Monday 30 November 2020

Kerajaan Negeri akan terus usaha laksanakan projek LRT demi kepentingan ekonomi Pulau Pinang

 


KENYATAAN MEDIA OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG PADA 1 DISEMBER 2020 DI KOMTAR, GEORGE TOWN

____________________________________________________________________

Salam Sejahtera.

Saya berasa kesal kerana Kementerian Kewangan telah tiga (3) kali menyatakan pendiriannya menolak permohonan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan pinjaman serta jaminan berjumlah RM2 bilion bagi membiayai projek Transit Aliran Ringan (LRT) Komtar – Bayan Lepas walaupun projek berkaitan adalah begitu penting terhadap pembangunan ekonomi negeri ini.

Di sini, saya ingin mengingatkan Kementerian Kewangan dan Perikatan Nasional bahawa mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menyatakan menerusi suratnya kepada saya bertarikh 1 Oktober 2019 bahawa bon-bon oleh Kerajaan Negeri berhubung projek berkaitan akan dijamin oleh Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri bagaimanapun tidak akan berputus asa, sebaliknya bakal meneruskan usaha melaksanakan projek LRT berkaitan kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang umumnya mempunyai beberapa opsyen kewangan lain bagi membiayai projek-projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Serentak itu, Kerajaan Negeri juga akan terus menyuntik keyakinan Kerajaan Persekutuan untuk memberi keutamaan terhadap pembiayaan projek LRT serta layanan setimpal kepada Pulau Pinang yang telah dan terus memainkan peranan penting dengan menjuarai aspek pelaburan langsung asing (FDI) sektor pembuatan negara dan sekali gus mewujudkan ribuan peluang pekerjaan bukan hanya kepada rakyat negeri ini malah juga utara Semenanjung Malaysia.

Kenyataan ini juga telah saya kongsi dan sampaikan kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Dato’ Seri Mustapa Mohamed pada sesi perbincangan berhubung peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kepada Negeri Pulau Pinang Khamis lalu (26 November 2020) di ibu negara.

Malah, perkara serta pendirian sama turut dinyatakan kepada Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Dato' Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika menghadiri sesi dialog Konsultasi Belanjawan 2021: Pulau Pinang anjuran Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) pada 8 Ogos 2020 dan Sesi Libat Urus Penyediaan RMK-12 bersama YB Dato' Seri Mohamed Azmin Ali pada 2 Ogos 2019 di Negeri Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

CHOW KON YEOW

===========================================

槟州首席部长曹观

2020121日于乔治市光大发表文

———————————————————————————

大家好

轻快铁计划在槟州未来经济发展扮演着重要的角色,然而财政部3次表明其立场,拒绝光大至峇六拜轻快铁计划的贷款及20亿令吉的贷款担保,对此,我深表遗憾

在此,我想提醒财政部及国盟政府,前首相敦马哈迪医生在2019101日致予我的公函中,表明联邦政府将担保槟州政府有关计划所发行的债券

论如何,槟州政府不会放弃,反而将继续致力推行轻快铁计划,因为槟州政府拥有数项融资选项以承担槟州交通大蓝图下的各项计划

时,槟州政府将继续给联邦政府注入信心,以将轻轨项目的融资放在首位,及给予槟城同等待遇。槟城在外国直接投资方面一直扮演了极具重要的角色,在制造业上更是领先,并制造了数以千计的就业机会予槟城人,乃至北马人民

我已于上周四(20201126日),在第12马计划拨款的会议中,向首相署(经济)部长拿督斯里慕斯达法表达了这项声明

另外,201982日拿督斯里阿兹敏到槟城出席第12马计划对话会时,我已表达了这项声明;今年88日,在北马经济走廊(NCIA执行单位主办的2021财政预算案(槟城)对话会上,我也已向财长部长拿督斯里东姑赛夫鲁表达了同样的声明

谢谢


Sumber: https://www.facebook.com/331360574168/posts/10158932678874169/

Sunday 29 November 2020

"Jadikan Veveonah Mosibin sebagai Greta Thunberg Malaysia" - Lim Kit Siang

 


Kenyataan Media Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Isnin, 30 November 2020:

Jadikan Veveonah Mosibin sebagai Greta Thunberg Malaysia untuk memberi inspirasi kepada para belia di Malaysia dan di seluruh dunia untuk menerajui perubahan dalam menghapuskan kemiskinan digital — masa untuk memperkasakan golongan millennial di Malaysia

Saya telah mencadangkan yang Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah patut menubuhkan satu pasukan tindakan yang diketuai oleh Veveonah Mosibin untuk menjalankan tinjauan di keseluruhan negeri Sabah untuk memastikan tidak ada sesiapa pun lagi perlu meluangkan masa selama 24 jam di atas pokok atau berkumpul di atas jambatan yang usang untuk mendapatkan sambungan internet yang lebih baik untuk mendapatkan akses pendidikan. 

Saya katakan yang Malaysia akan menjadi perbualan berita antarabangsa sekiranya RM81.5 juta yang diperuntukkan untuk pengembalian JASA ini dipindahkan untuk membentuk sebuah Pasukan Tindakan Kerajaan Persekutuan-Negeri yang diketuai oleh Veveonah Mosibin untuk menyelesaikan masalah akses internet di kawasan pedalaman Sabah untuk memudahkan proses pembelajaran dalam talian semasa wabak Covid-19.

Pelantikan Veveonah Mosibin untuk mengetuai pasukan tindakan ini akan menjadi bukti komitmen Malaysia terhadap sumbangan daripada golongan wanita, belia, dan minoriti, untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh golongan muda dalam negara kita dalam menggunakan platform pembelajaran atas talian.

Namun, cadangan ini langsung tidak disambut oleh keempat-empat individu utama dalam Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah yang seharusnya paling prihatin dengan jurang digital di Sabah ini, iaitu Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Md Jidin, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah, Ketua Menteri Sabah, Hajiji Mohd Noor dan, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang telah makan malam bersama dengan Veveonah semasa pilihan raya umum negeri Sabah.

Jadikan Veveonah Mosibin sebagai Greta Thunberg Malaysia untuk memberi inspirasi kepada para belia di Malaysia dan di seluruh dunia untuk menerajui perubahan dalam menghapuskan kemiskinan digital.

Mengapa Radzi, Saifuddin, Hajiji dan Muhyiddin begitu keberatan dalam menyokong cadangan seperti ini?

Persoalan boleh ditimbulkan, mengenai sama ada Veveonah yang berusia 18 tahun sesuai untuk mengetuai pasukan tindakan Kerajaan Persekutuan-Negeri untuk menangani jurang digital di pedalaman Sabah.

Saya jawab; mengapa tidak? Dari kepetahan, keazaman, dan usahanya, bahkan beliau berusaha meluangkan 24 jam di atas pokok untuk mendapatkan akses internet yang lebih baik untuk menduduki peperiksaan dalam talian. Saya yakin sepenuhnya dengan kelayakan beliau untuk mengetuai pasukan tindakan ini untuk memerangi kemiskinan digital di pedalaman Sabah. Beliau akan mengetuai usaha untuk menyelesaikan masalah yang pernah dihadapinya sendiri. 

Saya rasa beliau mempunyai kepetahan, keazaman, dan usaha yang lebih hebat berbanding dengan Radzi, Saifuddin, Hajiji dan Muhyiddin, malah keempat-empat mereka apabila digabungkan sekalipun!

Sekiranya Sanna Marin yang berusia 34 tahun boleh menjadi Perdana Menteri Finland, Jacinda Ardern menjadi Perdana Menteri New Zealand pada usia 37 tahun, Alexandria Ocasio-Cortex adalah wanita termuda yang terpilih ke Kongres Amerika Syarikat pada usia 29 tahun, Sebastian Kurz yang diundi sebagai Canselor Austria pada usia 31 tahun, Luigi DiMaio sebagai Timbalan Perdana Menteri Itali pada usia 31 tahun dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai Menteri Belia dan Sukan Malaysia pada usia 25 tahun, saya tidak nampak apa-apa sebab mengapa Veveonah Mosibin yang berusia 18 tahun tidak dapat mengetuai pasukan tindakan Kerajaan Persekutuan-Negeri untuk menangani masalah jurang digital di Sabah.

Sudah tiba masanya golongan millennial (mereka yang dilahirkan di antara awal 1980-an dan pertengahan 1990-an hingga awal 2000) diperkasakan dengan lebih banyak kepercayaan, tanggungjawab dan kuasa memandangkan 54 peratus rakyat Malaysia berusia di bawah 30 tahun dan sekitar 70% rakyat Malaysia berumur di bawah 40 tahun.

Jadikan era ini sebagai era millenial — bermula dengan Veveonah Mosibin!

Kabinet Muhyiddin tidak mempunyai suara untuk golongan millennial di Malaysia, tidak ada seorang pun Menteri yang berusia di bawah 40 tahun.

Terdapat empat orang Menteri dalam Kabinet Muhyiddin yang berumur di bawah 50 tahun, masing-masing berusia 43, 44, 46 dan 47 tahun — suatu perbandingan yang buruk dengan Kabinet Pakatan Harapan, yang bermula dengan menteri yang berusia 25 tahun, 35 tahun dan lima orang Menteri yang berumur di bawah 50 tahun.

Malah, Pakatan Harapan dengan Perdana Menteri yang berusia 93 tahun mempunyai purata umur Kabinet 55.7 tahun, lebih muda berbanding Kabinet 32 orang Muhyiddin yang mencatatkan usia purata 57.5 tahun!

Aktivis alam sekitar Sweden, Greta Thunberg — yang akan mencecah usia 18 tahun pada Januari depan — memulakan aktivisme pada usia awal remaja dan telah menjadi sebutan dalam rumah tangga di seluruh dunia, memberi inspirasi kepada para belia untuk mengambil bahagian dalam aktivisme dalam talian untuk tujuan alam sekitar dan mencabar pemimpin politik mengenai perubahan iklim .

Beliau telah menerima pelbagai penghargaan dan penghargaan untuk aktivisme, termasuk dicalonkan untuk Hadiah Nobel Keamanan 2019.

Sekiranya Veveonah dapat menjadi Greta Thungberg Malaysia untuk memberi inspirasi kepada para belia di Malaysia dan dunia untuk menghapuskan kemiskinan digital, perkara ini akan adalah untuk beliau dan juga negara.

Bukan hanya Saifuddin, Radzi, Hajiji dan Muhyiddin yang harus memberikan setiap sokongan kepadanya, beliau juga berhak mendapat sokongan penuh daripada seluruh negara. 

Tetapi, yang utama sekali. 

Izinkan saya bertanya kepada Saifuddin, Radzi, Hajiji dan Muhyiddin sama ada mereka akan menyokong idea memindahkan peruntukan RM81.5 juta yang diperuntukkan untuk mengembalikan semula unit propaganda JASA dalam Belanjawan 2021 untuk membiayai pasukan tindakan Kerajaan Persekutuan-Negeri yang dipengerusikan oleh Veveonah untuk mengatasi masalah kemiskinan digital di Sabah?


Sumber: https://www.roketkini.com/2020/11/30/jadikan-veveonah-mosibin-sebagai-greta-thunberg-malaysia/?fbclid=IwAR2kpcakIMznzc5EuFnRS_VWLol3nbsE9SlGTz1wyWnkgopriG84bdNDZIo

Saturday 28 November 2020

Pulau Pinang kecewa tindakan kerajaan persekutuan batal jaminan pinjaman pembangunan LRT



Keputusan  Putrajaya untuk tidak memberikan jaminan pinjaman kepada kerajaan Pulau Pinang untuk membiayai projek Transit Aliran Ringan (LRT) negeri itu merupakan satu bentuk 'pembalasan dendam' politik, kata seorang ahli parlimen DAP.


Steven Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam di Pulau Pinang, mengecam tindakan kerajaan persekutuan dalam satu kenyataan hari ini.


Katanya, menjamin pinjaman bernilai RM2 bilion itu adalah tindakan "paling sedikit" yang dapat dilakukan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk Pulau Pinang.


"Pengumuman kerajaan persekutuan membatalkan jaminan pinjaman bernilai RM2 bilion untuk pembangunan Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang adalah tindakan mengecewakan dan perbuatan keji 'balas dendam politik' terhadap negeri dan rakyat Pulau Pinang.


"Pinjaman tersebut akan diperolehi daripada Asian Development Bank (ADB), sebuah institusi kewangan pembangunan serantau yang mempunyai reputasi baik. Pulau Pinang tidak meminta pinjaman atau wang daripada kerajaan persekutuan untuk projek ini.


"Jaminan pinjaman persekutuan adalah tindakan paling sedikit yang boleh dilakukan oleh kerajaan pusat untuk Pulau Pinang," katanya.


Biaya penuh atau kembalikan jaminan


Dilaporkan pentadbiran PN memutuskan untuk menarik diri daripada memberikan jaminan pinjaman kepada Pulau Pinang, yang sebahagiannya bagi membiayai projek LRT bernilai RM9.5 bilion.


Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata keputusan itu sejajar dengan unjuran hasil dan pendapatan kerajaan yang disemak semula untuk negara.


Sim, yang juga bekas timbalan menteri belia dan sukan, mengkritik Putrajaya atas tindakan itu, kerana kerajaan persekutuan membiayai projek lain bernilai berbilion ringgit.


"Baru-baru ini diumumkan kerajaan pusat akan mengembangkan sistem monorel di Putrajaya dan membiayai sistem transit RM6 bilion di Kuching di bawah Rancangan Malaysia ke-12.


"Walaupun projek pengangkutan bernilai berbilion-bilion ringgit dibiayai oleh pentadbiran PN di negeri-negeri lain, namun jaminan pinjaman Pulau Pinang dengan kecewanya dibatalkan.


"Ini walaupun Pulau Pinang menjadi penyumbang cukai kedua tertinggi untuk negara ini," katanya.


Dia mendesak kerajaan pusat untuk mengembalikan jaminan pinjaman itu atau membiayai sepenuhnya projek LRT Pulau Pinang.


Sumber: https://m.malaysiakini.com/news/552906

Thursday 26 November 2020

Bantahan Belanjawan 2021 dihargai, bukti perjuangan Malaysia Baharu akan tetap diteruskan



Kenyataan Media Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang di Gelang Patah pada hari Jumaat, 27 November 2020:

Saya hargai bantahan terhadap undian Belanjawan 2021 di Parlimen semalam kerana ini membuktikan bahawa perjuangan untuk sebuah Malaysia Baharu akan tetap diteruskan

Saya hargai bantahan terhadap undi Belanjawan 2021 di Parlimen semalam kerana ini membuktikan bahawa perjuangan untuk sebuah Malaysia Baharu akan tetap diteruskan. Saya memandang bantahan ini dari sudut yang positif.

Malah, mantan setiausaha politik saya sendiri, Dyana Sofea membantah keputusan ini, bersama-sama dengan pelbagai pemimpin DAP yang lain, termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka untuk Ayer Keroh, Kerk Chee Yee dan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor untuk Subang Jaya, Michelle Ng.

Namun, terdapat beberapa salah faham. Pertamanya, yang mengatakan Ahli-ahli Parlimen Pembangkang — selain daripada beberapa orang yang berdiri semasa meminta untuk berlakunya belah bahagi — telah tewas dengan desakan dan mengundi untuk menyokong Belanjawan 2021.

Perkara ini tidak benar, memandangkan Ahli Parlimen Pembangkang, termasuklah mereka yang berdiri memohon supaya belah bahagi dilakukan, kesemuanya telah mengundi membantah Belanjawan 2021 — tetapi undian ini dilakukan melalui suatu undian suara yang lantang mengatakan tidak kepada Belanjawan ini, dan bukannya melalui belah bahagi, di mana setiap Ahli Parlimen mencatatkan undian mereka sebagai bersetuju atau tidak.

Dalam kenyataan media saya pada 21 November 2020, saya telah katakan:

“Ahli-ahli Parlimen mempunyai dua pilihan apabila Belanjawan 2021 ini perlu diundi untuk bacaan kali kedua pada hari Khamis 26 November 2020 ini:

“Pertama, untuk memaksa berlakunya pertarungan pada hari Khamis ini, sama ada untuk menerima atau pun menolak Belanjawan 2021 ini; atau kedua, untuk mencuba semua pilihan yang ada melalui proses parlimen, dengan mencadangkan pindaan dalam peringkat jawatankuasa perbahasan Belanjawan 2021 terhadap peruntukan-peruntukan yang tidak boleh diterima, seperti RM85.5 juta untuk menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) sebagai badan pelaksana propaganda negatif kerajaan, yang kemudiannya akan disusuli dengan undian untuk bacaan kali ketiga Belanjawan 2021 pada 15 Disember 2020.”

Memandangkan Majlis Presiden Pakatan Harapan telah memutuskan pada 25 November 2020 secara sepakat untuk menolak Belanjawan 2021 dengan memanggil untuk mengadakan belah bahagi dan menolak Belanjawan ini dalam undian tersebut, dan maklumat ini telah disampaikan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Shafie Apdal, dan kedua-dua mereka memberikan jaminan sokongan daripada Ahli-ahli Parlimen Warisan dan Pejuang, ke semua Ahli-ahli Parlimen Pembangkang daripada DAP, PKR, dan Amanah bersedia untuk menyokong seruan untuk mengadakan belah bahagi dan pengundian menolak Belanjawan 2021 ini semalam.

Saya tidak mengetahui langsung mengenai keputusan saat akhir oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, yang memutuskan untuk tidak memanggil belah bahagi walaupun saya boleh meneka sebabnya. Pertamanya, nasihat daripada Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong kepada Ahli-ahli Parlimen untuk menyokong Belanjawan 2021 ini, dan keduanya, ucapan penggulungan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, di mana beliau mengumumkan beberapa pemberian tambahan dalam Belanjawan ini yang belum melepasi perbahasan di Peringkat Jawatankuasa sebelum Belanjawan 2021 ini dibacakan dan diundi buat kali ketiga pada 15 Disember.

Selain itu, jelas bahawa tidak ada cukup bilangan untuk Belanjawan 2021 ini dikalahkan memandangkan Ahli-ahli Parlimen UMNO telah menarik semula bantahan mereka dan kini bersedia untuk memberikan sokongan penuh kepada Belanjawan 2021 ini — tetapi perkara ini tidak pernah menjadi faktor kepada Ahli-ahli Parlimen DAP dan PH untuk memutuskan sama ada untuk memanggil belah bahagi atau tidak dalam undian ini.

Memandangkan Yang di Pertuan Agong telah menasihati Ahli-ahli Parlimen untuk menyokong Belanjawan 2021 ini memandangkan situasi semasa wabak Covid-19 dalam negara kita, menjadi lebih penting kepada Ahli-ahli Parlimen Pembangkang untuk memberikan Menteri Kewangan lebih banyak masa sehingga Bacaan Ketiga RUU Perbekalan ini pada 15 Disember ini, untuk membuat perubahan dan pindaan yang berpatutan untuk menjadikan Belanjawan 2021 ini satu “Belanjawan Perpaduan” yang menyatupadukan semua rakyat Malaysia untuk mengharungi wabak Covid-19 ini. Atau, adakah beliau akan terus kekal untuk berdegil dan bersikap anti-perpaduan dengan tidak meminda Belanjawan ini?

Menteri Kewangan telah melibatkan Ahli-ahli Parlimen Pembangkang sebelum pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November, tetapi beliau tidak ada berunding dengan pihak Pembangkang selepas pembentangan Belanjawan ini. Adakah beliau akan berunding dan melibatkan Ahli-ahli Parlimen Pembangkang sebelum Bacaan Ketiga RUU Perbekalan ini pada 15 Disember kelak?

Selepas persidangan Parlimen semalam, saya telah bercakap dengan Anwar mengenai hal untuk memanggil mesyuarat Jawatankuasa Pemilih Dewan Rakyat, untuk membentuk sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Rasuah dan Integriti yang perlu mempunyai terma rujukan yang meluas untuk meningkatkan integriti awam di Malaysia untuk negara kita menjadi di antara 30 negara yang paling berintegriti di dunia.

Tetapi, tugas pertama Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Rasuah dan Integriti perlulah untuk melihat dan mengkaji laporan Barometer Rasuah Global untuk Asia 2020, yang diterbitkan oleh Transparency International dua hari lepas, yang melaporkan lebih ramai rakyat Malaysia menganggap Ahli Parlimen mereka korup berbanding dengan rakyat-rakyat di tujuh negara Asia lain — iaitu, Bangladesh, Taiwan, Myanmar, Filipina, China, Kemboja, dan Vietnam — di mana 36% rakyat Malaysia yang ditinjau merasakan Ahli Parlimen mereka korup.

Jawatankuasa ini juga perlu melihat kepada aspek lain laporan ini, di mana 72% rakyat Malaysia merasakan yang rasuah dalam kerajaan adalah satu masalah yang besar dan 39% rakyat Malaysia percaya terdapat peningkatan dalam kes rasuah.

Memandangkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 yang diterbitkan oleh Transparency International (TI) akan diterbitkan dalam masa dua bulan lagi, yang dijangkakan akan melihat kemunduran dalam kedua-dua kedudukan dan markah yang diperolehi oleh negara kita, membantutkan segala usaha baik 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan dalam melawan rasuah dan menambahbaik integriti awam, Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Rasuah dan Integriti perlu mengkaji perkara ini.

Akibat penularan wabak Covid-19, untuk tempoh 19 hari persidangan Parlimen pada bulan November dan Disember ini, persidangan Parlimen hanya berlangsung daripada jam 10 pagi sehingga 2 petang, pengurangan drastik persidangan Parlimen daripada kebiasaannya selama enam jam sebelum ini kepada hanya 4 jam sehari.

Perkara ini telah menjejaskan peranan Ahli Parlimen dalam meneliti dan menyemak imbang tindakan dan polisi kerajaan, dan mengancam fungsi doktrin pemisahan kuasa di antara pihak eksekutif, legislatif, dan kehakiman seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Untuk 12 hari persidangan yang akan datang, bermula daripada 30 November sehingga 17 Disember 2020, Parlimen perlu kembali bersidangan seperti sebelum ini, daripada jam 10 pagi sehingga 1 tengahari, sebelum bersambung semula pada jam 3 petang sehingga jam 6 petang, dengan rehat di antara jam 1 tengahari sehingga 3 petang di mana proses sanitasi boleh dijalankan.


SUmber: https://www.roketkini.com/2020/11/27/bantahan-belanjawan-2021-dihargai-bukti-perjuangan-malaysia-baharu-akan-tetap-diteruskan/?fbclid=IwAR1TFo-g3HwsZF5roFEp0RMywnBe1-QdpAngczkOIs8yBFEDCOs88URi8Ps

Jumlah dana RM129 juta dipotong, kualiti pendidikan dikrompomi?



Kenyataan Bersama 12 Alumni UiTM dari DAP Mengenai Laporan The Malaysian Reserve Bertarikh 24.11.2020 Mengenai Kemungkinan Penamatan 600 Pensyarah UiTM Separuh Masa Akibat Pengurangan Peruntukan Dalam Belanjawan 2021 pada 24 November 2020, di Kuala Lumpur

Kami merujuk kepada laporan portal The Malaysian Reserve pada 24 November 2020 (Rujukan:https://themalaysianreserve.com/2020/11/24/uitm-re-assesses-600-part-time-lecturers-after-funding-cut/) yang menyatakan Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkemungkinan besar akan menamatkan khidmat dan program pensyarah sementara dan mengubah suai pelan strategik institusi itu selepas mengalami pemotongan dana dari kerajaan Perikatan Nasional seperti yang diumumkan di dalam Belanjawan 2021 baru-baru ini. Hal ini akan memberi impak kepada 600 orang pensyarah yang berkhidmat secara separuh masa di institusi tersebut dan memberikan kesan kepada sejumlah besar pelajar di UiTM.

Kami mengecam tindakan kerajaan Perikatan Nasional yang telah membuat keputusan untuk memotong jumlah dana yang disalurkan kepada UiTM. Pengurangan dana sebanyak RM 129 juta, iaitu daripada RM 1.86 billion seperti yang dibentangkan di dalam Belanjawan 2020 oleh kerajaan Pakatan Harapan kepada RM 1.73 billion oleh kerajaan Perikatan Nasional adalah tidak wajar.

UiTM adalah satu-satunya pusat pengajian tinggi awam yang mempunyai kampus cawangan terbanyak iaitu 35 cawangan kampus di seluruh negara serta mempunyai seramai 153,861 orang pelajar sepenuh masa; 160,131 orang pelajar separuh masa dan 288 orang pelajar luar negara.

UiTM juga mempunyai sebanyak 17,706 orang kakitangan yang berkhidmat di seluruh kampus UiTM. Pengurangan dana ini bukan sahaja akan memberi kesan kepada operasi UiTM bahkan akan memberi kesan kepada pembelajaran para pelajar ini.

Kami berharap agar pelajaran dan masa depan anak bangsa ini tidak diperjudikan oleh Kerajaan Perikatan Nasional hanya kerana ingin mencapai cita-cita politik dengan menyalurkan dana yang sepatutnya diberikan kepada UiTM kepada perkara yang tidak penting seperti penubuhan JASA, perbelanjaan tugas-tugas khas di Jabatan Perdana Menteri dan pelbagai lagi perbelanjaan yang meragukan yang telah dibentangkan di dalam Belanjawan 2021.

600 orang pensyarah yang bakal terjejas ini, walaupun hanya berkhidmat separuh masa, namun mereka menpunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang masing-masing yang boleh memberikan manfaat kepada para pelajar UiTM dalam pengajian mereka. Seharusnya tiada kompromi dalam hal berkaitan dengan pendidikan anak bangsa terutamanya di UiTM.

Kami juga menggesa Alumni UiTM dan juga Majlis Perwakilan Pelajar UiTM agar mendesak, mengecam dan membantah tindakan Kerajaan Perikatan Nasional yang melebihkan perkara yang tidak berfaedah kepada negara daripada kualiti pelajaran dan masa depan anak bangsa.

Kenyataan Bersama Oleh:

  1. Farhan Haziq bin Mohamed
    Setiausaha DAPSY Damansara
    Alumni UiTM Shah Alam
  2. Nur Rahim Bin Nasir
    Setiausaha Mahasiswa Roket
    AJK Cawangan DAP Kampung Tunku-SS1
    Alumni UiTM Pahang
  3. Aslam Ramli
    AJK Cawangan DAP Kampung Tunku-SS1
    Alumni UiTM Melaka
  4. Ahmad Afiq bin Jumhuri
    Setiausaha Publisiti Cawangan DAP Kampung Tunku – SS1
    Alumni UiTM Negeri Sembilan
  5. Muhamad Rahimi Raduan
    Setiausaha Cawangan DAP Kiara
    Mantan Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Shah Alam
    Alumni UiTM Shah Alam
  6. Danish Zainuddin
    Penolong Setiausaha Publisiti DAP Melaka
    Alumni UiTM Negeri Sembilan
  7. Muhammad Khairil Khalid
    Pengerusi Cawangan DAP Kiara
    Alumni UiTM Shah Alam
  8. Siti Maimunah Binti Ahmad
    Penyelaras Komuniti Parlimen Iskandar Puteri
    Alumni UiTM Shah Alam
  9. Athari bin Bahardin
    Ahli DAP Cawangan Kiara
    Alumni UiTM Shah Alam
  10. Muhamad Hatim Bin Mohd Basir
    AJK Mahasiswa Roket
    Alumni UiTM Puncak Alam
  11. Mohamed Yazzer Azzad bin Zainudin
    Ahli DAP Cawangan Kiara
    Alumni UiTM Shah Alam
  12. Nurhadi Zainol
    Bendahari DAPSY Damansara
    Alumni UiTM Shah Alam

Sumber: https://www.roketkini.com/2020/11/24/jangan-kompromi-kualiti-pendidikan-uitm/?fbclid=IwAR144WsTfKr-Eoi-igoOsndRrGcE0MjCyHdzxo6kQrk-JBurxVzTNAIAFEw

Wednesday 25 November 2020

PeKT yang ditubuhkan oleh Menteri KPKT hanya berkepentingan politik?



Baru tadi, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan YB Zuraidah Kamaruddin telah menjawab berkenaan dengan peruntukkan sejumlah RM8.6 juta pada tahun 2021 kepada Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT). Beliau telah mengaitkan PeKT dengan Dasar Komuniti Negara yang dilancarkan pada Februari 2019.

Beliau menyatakan program-program yang dilaksanakan di bawah Dasar Komuniti Negara dan bagaimana PeKT akan memainkan peranan dalam pelaksanaan program-program tersebut.

Jawapan Menteri KPKT merupakan suatu jawapan yang putar belit dan tidak langsung menyentuh berkenaan dengan isu pokok iaitu kepentingan politik dalam perkara ini.

Dua minggu yang lepas, saya telah menerima jawapan daripada Menteri KPKT yang mana Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2.6 juta pada tahun 2020 untuk tujuan PeKT di 3 Negeri yang diperintah oleh Pembangkang. Sejumlah 261 ahli PeKT yang melibatkan 46 buah Kerajaan Tempatan telah dilantik.

Sekiranya tujuan utama PeKT adalah untuk membantu dalam pelaksanaan Dasar Komuniti Negara seperti yang didakwa oleh Menteri KPKT, beliau perlu menjawab soalan-soalan pokok seperti berikut yang tidak terjawab:-

(1)         Samaada pelantikan Ahli-Ahli PeKT merupakan lantikan politik semata-mata?

(2)         Samaada KPKT tidak mempunyai keyakinan dan kepercayaan ke atas Kerajaan Tempatan di Negeri-Negeri yang diperintah oleh pihak Pembangkang dalam melaksanakan Dasar Komuniti Negara?

(3)         Samaada KPKT tidak berhasrat untuk melaksanakan program di bawah Dasar Komuniti Negara, atau KPKT berpendapat program-program tersebut adalah tidak perlu di Negeri-Negeri yang diperintah Kerajaan PN, memandangkan tidak ada seorang pun ahli PeKT dilantik?

Jelas, Menteri KPKT hanya cuba memutarbelitkan fakta dalam isu penubuhan PeKT dan cuba untuk melindungi fakta sebenar bahawa ia adalah bertujuan politik semata-mata.

Peruntukkan sebanyak RM8.6 juta kepada PeKT seperti yang dicadangkan dalam Belanjawan 2021 harus ditarik balik dan digunakan untuk tujuan-tujuan lain yang memanfaatkan rakyat.


Sumber: https://www.roketkini.com/2020/11/26/menteri-kpkt-tubuh-pekt-untuk-kepentingan-politik/?fbclid=IwAR1-VDZ59bdP1DLX1RVjTEvqjmigrv2-cplUTMDr-R9WCPNN8gfqEOxBSN4

“Bukan pembangkang yang gagalkan belanjawan, tetapi kerajaan sendiri” - MP Kulai



Ahli Parlimen Kulai (DAP), Teo Nie Ching berpandangan sekiranya Belanjawan 2021 gagal diluluskan esok, ianya bukan disebabkan pembangkang yang menggagalkannya.

Sebaliknya beliau menegaskan, ia kerana sikap kerajaan sendiri yang tidak meyakinkan ahli ‘backbenchers’ pembangkang untuk memberi sokongan.

Menurutnya, sepanjang perbahasan berlangsung selama tiga minggu, kerajaan tidak membuat sebarang ‘engagement’ bersama ‘backbenchers’ pembangkang untuk menjelaskan perkara yang dibangkitkan dalam Dewan Rakyat.

“Sebenarnya dalam pandangan saya, bukanlah pmbangkang yang akan gagalkan Belanjawan 2021 kerana kita pembangkang dan kita tidak cukup nombor.

“Untuk kerajaan meluluskan belanjawan ini, sebenarnya mereka perlu pastikan dapat sokongan dari backbenchers mereka sendiri.

“Tak perlu tunggu sampai Menteri Kewangan buat penggulungan. Apabila kita kemukakan cadangan, takkan kerajaan tak boleh mulakan bagi maklum balas dengan ‘backbenchers’ supaya kita tahu ke mana hala tuju kita,” katanya dalam temubual bersama Astro Awani semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Karang (Umno), Tan Sri Noh Omar berkata, buat masa ini kerajaan melalui Menteri Kewangan sudah bertemu dengan ‘backbenchers’ kerajaan dan menerangkan hujah-hujah dalam Belanjawan 2021.

Menurutnya, kerajaan sedang berusaha mendapatkan sokongan ahli-ahli Parlimen dari kerajaan sendiri dan dengan itu sekiranya pembangkang tidak menyokong pun, belanjawan boleh diluluskan.

“Sepanjang (minggu) berbahas, Menteri Kewangan sendiri telah memanggil kami menerangkan apa hujah-hujah itu. Itu cara dia nak meyakinkan ‘backbenchers’.

“Kerana kalau backbenchers ini bagi sokongan kukuh, pembangkang tak sokong pun belanjawan tetap akan lepas. Cuma apa yang saya risau ‘backbenchers’ tak sokong,” kata Ahli Majlis Tertinggi Umno itu lagi.

Sumber: https://malaysiadateline.com/bukan-pembangkang-yang-gagalkan-belanjawan-tetapi-kerajaan-sendiri/

Teo Nie Ching mohon lebih ramai MP dibenarkan sertai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen



Teo Nie Ching menggesa agar lebih ramai ahli Parlimen dibenarkan untuk menyertai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Kulai berkenaan menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat semalam. 

Beliau memohon agar anggota jawatankuasa pilihan khas ditambah sekurang-kurangnya sembilan orang atau lebih berbanding tujuh yang dihadkan ketika ini. 

Katanya lagi, ketetapan yang membenarkan hanya dua wakil pembangkang untuk menyertai jawatankuasa tersebut adalah tidak adil.

“Ini adalah kerana backbencher yang menyokong kerajaan setakat ini kononnya adalah seramai 48 orang.

“Manakala (backbencher) ahli Parlimen pembangkang adalah seramai 109 orang. 

“Jadi ini menunjukkan bahawa sebenarnya kita (pembangkang) mempunyai lebih ramai backbencher, justeru adalah wajar untuk menambah wakil pembangkang dalam jawatankuasa pilihan khas.

“Pada pandangan saya, dua orang (wakil pembangkang dalam jawatankuasa pilihan khas) adalah amat tidak adil,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini. 

Beliau turut memberi contoh Parlimen di negara lain seperti United Kingdom yang mempunyai sekurangnya-kurannya 11 anggota jawatankuasa pilihan khas.

“Selain daripada itu, jawatankuasa pilihan khas di New Zealand boleh melantik maksimum 12 orang. 

“Jadi ini menunjukkan bahawa tiada masalah untuk kita tambah lagi anggota jawatankuasa pilihan khas. 

“Kalau kita boleh tambah anggota jawatankuasa pilihan khas sekurang-kurangnya sembilan orang, kita sekaligus boleh menambah tiga ke empat lagi wakil pembangkang dalam jawatankuasa tersebut,” ujarnya.

Katanya penambahan jumlah anggota jawatankuasa pilihan khas juga membolehkan lebih ramai ahli Parlimen untuk mengutarakan pandangan atau cadangan mereka berkaitan isu rakyat seperti pendidikan.

Beliau yang juga Setiausaha Antarabangsa DAP dalam pada itu turut berharap agar Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun dapat mempertimbangkan permohonan tersebut.


Sumber: https://www.roketkini.com/2020/11/25/nie-ching-mohon-speaker-benarkan-lebih-ramai-mp-sertai-jawatankuasa-pilihan-khas/?fbclid=IwAR2KRrWcRF_cZ4X1FiUOZ9-2SyfjQ5mvHh2QWBv71SynPCE8MSFy1Y_mvyk

Malaysia jelas hilang hala tuju dalam pembangunan tenaga boleh baharu



Saya telah menerima jawapan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bertarikh 10.11.2020 yang menyatakan kementerian sedang mengkaji semula sasaran 20 peratus tenaga boleh baharu (TBB) menjelang 2025 dan hendak menetapkan satu sasaran TBB yang lebih inklusif. 

Ini adalah amat mengejutkan dan jelas Malaysia di bawah pemerintahan Kerajaan PN telah hilang hala tuju dalam pembangunan TBB.

Sebelum ini, Kerajaan PH telah menetapkan sasaran peningkatan TBB dalam penjanaan elektrik ke 20 peratus menjelang tahun 2025, tidak termasuk penjanaan hidro besar yang melebihi 100 megawatt

Sasaran ini, antara lain, dapat membantu dalam penurunan pelepasan karbon negara dan berpotensi untuk menjana RM33.2 bilion pelaburan dan 100,000 peluang pekerjaan baharu.

Kerajaan PN tidak mempunyai kemahuan politik untuk membangunkan sektor TBB di Malaysia dan jawapan dari KeTSA tersebut menunjukkan Kerajaan PN seolah-olah mengaku kalah sebelum masuk medan perang, walaupun kita masih ada masa empat tahun untuk mencapai sasaran 20 peratus yang ditetapkan.

Sekiranya KeTSA tidak mempunyai idea baharu, sekurang-kurangnya ia boleh meneruskan hala tuju MESTECC yang telah ditetapkan sebelum ini.

Antaranya, Renewable Energy Transition Roadmap (RETR) yang merupakan usahasama jabatan-jabatan seperti Sektor Tenaga MESTECC, SEDA, Suruhanjaya Tenaga (ST) dan pemegang kepentingan industri terbabit telahpun dimuktamadkan sejak bulan Februari 2020 yang lepas dan sedia untuk dilancarkan pada bulan April 2020.

Namun, tiada sebarang perkembangan untuk pelancaran RETR setelah pengambilalihan pemerintahan oleh Kerajaan PN. Kita juga tidak nampak apa-apa usaha baharu dalam sektor pembangunan TBB diumumkan oleh Kerajaan PN. Apa yang sudah berlaku?

Pada masa yang sama, atas kegagalan pemerintahan Kerajaan PN dalam memahami keperluan industri, pemain industri TBB juga berasa kehilangan hala tuju dan keyakinan apabila tiada apa-apa pengumuman oleh Kerajaan PN berkenaan dengan rancangan pasca-NEM 2.0 (Net Energy Metering 2.0).

Pemerintahan PH sebelum ini telah memperkenalkan konsep “1 to 1 off-set” yang lumayan dalam NEM 2.0 dan membawa pengambilan kuota NEM yang besar dalam masa 2 tahun kebelakangan ini.

Laman sesawang SEDA menunjukkan hampir 400 megawatt kuota NEM telah dipenuhi dan ini bermaksud lebih 95 peratus kuota yang dipenuhi ini adalah hasil daripada konsep baharu di bawah NEM 2.0.

NEM 2.0 akan tamat tempohnya pada 31.12.2020 dan sehingga kini, industri masih sedang menunggu jawapan sama ada NEM 3.0 akan diperkenalkan dan sama ada ia akan meneruskan pulangan “1 to 1 off-set” seperti dalam NEM 2.0. Kelewatan ini telah menyebabkan pelabur dan pemain industri telah hilang keyakinan.

Kerajaan PH telah meletakkan segala usaha di atas landasan yang betul dan Kerajaan PN hanya perlu memastikan prestasi pelaksanannya. Namun, Kerajaan PN nampaknya bersikap lebih cenderung untuk mematikan polisi-polisi baik tersebut.


Sumber: https://www.roketkini.com/2020/11/25/malaysia-hilang-hala-tuju-dalam-pembangunan-tenaga-boleh-baharu/?fbclid=IwAR396mC_iwjJmXBwVUns4JKSi0o4SlRW7tCZ-VJjb0C0Ftbqh36j_yDKG4k

Tuesday 24 November 2020

Pakar ekonomi anggap Belanjawan 2021 tidak cukup untuk bantu golongan B40



Pakar ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid menyifatkan Belanjawan 2021 tidak mencukupi untuk membantu golongan berpendapatan rendah atau B40.

Bekas penasihat ekonomi kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata, peniaga kecil dan penjaja seperti Makcik Kiah paling tertekan kerana tiada bantuan khusus untuk golongan terbabit.

“Untuk golongan makcik Kiah yang paling tertekan iaitu mereka yang berkerja dalam sektor tidak formal seperti bekerja sendiri dan menjual nasi lemak.

“Dulu ada Geran Prihatin Nasional RM3,000. Tapi kajian yang kita buat dengan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) daripada 100 Makcik Kiah, hanya tiga yang memohon kerana ramai tidak faham.

“Untuk tahun depan tidak ada lagi bantuan untuk Makcik Kiah walaupun mereka golongan paling tertekan. Tidak ada bantuan baru untuk Makcik Kiah.

“Orang susah hanya dapat one-off bantuan manakala Makcik Kiah tidak dapat apa,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam bual bicara menerusi FB Live Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) malam tadi.

Dr Muhammed yang juga pengarang buku, “Antara Dua Darjat: Agihan Pendapatan di Malaysia” menegaskan Belanjawan 2021 juga sedikit tersasar ketika ramai rakyat sudah sedia hidup susah sebelum pandemik Covid-19.

“Setiap tahun belanjawan makin membesar dan ekonomi makin berkembang. Persoalannya, adakah belanjawan yang dibentangkan itu dapat mencapai dua matlamat iaitu menyelamatkan nyawa dan melindungi kesejahteraan rakyat?

“Berdasarkan analisa saya, ianya tidak mencukupi malah ada sedikit tersasar. Sebelum Covid-19, rakyat sudah susah.

“Kadar kemiskinan di Malaysia lebih kurang lima peratus tetapi di sesetengah negeri lebih tinggi.

“Di Sabah, 20 peratus kadar kemiskinan mutlak. Di Pitas, kawasan yang seorang penuntut terpaksa panjat pokok untuk dapatkan talian internet, kadar kemiskinan di sana mencecah 50 peratus,” dedahnya.

Bekas Pengarah Penyelidikan di Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) itu menjelaskan kadar kemiskinan relatif antara 2016 dan 2019 juga semakin meningkat walaupun berlaku perkembangan ekonomi.

“Ini sebelum munculnya Covid-19, kadar kemiskinan sudah ada. Malah, yang tidak miskin juga mudah jatuh miskin.

“Selepas krisis, semakin teruk golongan B40 terutamanya ibu tunggal dan OKU (Orang Kelainan Upaya). Adakah bantuan diberikan secukupnya kepada mereka?

“Nampaknya tidak mencukupi. Golongan B40 kerajaan hanya beri BPN (Bantuan Prihatin Nasional) 2.0 berjumlah RM1,000,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan kira-kira separuh daripada 17 juta pekerja di negara ini tidak mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta realiti masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak.

“Yang ada caruman KWSP pun, 54 peratus daripadanya ada simpanan kurang RM50,000. Ini sebelum krisis (Covid-19).

“Sebelum krisis juga kemiskinan kanak-kanak iaitu kadar zat mereka tidak cukup seperti seperti di Kelantan dan Terengganu.

“Malah, kalau kita bandingkan negara yang dilanda perang dan jauh lebih miskin daripada kita seperti Palestin dan Ghana, kanak-kanak kita lagi teruk daripada mereka.

“Satu pertiga kanak-kanak kita tidak cukup tinggi atau terbantut yang mempengaruhi perkembangan otak,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Dr Muhammed juga berpendapat pelaksanaan Program Subsidi Upah selama tiga bulan lagi dengan lebih bersasar, khususnya bagi sektor pelancongan termasuk sektor peruncitan wajar diperluas kepada bidang lain.

“Sepatutnya lebih melebar. Kalau orang dan syarikat tidak berbelanja dengan ekonomi kita yang bergantung pada domestik, bagaimana ekonomi boleh berkembang.

“Syarikat yang tidak dapat untung, bagaimana hendak bayar cukai?” soalnya lagi.

Untuk rekod, Menteri Kewangan berkata Program Subsidi Upah itu dilanjutkan dengan kadar RM600 sebulan bagi pekerja bergaji 4,000 ringgit dan ke bawah selain had 200 pekerja bagi setiap permohonan akan ditingkatkan kepada 500 pekerja.

Menurut Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, sebanyak RM1.5 bilion ringgit diperuntukkan bagi program tersebut dalam Belanjawan 2021 yang dijangka membantu kira-kira 70,000 majikan dan 900,000 pekerja.

Sebelum muncul Covid-19 lagi, kadar kemiskinan di negara ini telah meningkat.

Sumberhttps://malaysiadateline.com/makcik-kiah-paling-tertekan-pakar-ekonomi-anggap-bantuan-kepada-b40-tidak-cukup/