementerian agar bersesuaian dengan situasi semasa.

“Kerajaan akan memulakan proses meminda akta-akta tersebut dalam masa terdekat,” katanya.

Thursday 23 July 2020

RUU355 : Salahkan DAP langkah paling mudah tutup kegagalan sendiri





Saya pernah dituduh ‘pengkhianat agama’ dan ‘penganut ajaran DAP’ hanya kerana mempersoalkan kewajaran usul untuk meminda Akta 355 ini dibawa oleh ahli persendirian dan bukannya melalui usul kerajaan.

Walhal argumen kami jelas, isu RUU355 itu hanya perlu dibawa oleh pihak kerajaan sendiri tanpa perlu dipolemikkan sementelah UMNO selaku parti kerajaan ketika itu, turut menyokongnya!

Masakan menteri yang memegang portfolio agama ketika itu sendiri turun ke Padang Merbok, bahkan beliau menyampaikan pula ‘salam’ oleh Perdana Menteri kepada para peserta Himpunan 355? Maka apa lagi halangan untuk kerajaan sendiri membentangkan usul pindaan Akta 355 secara terus di Parlimen ketika itu?

Sebaliknya siapa yang kalian salahkan? DAP, DAP dan DAP!

Nah, hari ini, DAP bukan lagi sebahagian parti kerajaan malah kerajaan yang dikatakan diwakili majoriti pemimpin-pemimpin Melayu-Islam dalam kabinet mahupun Dewan Rakyat, namun mengapa tiada langsung keutamaan mengangkat usul dan isu RUU355 ini yang dahulunya kalian amat-amat mahu ianya dilaksanakan segera bagaikan tiada lagi hari esok?

Bahkan jawapan Timbalan Menteri Agama di parlimen hari ini, dilihat seolah-oleh kerajaan mahu mengelak langsung daripada menyelesaikan secara tuntas isu RUU355 yang pernah menjadi ‘hantu’ dan penyebab betapa ramai umat Islam dikafirkan dan dimunafikkan semata-mata kerana tidak bersetuju dengan usul pindaan tersebut suatu ketika dahulu.

Malah jawapan Timbalan Menteri itu juga seakan mengiyakan betapa argumen kami suatu ketika dahulu itu amat berasas. Tapi sebaliknya kami dituduh penentang Islam dan hukum Tuhan?

Apakah masih tidak cukup kuat kedudukan pendokong-pendokong atau pejuang-pejuang RUU355 dalam kerajaan hari ini? Apakah tokoh ‘wira RUU355’ yang diangkat menjadi Menteri Undang-undang hari ini, tidak ada kekuatan untuk memberi keutamaan membawa perjuangan yang dikatakan ‘nyawa’ kepada parti kalian itu?

Bahkan seorang mantan Mufti yang turut bersama-sama berikrar di Padang Merbok memperjuangkan isu RUU355 ketika himpunan yang kalian anjurkan dahulu, hari ini dilantik menjadi Menteri Agama dan bertanggungjawab langsung terhadap undang-undang syariah ini, justeru apa lagi yang diragukan?

Tidakkah kalian rasa bersalah menipu ahli-ahli parti di bawah sana yang bermati-matian percaya perjuangan yang kalian bawa dan bergolok bergadai menghadiri perhimpunan yang akhirnya menjadi kerja sia-sia di tangan kalian?

Maaflah, saya pernah menuduh bahawa isu RUU355 adalah sandiwara politik yang sengaja dimainkan oleh pemimpin-pemimpin Melayu-Islam secara khususnya UMNO dan PAS. Bahkan isu ini adalah kemuncak agenda pembodohan untuk mengapi-apikan sentimen di kalangan orang-orang Melayu-Islam.

Hari ini, saya sama sekali tidak akan menarik balik tuduhan di atas kerana ia ternyata benar. AlhamduliLlah ijtihad keluar PAS dahulu adalah tepat!

Moga umat Melayu hari ini juga tidak terus diperbodohkan pemimpin-pemimpin politik yang hanya mempergunakan agama dan bangsa demi laba politik singkat.

ALlahulmusta’an.

Sumber :https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10220239724857607&id=1662272410

Slogan kempen produk Malaysia tidak harus ditukar



Adakah slogan ‘Sawit Anugerah Tuhan’ yang digunakan dalam kempen kesedaran tentang minyak sawit keluaran Malaysia menyasarkan warga Malaysia atau masyarakat antarabangsa?

Itu soalan mantan Menteri Industri Utama, Teresa Kok kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali.

Teresa berkata, sekiranya ia merupakan kempen yang menyasarkan masyarakat antarabangsa, maka slogan bagi kempen penerangan sawit tersebut haruslah kekal ‘Love MY Palm Oil’ atau ‘Sayangi Sawitku’.

“Ia tidak haruslah bertukar hanya kerana pertukaran kerajaan ataupun pertukaran menteri demi menunjukkan kesinambungan mesej di masyarakat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sebelum ini dilaporkan menjenamakan semula kempen ‘Sayangi Sawitku’ kepada nama baharu iaitu ‘Sawit Anugerah Tuhan’.

Jelas Teresa, meskipun berasa lega kempen kesedaran minyak sawit keluaran Malaysia yang dimulakan beliau diteruskan kerajaan hari ini, namun beliau kesal apabila slogan ‘Sayangi Sawitku’ diubah kepada ‘Sawit Anugerah Tuhan’.

Sawit sememangnya anugerah tuhan kepada dunia, katanya, tetapi apabila kempen ‘Sayangi Sawitku’ dilancarkan, ia tidak menyasarkan warga Malaysia sahaja.

Sebaliknya, menurut Ahli Parlimen Seputeh itu, beliau juga menjalankan kempen yang menyasarkan warga asing dan masyarakat antarabangsa dari Malaysia, iaitu ‘from Malaysia, we speak to the world’.

“Itu sebab kami mewujudkan slogan dalam bahasa Inggeris ‘Love MY Palm Oil’, MY bermaksud Malaysia. Slogan dalam bahasa Inggeris ini untuk ‘sambil menyelam minum air’,” ujarnya.

Beliau memberitahu, minyak sawit dan produk sawit merupakan eksport negara yang ketiga besar dan cabaran yang dihadapi oleh industri sawit Malaysia adalah persepsi negatif dunia terhadap minyak tersebut.

Tambahnya, industri sawit dan kerajaan tidak mempunyai dana yang cukup untuk menjalankan publisiti dan penerangan tentang minyak sawit kita di seluruh dunia.

Oleh itu, beliau menjelaskan, pihaknya melancarkan kempen ‘Love MY Palm Oil’ untuk memberi penerangan tentang sawit dari Malaysia ke seluruh dunia.

“Sekiranya tidak berlakunya pertukaran kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) ke Perikatan Nasional (PN) dalam Februari tahun ini, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan saya memang telah berancang untuk mengadakan kempen ‘Sayangi Sawitku’ di seluruh negara bersama dengan program Tahun Melawat Malaysia 2020 oleh Kementerian Pelancongan.

“Ini adalah supaya pelancong asing yang datang ke Malaysia boleh mendapat maklumat tentang kebaikan sawit di Malaysia,” katanya. –Roketkini.com

Youtuber pun kena ambil lesen Finas, Panas!!! – Menteri Saifuddin




Semua aktiviti penggambaran memerlukan lesen daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah.

Malah, beliau turut membayangkan penyedia kandungan video platform dalam talian seperti YouTube (YouTuber) mungkin terikat dengan Akta Finas 1981 (Akta 244).

Saifuddin berkata, semua agensi media arus perdana atau media individu yang menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi terikat dengan undang-undang itu.

Beliau berkata, mana-mana individu tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam aktiviti mengeluar, mengedar dan mempamerkan filem melainkan memiliki lesen berdasarkan Seksyen 22 (1) akta sama.

“Kementerian Komunikasi melalui Finas berfungsi mengawal selia aktiviti perfileman bagi memelihara dan memajukan industri filem.

“Finas mengeluarkan 3 jenis lesen kepada industri perfileman iaitu lesen pengeluaran filem dan video, lesen pengedaran filem dan lesen pempameran filem dan video.

“Penerbit filem wajib memohon lesen pengeluaran filem dan surat perakuan penggambaran (SPP) tidak kira mereka adalah agensi media arus perdana atau ‘media personal’ yang menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi,” katanya.

Saifuddin turut menjelaskan setiap filem, dokumentari, filem kecil iklan atau apa-apa rakaman bahan dan video untuk dipertonton orang ramai perlu mematuhi undang-undang.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) adakah semua penerbit filem termasuk dalam platform media sosial perlu memohon lesen pengeluaran filem dan SPP di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam soalan tambahan, ketika Shu Qi cuba mendapatkan kepastian adakah media sosial juga terikat, Saifuddin dilihat tidak menjawab sebaliknya hanya memperincikan takrifan filem.

Menjawab soalan tambahan, Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang bertanya adakah YouTuber Dustin Pfundheller yang mengeluarkan video bagi membalas dokumentari kontroversi Al-Jazeera mempunyai lesen Finas, Saifuddin menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa dan jika ada aduan, tindakan akan diambil.

Lesen Finas mencuri tumpuan susulan keputusan kerajaan menyiasat sama ada Al-Jazeera mempunyai lesen untuk menghasilkan dokumentari.

Sebelum ini, Finas mendapati Al Jazeera International (Malaysia) Sdn Bhd (Al Jazeera) tidak mempunyai lesen pengeluaran filem untuk penerbitan dokumentari berjudul “Locked Up in Malaysia’s Lockdown”.

Malah, syarikat penyiaran antarabangsa itu juga tidak membuat permohonan untuk surat perakuan penggambaran bagi membuat liputan dokumentari berkenaan.

Wednesday 22 July 2020

Cukai yang Najib tak bayar boleh tampung pembinaan 4 buah sekolah





Mahkamah arahkan untuk Najib Razak bayar cukai kepada LHDN sebanyak RM 1, 692, 872, 924.

Jika Najib kononnya sayangkan rakyat, dia kena bayar semua cukai ni sebab dengan jumlah itu kerajaan dapat

1. Bina 4 buah sekolah dengan fasiliti lengkap
2. Bina 3 biji hospital berkapasiti 300 katil dengan fasiliti lengkap
3. Menyediakan 100km jalan bertar
4. Memberi bantuan RM1000 Kepada 1,692,872 orang yang susah di seluruh negara.

Jika Najib gagal membayar beliau boleh dijatuhkan hukuman dan bakal kehilangan kerusi Parlimen.


Sumber : https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10157587264503247&id=561343246








" Dasar Ekonomi Pakatan Harapan Berjaya Membuahkan Hasil "




1. Kejayaan Tabung Haji (TH) mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak RM1.25 bilion pada setengah tahun pertama 2020 adalah bukti kejayaan penstrukturan semula yang diilhamkan oleh Pakatan Harapan (PH). Bukan itu sahaja, nilai aset TH sebanyak RM78 bilion juga kini telah kembali lebih tinggi berbanding liabilitinya, dengan lebihan sebanyak RM1.9 bilion, walaupun sebelum Mei 2018 telah ditinggalkan oleh Barisan Nasional (BN) dalam keadaan defisit.

2. Dalam tempoh hampir 2 tahun pemerintahan PH, pelbagai pembaharuan dan kejayaan telah dicapai. Kadar pengangguran secara amnya telah menurun ke lingkungan 3.2%-3.3% bagi setiap suku, berbanding 3.4%-3.5% pada suku tahun 2016 hingga 2017 bawah BN. PH juga telah memperkenalkan kembali subsidi petrol yang dimansuhkan oleh Najib Razak pada tahun 2014. Ini telah membantu secara signifikan terhadap usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat, khususnya B40 dan M40. Pertumbuhan ekonomi negara (KDNK) juga telah menunjukkan keutuhan yang signifikan pada kadar 4.8% pada tahun 2018 dan 4.3% pada tahun 2019 walaupun dalam keadaan ekonomi global yang lembap.

3. Kebajikan sosioekonomi rakyat terus dibela oleh PH menerusi inisiatif-inisiatif seperti i-Suri yang mewujudkan skim KWSP berserta insentif untuk surirumah, mengembangkan skim perlindungan PERKESO kepada pekerja ekonomi gig dan memperkenalkan gaji minima RM1,200 di bandar-bandar besar. Kerajaan PH juga telah memperkenalkan 2 skim kesihatan yang sangat penting untuk golongan B40 iaitu Skim Perlindungan Kesihatan (PeKa) dan MySalam, iaitu skim insurans yang menyediakan perlindungan untuk 45 penyakit kritikal.

4. Pelaburan langsung asing diluluskan (approved FDI) juga mencapai tahap paling tinggi dalam sejarah ketika pemerintahan PH. Pada tahun 2019, approved FDI adalah RM82.4 bilion, manakala pelaburan domestik mencecah RM125.5 bilion. Bukan itu sahaja, pelaburan ke dalam tiga subsektor pemangkin iaitu elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan serta kimia dan dua bidang pertumbuhan tinggi iaitu industri aeroangkasa dan alat perubatan, menyaksikan pertumbuhan 90.2% ke RM40.9 bilion pada tahun 2019. Usaha PH mewujudkan persekitaran “business friendly” telah diiktiraf oleh Bank Dunia, di mana ranking Malaysia dalam indeks Doing Business 2020 telah meningkat kepada kedudukan ke-12, iaitu lebih tinggi berbanding negara-negara lain seperti Jerman, Kanada dan Finland.

5. Dari aspek memastikan pengurusan fiskal yang lebih telus supaya kesilapan ketika pemerintahan BN tidak diulangi, kerajaan PH telah mengemukakan maklumat mengenai hutang yang dijamin kerajaan dan liabiliti kontinjen dalam Laporan Tinjauan Fiskal negara. Selain itu, kerajaan PH juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang turut dianggotai wakil pembangkang untuk menilai belanjawan dan pengurusan kewangan kerajaan. Penilaian belanjawan pertengahan tahun turut dibentangkan ke jawatankuasa ini.

6. Selain TH, PH telah mengambil beberapa keputusan strategik untuk memulihkan dan memantapkan institusi-institusi lain seperti Khazanah Nasional, Felcra dan FGV Holdings. Hasilnya, Khazanah Nasional telah mencatatkan untung daripada operasi terbesar dalam sejarah pada tahun 2019 iaitu RM7.4 bilion. Selain itu, usaha telah diambil untuk merombak strategi pelaburan Khazanah Nasional yang sebelum itu berisiko tinggi kerana hampir 80%-85% nilai pelaburan tertumpu pada 9-10 syarikat sahaja.

7. Bagi Felcra pula, program transformasi perniagaan telah diperkenalkan untuk mengurangkan beban hutang dan kerugian yang dialami oleh institusi tersebut, dan ini dijangka membuahkan hasil bermula 2021. Di peringkat Felda dan FGV pula, program transformasi yang bermula pada suku ke-3 2018 telah membantu memantapkan operasi, menamatkan ketirisan dalam pembelian dan memulihkan pendapatan syarikat. Saham FGV turut meningkat setelah PH mengambil alih pentadbiran negara iaitu RM1.31 pada November 2019 berbanding RM0.64 pada Disember 2018.

8. Saya yakin dasar-dasar urus tadbir baik, telus, bersih dan cekap yang diperkenalkan oleh PH akan terus membuahkan hasil positif jika inisiatif-inisiatif berkenaan tidak diganggu oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN). Institusi-institusi penting negara perlu dipertahankan daripada kembali dibelenggu oleh pengurusan yang lemah dan korup sewaktu di bawah BN. Namun, ketidakstabilan politik kerajaan PN yang tidak mempunyai mandat yang sah daripada rakyat dan hanya memiliki majoriti tipis di Parlimen tidak mampu menarik keyakinan pelabur yang boleh menjejaskan sektor perniagaan dan pekerjaan dalam negara.



Mahathir Anwar yang perlu berkorban, Menjelang Aidiladha



TATKALA nukilan ini sedang dicanai, sepatutnya umat Islam seluruh dunia membilang hari menanti detik hari raya Aidiladha. Perjalanan rohani dalam menunaikan salah satu rukun Islam adalah menunaikan haji paling kurang sekali dalam seumur hidupnya.

Apabila menyebut mengenai ibadah haji kita tidak boleh menyampingkan ibadah korban yang menjadi tuntutan dan klimaks dalam merayakan Aidiladha. Ketika ini, pastinya petugas-petugas masjid dan surau di serata negara mulai sibuk dengan agenda korban dan persiapan yang perlu diperapikan terutamanya dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Segala SOP dalam urusan pelaksanaan ibadah korban sudah diperhalusi dan telah dibentangkan dan sedia untuk dilaksanakan. Matlamat utama tidak lain dalam melaksanakan ibadah korban kita tidak menginginkan umat Islam pula menjadi korban kelak.

Dalam menghayati persoalan ibadah korban dan SOP yang dirancang sedemikian rupa, seluruh umat Islam wajar menginsafi dan menjadikannya sebagai iktibar dalam sejarah hidup kita.

Dalam menghadapi Covid-19 kita mampu menyediakan SOP demi mencapai matlamat iaitu ibadah korban yang berjaya. Kenapa tidak dalam dunia politik negara?
Sudah tiba masanya para pemimpin terutamanya di kalangan PH dan PH PLUS mengambil langkah dan bersedia untuk memenuhi falsafah politik korban.
Politik korban adalah kemampuan seseorang pemimpin untuk mengorbankan kepentingan diri demi untuk rakyat. Konsep politik dari rakyat kepada rakyat perlu menjadi santapan dan ijtihad politik pemimpin. Perjuangan rakyat wajar diangkat dan dihargai.

Persetankan sebentar angka 109 yang menghantui duduk bangun – susun atur di dalam parlimen. Ketepikan juga persoalan kenapa Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan. Dan lupakan dahulu kenapa dan apa kewajaran ‘Langkah Sheraton’ dicipta oleh Azmin dan konco-konconya. Yang paling utama SOP dan matlamat dalam perjuangan ini.
Para pemimpin PH atau PH Plus perlu duduk dalam seangkatan dan merenung kembali serta mengambil iktibar atas apa yang telah berlaku. Ini masanya untuk melangkah ke hadapan. Mengambil iktibar dan semangat Aidiladha, maka konsep korban perlu dihayati dan menjadi sebahagian SOP PH dan PH PLUS.
Penulis percaya semua pemimpin dalam PH dan PH PLUS berjiwa besar. Pemimpin berjiwa besar pastinya tidak akan tunduk dengan keserakahan dan nafsu yang terpamer dalam ‘Langkah Sheraton’ sebelum ini. Pastinya para pemimpin besar dalam angkatan ini berjiwa besar dan sanggup berkorban demi matlamat perjuangan.

SOP utama di sini adalah berkorban dan matlamat utama ketika ini adalah mengembalikan mandat dan kepercayaan rakyat. Pimpinan besar dalam PH dan PH PLUS perlu berkorban. Sama ada Tun Mahathir atau Datuk Seri Anwar Ibrahim, masing-masing perlu berkorban. Ketepikan dahulu segala benang yang basah dan ini masanya untuk memberikan kemenangan kepada rakyat.

Mandat yang diberikan dalam pilihan raya yang lalu wajar dihormati. Dalam mandat itu juga terletak harapan besar rakyat untuk melihat Malaysia yang lebih bersih dan adil. Pemimpin PH dan PH PLUS semua wajar ingat bahawa rakyat memilih anda ketika itu adalah kerana untuk melihat sisi Malaysia yang lain dan rakyat juga berharap besar dengan segala janji dalam manifesto lalu.

Kelangsungan mandat ini perlu diteruskan. Demi rakyat para pemimpin PH dan PH PLUS perlu bergandingan. Perlu senada. Wajar mengenepikan segala bebenang yang basah. Dan seharusnya melihat matlamat utama sebagaimana dalam korban begitu juga dalam perjuangan politik ini iaitu politik rakyat.

Politik rakyat perlu diutamakan. Susah senang rakyat terutamanya dalam menghadapi pandemik Covid-19 ini wajar dijadikan landasan utama. Di kala ketidaktentuan musim covid sama ada akan berakhir atau tidak, para pemimpin perlu berjiwa besar dengan menolak jauh kepentingan peribadi.
Ini bukan masanya untuk menentukan siapa harus menjadi PM atau tidak. Ini bukan masanya untuk berdebat kerajaan Pakatan Nasional adalah kerajaan pintu belakang atau tidak, tetapi ini masanya untuk menegakkan kembali keluhuran politik perjuangan rakyat yang memberikan mandat penuh kepada PH dahulu.

Penulis percaya rakyat masih ingin melihat kembalinya kuasa PH dengan penglibatan Tun Mahathir dan Anwar bersama pimpinan PH yang lain. Rakyat pasti inginkan apa yang mereka beri sewaktu pilihan raya lalu dituai dengan hasil yang menyakinkan. Dan rakyat pasti ingin melihat sebuah Malaysia yang baru dan kekal selamanya demi anak bangsa di kemudian hari.

Oleh yang demikian, pimpinan PH dan PH PLUS perlu kembali ke meja persepakatan. Mereka perlu berkorban.
Jika Tun Mahathir perlu korbankan hasrat untuk menjadi PM buat kali ketiga demi rakyat maka korbankanlah hasrat tersebut. Jika Anwar perlu korbankan impian untuk menjadi PM yang tertangguh sejak sekian lama, maka korbankanlah hasrat tersebut dahulu demi kelangsungan politik rakyat.
Kita tidak ingin melihat rakyat mula muak dan mual dengan kerakusan dan sandiwara politik dengan masing-masing cuba berusaha menegakkan bebenang basah mereka. Kita tidak mahu kelak anak cucu di kemudian hari meludah keji atas potret pimpinan ini kerana akibat kerakusan dan survival politik peribadi segala impian untuk melihat kelangsungan Malaysia baru hilang selamanya.

Semoga akan ada yang mampu berkorban dengan semangat Aidiladha ini. Biar perjuangan para pemimpin ini penuh dengan pengorbanan dan bukannya dikorbankan. Jangan dikorbankan mandat dan politik rakyat.

Siarlah debat Tabung Haji secara live di RTM – Khalid Samad


Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepatutnya tiada masalah untuk membenarkan debat antara Ahli Parlimen Parit Buntar dan Baling berhubung kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata, debat antara Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim boleh sahaja diadakan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Buatlah debat di RTM, kamu (PN) sudah kerajaan. Dulu mungkin boleh buat alasan kerajaan PH tidak benarkan. Sekarang ini PN jadi kerajaan.

“Benarkanlah debat secara langsung antara Yang Berhormat Baling dan Yang Berhormat Parit Buntar,” katanya dalam Bicara YB Khalid Samad (Siri 66) bertajuk, “Antara Negara Adil dan Negara Zalim” semalam.

Kelmarin, Mujahid dalam temubual khas bersama Malaysia Dateline mencabar Azeez yang merupakan bekas Pengerusi TH untuk berdebat mengenai institusi kewangan Islam itu.

Mengulas desakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh pengurusan TH terdahulu, beliau berpendapat hal itu sebenarnya tidak perlu dilakukan.

Walau bagaimanapun, Pakatan Harapan (PH) pada masa ini, katanya, tiada masalah sekiranya kerajaan PN mahu juga mewujudkan RCI TH.

“Dalam soal RCI ini kita tiada masalah nak buat. Hanya dalam zaman kita (PH), kita rasa tidak perlu.

“Kenapa nak buat RCI sedangkan laporan kewangan audit syarikat juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC), laporan Ernst & Young (EY) dan Jabatan Audit Negara (JAN) telah menunjukkan semua keadaan yang sama iaitu liabiliti (TH) mengatasi aset.

“Memang ada yang tidak dilaporkan dengan tepat. Ada penipuan dan penyelewengan.

“Lalu apabila telah disiasat oleh pihak swasta dan kerajaan, nak buat RCI untuk apa? Tapi kalau kerajaan PN nak buat RCI sekarang, silakan,” katanya dalam program yang dimoderatorkan Mohd Shaiful Roseman secara langsung di Jom Channel FB Live.

Namun, ujarnya, kerajaan wajib mengambil tindakan undang-undang ke atas PwC, EY dan JAN jika RCI tersebut mendapati wujud percanggahan dengan pendedahan mereka sebelum ini.

“Sekiranya RCI mendapati sebaliknya maka berkewajipan kerajaan menyaman PwC, EY dan JAN.

“Takkan RCI nak biarkan mereka buat tidak betul sekadar untuk membersihkan nama Yang Berhormat Baling. Kalau didapati tidak betul, dia (kerajaan BN) kena ambil tindakan,” tambah Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam itu lagi.

Tuesday 21 July 2020

Pelantikan Speaker sekarang berbeza dengan era PH, kata Khalid Samad



Proses pelantikan Datuk Mohamad Ariff Yusof sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dua tahun lalu berbeza dengan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melantik Datuk Azhar Azizan Harun.

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata, pelantikan Mohamad Ariff yang juga bekas hakim Mahkamah Rayuan ketika era kerajaan Pakatan Harapan (PH) lalu adalah mengikut prosedur ditetapkan.

Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Shah Alam itu, pelantikan Azhar berlaku ketika Mohamad Ariff masih menyandang jawatan Speaker Dewan Rakyat.

“Suasananya jauh berbeza. Kita mengikut peraturan. Selepas pilihan raya, (PH) baru menang, Perdana Menteri baru, Speaker pun baru.

“Sebelum bermulanya persidangan Parlimen yang pertama, Speaker kena dilantik, mesti ada pencalonan tetapi malangnya tiada pencalonan dibuat di pihak mereka.

“Oleh itu, hanya seorang sahaja calon berbeza. Berbeza dengan keadaan kita. Speaker sudah ada kemudian dikosongkan.

“Mana boleh. Dia (kerajaan PN) tidak beri kita peluang mencalonkan Speaker yang baharu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Bicara YB Khalid Samad (Siri 66) bertajuk, “Antara Negara Adil dan Negara Zalim” yang dimoderatorkan oleh Mohd Shaiful Roseman secara langsung di Jom Channel FB Live malam tadi.