Tuesday, 24 October 2017
ANWAR CEDERA KRITIKAL
Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan tidak mampu menggerak bahunya dan mengalami kesakitan teruk ketika menulis.
Menurut laman Facebook Bebas Anwar yang dikongsi oleh laman Facebook rasminya, kehidupan seharian ketua umum PKR itu terjejas berikutan kecederaan bahunya yang semakin teruk selepas satu kemalangan pada 22 September lalu.
Menurut catatan bertarikh 20 Oktober itu, keluarga Anwar pada minggu lalu menerima suatu panggilan kecemasan dari Anwar.
“Pakar ortopedik sebelum ini pernah menyarankan pembedahan segera akibat kekoyakan bahagian bahu (rotator cuff), namun beliau berwas-was mengenai pembedahan yang sebegitu invasif.
“Kemusyikilan Anwar disebabkan oleh ketidaklengkapan kemudahan rawatan susulan di penjara, khususnya dalam tempoh pemuliharaan yang begitu genting sekali, ditambah lagi dengan suasana politik Malaysia yang begitu tegang.
“Namun, melihat pada keadaan kecederaannya kini, beliau telah memohon untuk memulakan pembedahan secepat mungkin,” petik kenyataan di Facebook itu.
Menurut catatan itu, ahli keluarga Anwar sedang dalam proses berunding dengan pihak berkuasa penjara dan kerajaan Malaysia agar pemimpin pembangkang itu diberi pembedahan serta rawatan susulan yang terbaik supaya proses pemuliharaannya tidak terjejas.
“Anwar adalah mangsa sebuah sistem politik yang tidak adil dan beliau telah dinafikan hak asasinya.
“Ahli keluarganya sedih melihatnya dikurung seorang, tanpa kasih sayang mahupun dorongan ahli keluarga tersayang,” katanya.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas sabitan liwat sejak 10 Februari 2015 – suatu tuduhan yang didakwa pembangkang sebagai bermotif politik – dan dijangka dibebaskan pada pertengahan tahun depan.
Anwar, 70, kali terakhir ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 19 Septermber lalu akibat masalah tekanan darah kurang stabil.
Bagaimanapun selepas menjalani rawatan selama empat hari, konvoi kereta dan van yang membawa pegawai penjara serta Anwar terlibat dalam kemalangan, sewaktu dalam perjalanan ke Penjara Sungai Buloh.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment