Tuesday 26 January 2021

Steven Sim kemuka 5 insentif bantu anak-anak pelajar Bukit Mertajam berdepan PdPR



 Kenyataan Media Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam


24 JANUARI 2021 | BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG


Negara kita kini menghadapi krisis lima berganda iaitu, 1) krisis kesihatan, 2) krisis ekonomi, 3) krisis politik, 4) krisis keyakinan dan 5) krisis pendidikan.


Seluruh rakyat Malaysia tidak kira kaum, agama, negeri, jantina, mahupun lapisan umur terkesan dengan krisis lima berganda ini.


Masalahnya ialah, kerajaan Persekutuan seakan-akan “melepas tangan” dan membiarkan rakyat Malaysia bergelut untuk survival masing-masing. Namun, para wakil rakyat, sektor swasta, NGO, dan orang perseorangan seperti Ustaz Ebit Lew telah bangkit untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. 


Di Bukit Mertajam, pada tahun 2020, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam telah menyalurkan bantuan Covid-19 bernilai RM216, 340.00 untuk penduduk di kawasan Bukit Mertajam. Jumlah ini termasuk hampir 20,000 pek makanan masak, 10 tan sayur-sayuran dan ikan segar, beras, makanan tin, susu tepung bayi, minyak masak, selain bantuan tunai dan sebagainya. 


Pada tahun ini, kami akan meneruskan bantuan Covid-19 di Bukit Mertajam. Namun, memandang kepada keperluan yang semakin mendesak di sektor pendidikan, kami juga akan melaksanakan LIMA (5) usaha baharu di bawah program “Asal Cek Mau Pi Sekolah”.


Bagi bantuan Covid-19, LIMA usaha di bawah “Asal Cek Mau Pi Sekolah” adalah seperti berikut:


1) Perkhidmatan Cetak Kerja Rumah Percuma


Ada sesetengah aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang memerlukan para pelajar mencetak kerja rumah. Bagi membantu meringankan beban keluarga, kami akan membantu para pelajar mencetak kerja rumah secara percuma TERHAD kepada kerja rumah sekolah rendah dan sekolah menengah sahaja. Butir-butir adalah seperti berikut: 


Hari Operasi: Isnin – Jumaat


Masa: 10 pagi – 2 petang


Kaedah: Hantar kerja rumah melalui Whatsapp ke nombor 017 568 0348 atau 017 568 0324. 


2) Kelas Bimbingan Atas Talian Percuma


Pendidikan dalam norma baharu memberikan cabaran yang besar kepada para pelajar untuk mengikuti pembelajaran terutamanya melalui PdPR. Justeru, kami menawarkan kelas bimbingan atas talian percuma dengan kerjasama Pusat Tuisyen Rakyat anjuran Penggerak Komuniti Muda (PEKA). 


Kelas bimbingan ditawarkan kepada pelajar Darjah 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 dalam subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Kelas akan berlangsung dari Februari sehingga Disember 2021.


Kaedah:


Permohonan melalui laman web: www.stevensim.com/asalcekmaupisekolah


3) Tambah Nilai Data Internet


PdPR dan pembelajaran atas talian juga memberikan beban kewangan kepada para pelajar dari segi bil internet terutamanya mereka yang terpaksa bergantung kepada perkhidmatan jalur lebar mudah alih (mobile broadband). 


Kami menyediakan kad SIM data tanpa had untuk SATU bulan (MAXIS) dan tambah nilai sehingga RM30 ONE-OFF telco yang lain. 


Kaedah:


Permohonan melalui laman web: www.stevensim.com/asalcekmaupisekolah


4) Program Anak Angkat MP Bukit Mertajam


Program ini merupakan antara program lama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam. 10 orang pelajar akan dipilih dari kalangan pelajar Tingkatan 4 hingga 6 Atas sebagai anak angkat Ahli Parlimen Bukit Mertajam. Setiap mereka akan diberi elaun RM100 sebulan selama setahun sebagai meringankan beban ibu bapa dalam persekolahan mereka. 


Program ini bertujuan untuk membantu para pelajar menumpukan perhatian dalam pelajaran mereka dan tidak bimbang tentang masalah kewangan. 


Kaedah:


Permohonan melalui laman web: www.stevensim.com/asalcekmaupisekolah


5) Komputer Riba Percuma


Pada tahun 2020, Kementerian Pendidikan telah melaporkan bahawa 36.9% pelajar tidak mempunyai komputer, tablet, komputer riba mahupun telefon pintar. Bagi keluarga yang mempunyai lebih daripada seorang anak yang bersekolah, mereka akan menghadapi masalah kekurangan peralatan PdPR di rumah. 


Justeru, mulai bulan Februari 2021, kami akan mengagihkan 50 komputer riba percuma kepada keluarga yang berkelayakan di Bukit Mertajam bagi membolehkan para pelajar mempunyai pengalaman PdPR yang lebih lancar dan selesa. 


Kaedah:


Permohonan melalui laman web: www.stevensim.com/asalcekmaupisekolah


Sumbangan orang ramai


Memandangkan kini Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam tidak menerima peruntukan daripada kerajaan persekutuan, sumber yang kami ada amat terhad sekali. Namun kami akan terus mencari dana untuk membantu dan mempertingkatkan program “Asal Cek Mau Pi Sekolah” dari masa ke masa mengikut keperluan.



Kami mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi membolehkan kami terus membantu masyarakat setempat. Anda boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank kami: 


Nama Akaun: “Akaun Khas Pusat Khidmat Parlimen Bukit Mertajam”


No. Akaun: 5570 9052 7361


STEVEN SIM CHEE KEONG 


Ahli Parlimen Bukit Mertajam


Sumber: https://stevensim.com/2021/01/24/lima-5-usaha-asal-cek-mau-pi-sekolah/

Monday 25 January 2021

PdPR: PN gagal tangani tiga isu kritikal pendidikan – Teo Nie Ching

 


oleh Ghafar NS


Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching hari ini membangkitkan tiga isu kritikal yang gagal ditangani oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan dengan persiapan serta kesediaan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).


“KPM sejak Mac tahun lalu diarahkan untuk melaksanakan inisiatif PdPR ini, namun sehingga hari ini kita masih menghadapi masalah dan berada pada tahap yang sama,” kata Nie Ching dalam kenyataannya hari ini.


Menurut Ahli Parlimen Kulai itu, tiga isu kritikal PdPR yang masih gagal ditangani oleh kerajaan adalah:


1) Tiada alat peranti elektronik


Sejak April 2020, KPM sedar bahawa 36.9 peratus pelajar di Malaysia tidak mempunyai alat peranti elektronik bagi menjalani pembelajaran atas talian. Ini bermakna lebih kurang 1.7 juta pelajar terdesak memerlukan komputer riba ataupun tablet bagi memenuhi PdPR.


Nie Ching memberitahu, pada November tahun lepas, beliau telah menyatakan bahawa 150,000 komputer riba yang dijanjikan oleh Menteri Kewangan dalam bajet 2021 adalah amat tidak mencukupi untuk para pelajar.


“Malah, di mana 150,000 komputer riba yang dijanjikan itu?


“Bagaimana kerajaan boleh berpuas hati dengan menjanjikan 150,000 komputer riba, sedangkan PdPR adalah norma baharu yang akan dilalui dalam satu tempoh masa yang panjang?” soalnya.


2) Tiada akses internet


“Tahun lepas kita menerima banyak berita mengenai susah payah yang terpaksa dilalui oleh para pelajar, guru dan ibu-bapa hanya untuk mendapatkan akses internet.


“Apakah pengajaran yang diambil oleh kerajaan melalui kisah Veveonah Mosibin, Cikgu Mujalifah Kassim dari SMK Sibu Jaya, Cikgu Sambau Dugat dari SMK Lubok Antu dan tiga pelajar yang tercedera ketika mencari akses internet di Ranau Sabah?” soalnya lagi.


Nie Ching turut bertanya pada pihak kerajaan tentang perancangan mereka bagi pelajar-pelajar yang tiada akses internet ini, dan adakah kerajaan bersedia untuk menyediakan pakej data internet satelit percuma untuk mereka?


3) TV Pendidikan


Menurut Nie Ching, servis TV Pendidikan adalah amat penting sekali, namun kandungan dan tempoh masa tayangan tidak mencukupi.


“Sejak tahun 2020, kami telah menyatakan kekurangan saluran TV Pendidikan ini, bahkan turut diakui Menteri Pendidikan sendiri. Namun, mengapa masih belum ada penambahbaikan?” tambah Nie Ching lagi.


Beliau bagaimanapun berkata, situasi pandemik ini adalah cabaran amat besar buat semua dan turut memahami kesulitan yang dihadapi pihak kerajaan.


“Kerajaan harus pantas menangani isu-isu kritikal dan cabaran ini kerana masa depan anak-anak Malaysia yang dipertaruhkan,” tegasnya. 


Sumber: https://www.roketkini.com/2021/01/25/pdpr-pn-gagal-tangani-tiga-isu-kritikal-pendidikan-nie-ching/?fbclid=IwAR2041t0nszQL8Kn766yl3fJmY6wnflAKxTZTKig6iKGLi9TAlDkoaqL4h4

Friday 22 January 2021

Veteran DAP mangalu-alukan integrasi sistem hospital awam dan swasta bagi merawat Covid-19

 


Veteran DAP, Lim Kit Siang mengalu-alukan pengumuman daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah yang mengatakan Kementerian Kesihatan berhasrat untuk mula mengintegrasikan sistem hospital awam dan swasta di Malaysia untuk merawat kes-kes serius Covid-19 bermula menjelang minggu hadapan.


Ini kerana perkara ini adalah langkah pertama ke arah pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan Covid-19 yang sepatutnya diguna pakai sejak daripada sepuluh bulan yang lepas lagi.


“Kini apabila kita telah mula melaksanakan proses ini untuk memastikan kita berjaya mengekang wabak ini, kita perlu meluaskan liputan dan saiz proses ini untuk melibatkan pemain utama seperti parti politik, badan budan kerajaan, PKS, sektor korporat, dan para pelabur, berserta dengan pemanggilan sidang khas Parlimen untuk berbincang mengenai wabak Covid-19 sebagai platform untuk pendekatan dan strategi ini,”katanya.


Bagi beliau, terdapat kerisauan mengenai kekurangan ujian saringan yang dijalankan di Malaysia sejak daripada bulan November yang perlu segera ditangani.


Laman web CodeBlue melaporkan, untuk tempoh selama 10 minggu sejak daripada 6 November, kadar positif Covid-19 di Malaysia berada di atas paras lima peratus, melebihi sasaran maksima Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).


Kadar positif ujian saringan Covid-19 di Malaysia (peratusan ujian yang disahkan positif) kekal di atas paras lima peratus sejak 6 November, menggunakan kadar purata-bergerak tujuh hari, memuncak kepada 9.1 peratus pada 1 Januari tahun ini.

Kadar positif ini kemudiannya turun kepada enam peratus pada 18 Januari, beritahu beliau.


“Dengan cadangan WHO supaya kadar positif ini dikekalkan pada tahap bawah lima peratus, perkara ini bermakna bahawa negara kita tidak menjalankan ujian saringan secukupnya untuk mengenal pasti kes-kes ringan dan tidak bersimptom,” katanya.


Sejak daripada bulan November, angka purata harian yang dilaporkan di Malaysia terus meningkat daripada purata 1,089 kes di antara 6 sehingga 19 November, kepada 3,148 di antara 8 sehingga 21 Januari 2021.


Walaupun angka ini kelihatan tinggi, hakikat di mana kita tidak menjalankan ujian saringan secukupnya bermakna angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi, kata ahli parlimen Iskandar Puteri itu.


Peningkatan tinggi kes harian yang berterusan (dengan 3,178 kes baharu semalam, yang meletakkan Malaysia di tangga ke-59 di dunia dengan jumlah kes terkumpul tertinggi, dengan 172,549 kes.


Negara kita dijangkakan mengatasi kedudukan Lithuania di tempat ke-58 esok) dan sambungan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan kedua (PKP 2.0) sehingga 4 Februari perlu meyakinkan Kabinet bahawa wabak Covid-19 ini perlu menjadi keutamaan tertingginya, jika kita tidak mahu Malaysia dilanda bencana Covid-19.


Penting juga untuk memastikan rakyat secara amnya terus mempunyai kepercayaan dan keyakinan dalam strategi dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat”.

Wabak Covid-19 ini tidak sepatutnya dieksploitasikan untuk membolehkan perlakuan penyalagunaan kuasa, penipuan, atau apa-apa tindakan diskriminasi terhadap mana-mana kaum, agama, atau mana-mana sektor penduduk majmuk di Malaysia.


Sumber: https://malaysiadateline.com/intergrasi-kerajaan-dan-swasta-melawan-covid-19-dialu-alukan/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook

Batalkan cuti Thaipusam membuta tuli, kata AMK



Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mendesak agar Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Mohd Nor menarik semula keputusannya yang membatalkan cuti perayaan Thaipusam di negeri itu.


Ketuanya, Akmal Nasir berkata, keputusan yang dianggap membuta tuli itu adalah tidak wajar dan tidak rasional serta perlu ditarik semula kerana ia berpotensi menyuburkan api perkauman.


Katanya, apa yang dilakukan Sanusi memberi petunjuk bahawa tidak mustahil cuti sambutan Tahun Baru Cina dan Hari Raya juga akan ditarik balik dengan alasan yang sama.


“Kenyataan tidak bertanggungjawab MB Kedah ini memberi petunjuk jelas bahawa beliau tidak menjiwai semangat kemajmukan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama.


“Tambah memalukan lagi apabila beliau yang mewakili parti Pas kononnya adalah cerminan kepada pendekatan Kerajaan Melayu-Islam sebenarnya, telah memberikan gambaran tidak baik terhadap Melayu-Islam pada kaca mata masyarakat bukan Islam di Malaysia.


“Alasan sudah terlalu banyak cuti kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya, amat tidak rasional dan tidak wajar,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.


Akmal juga mengingatkan Sanusi babawa masyarakat India mempunyai sumbangan besar kepada negeri yang perlu diberi penghormatan melalui cuti perayaan yang mereka sambut.


Sumber: https://malaysiadateline.com/batalkan-cuti-thaipusam-membuta-tuli-kata-amk/

Wednesday 20 January 2021

Unit Tindakan DAP terus proaktif jadi pasukan bantuan ketika pandemik dan bencana alam

 


Oleh B. Suffian


Adat kehidupan ialah bantu membantu, lebih-lebih lagi apabila terdapat dalam kalangan kita yang ditimpa musibah. 


Menjadi tanggungjawab kita sebagai anggota masyarakat untuk membantu satu sama lain.


Dengan keadaan negara kini yang sedang dibelenggu dengan pandemik Covid-19 dan dilanda bencana banjir, pelbagai kerja bakti boleh dilakukan dalam usaha membantu mereka yang terjejas.


Sebab itu, Unit Tindak DAP terus proaktif melebarkan tanggungjawabnya menjadi sebuah pasukan bantuan ketika berlakunya pandemik dan bencana alam. 



Pasukan diketuai Adun Teratai, Bryan Lai ini aktif memainkan peranan untuk mengurangkan virus Covid-19 dalam komuniti serta membantu mangsa-mangsa banjir di negeri-negeri terjejas.


“Untuk masa sekarang Unit Tindak fokus dalam bantuan pencegahan pandemik Covid-19 melalui  sanitasi besar-besaran. Unit Tindak melalui nasihat Jabatan Kesihatan telah menubuhkan pasukan sanitasi. 


“Pasukan ini telah menjalankan lebih 1,000 operasi sanitasi secara percuma seluruh negara. Sanitasi ini yang dimulakan pada akhir Mac 2020 berhasrat memainkan peranan untuk mengurangkan virus ini dalam komuniti. 


“Dalam masa sama juga, Pendidikan pencegahan covid 19 juga dipergiatkan oleh pasukan unit tindak bagi mendidik masyarakat agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan pencegahan Covid-19,” jelas Bryan ketika dihubungi baru-baru ini.



Sedikit sejarah, Unit Tindak yang ditubuhkan oleh Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke dan dipopularkan oleh Kapten Unit Tindak,  Mendiang Eddie Ng merupakan barisan hadapan dalam mana-mana perhimpunan aman untuk menjaga peserta dan pimpinan parti. 


Bergerak selaras perkembangan semasa, Unit Tindak telah melebarkan tanggungjawab dalam menghulurkan bantuan melalui peralatan dan pengetahuan yang betul ketika bencana berlaku. 


Bryan menambah, antara bantuan yang telah diberikan adalah membantu pihak pasukan penyelamat mencari mangsa lemas dan memindahkan mangsa banjir dengan menyediakan bot.


Selain itu katanya, Unit Tindak membantu pasukan penyelamat memadam kebakaran serta bantuan mengumpulkan barangan asas kepada mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur. 



Ditanya berhubung penerimaan masyarakat terhadap unit tersebut, Bryan berkata, dalam tempoh masa setahun Unit Tindak telah berjaya menubuhkan sebanyak 18 bahagian di negeri-negeri seluruh Malaysia seperti, Kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan , Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Johor.


Menurutnya, Unit Tindak seluruh Malaysia telah mendapat permohonan untuk bantuan sanitasi awam bukan sahaja di kawasan-kawasan kediaman B40 malah, di agensi-agensi kerajaan termasuk hospital dan ibu pejabat polis. 


“Segala kerja yang dilakukan oleh Unit Tindak tidak memerlukan bayaran.  Cukup sekadar makan dan minuman setelah lelah memakai pakaian perlindungan diri yang agak panas sebagai menghargai mereka,” katanya. 


Tambah beliau, walaupun setiap ahli Unit Tindak wajib menjadi ahli DAP terlebih dahulu, masyarakat boleh membantu kerja-kerja Unit Tindak dengan mendermakan peralatan yang diperlukan seperti pakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE) atau cecair nyahkuman. 


Ditanya tentang perancangan masa depan Unit Tindak, Bryan memberitahu, unit tersebut berhasrat menjadi barisan hadapan parti untuk menjadi pasukan sukarelawan yang membantu masyarakat tanpa mengira warna kulit atau bendera parti. 


“Dalam masa sama, Unit Tindak akan menjalankan kursus-kursus asas profesional dalam penyediaan pengetahuan untuk membantu mangsa dan negara ketika diperlukan. 


“Unit Tindak juga berhasrat untuk memiliki aset menyelamat yang sesuai ketika sesuatu bencana berlaku,” katanya. 


Sumber: https://www.roketkini.com/2021/01/20/unit-tindak-tekun-bantu-rakyat-ketika-pandemik-bencana-alam/

Tuesday 19 January 2021

Rakyat kecam Muhyiddin hanya ulang intipati Belanjawan 2021

 


Oleh Zamzani Husin

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menerima kecaman daripada warganet selepas beliau menyampaikan perutusan berkenaan bantuan khas sempena pelaksanaan PKP 2.0, semalam.

Ini selepas rata-rata daripada mereka mendapati tiada bantuan baru yang diumumkan ‘Bapa Perutusan Negara’ itu kerana dilihat hanya mengulang perkara yang pernah disebut dalam Belanjawan 2021.

Seorang pengguna Twitter, @hafizkenny antaranya, menyentuh mengenai penyaluran Bantuan Prihatin Nasional 2.0 yang kononnya dipercepatkan.

Terdapat juga warganet yang mempersoalkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi i-Sinar yang dianggap kononnya sebahagian bantuan daripada kerajaan.

Kekecewaan rakyat ini pernah disuarakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebelum ini. Beliau menyifatkan pelaksanaan PKP 2.0 sebagai lemah kerana tidak diiringi dengan bantuan yang mencukupi kepada rakyat.

Situasi PKP yang mencabar menurut beliau, perlu diiringi dengan pakej rangsangan ekonomi yang besar bagi memastikan mata pencarian ekonomi rakyat tidak terjejas.

Mantan Menteri Kewangan itu antara lain menggesa supaya kerajaan menyediakan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM45 bilion.

Beliau mencadangkan kenaikan pembayaran bantuan bulanan kebajikan masyarakat kepada RM1,000, termasuk kepada penganggur.

Beliau turut menggesa pelanjutan automatik moratorium pembayaran balik pinjaman bank, tidak termasuk golongan 20% teratas, sehingga tarikh akhir Perisytiharan Darurat pada 1 Ogos yang akan membantu 8 juta individu dan syarikat Malaysia.

Namun, sepertimana saranan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang agar kerajaan mengambil pendekatan “keseluruhan masyarakat” dan “keseluruhan kerajaan” bagi menangani wabak Covid-19 tidak diendahkan, begitu juga cadangan suntikan fiskal berkenaan.


sumber: https://www.roketkini.com/2021/01/19/rakyat-kecam-muhyiddin-ulang-intipati-belanjawan-2021-tiada-bantuan-baru/?fbclid=IwAR3u5IpmIlLuKPROENYcZqZiyplWCCnAgs_x9DYx2QcKXDPJN7DVBzKVhtA

Sunday 17 January 2021

DAP sering jadi “kambing hitam” UMNO bagi menutupi kelemahan pentadbiran



 Oleh Zamzani Husin


Ketua DAPSY Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali membidas tindakan parti-parti Perikatan Nasional (PN) terutama UMNO yang dilihat sering menyalahkan DAP dalam pelbagai masalah yang dihadapi mereka. 


Katanya, tindakan itu membuktikan kerajaan PN lemah kerana terpaksa menggunakan DAP sebagai ‘punching bag’ untuk menutup kelemahan pentadbiran mahupun perbalahan dalaman gabungan rapuh tersebut. 


“Tindakan parti yang menunggang nama Melayu ini sangat melucukan. Selepas langkah Shareton, parti DAP sudah bukan lagi sebahagian dari kerajaan. 


“Tetapi tiap kali berlaku pergaduhan antara parti-parti Perikatan Nasional ini, setiap kali itu jugalah nama DAP diperalatkan.


“Ini gambaran bahawa mereka sangat lemah. 



“Kononnya hebat, tetapi terpaksa bersandar pada DAP untuk dijadikan ‘punching bag’ bagi menutup kelemahan pentadbiran mahupun perbalahan dalaman,” tegas Adun Paloh itu dalam kenyataan, hari ini. 


Beliau mengulas kenyataan Annuar Musa berkaitan tiga sebab mengapa UMNO perlu menolak DAP seperti yang dilaporkan muka hadapan Sinchew Daily edisi malam semalam.


Annuar antara lain berkata, UMNO akan kalah semua kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jika ia bekerjasama dengan DAP.


Untuk rekod, Muhyiddin Yassin turut memberikan alasan yang serupa bagi mencetuskan Langkah Sheraton setahun yang lalu.


Mengulas lanjut, Sheikh yang juga Setiausaha Publisiti DAP Johor berkata, semua pemimpin dan petugas akar umbi DAP sedang sibuk berkhidmat untuk rakyat yang terpaksa berdepan dengan banjir dan tekanan ekonomi akibat penularan Covid-19.


“Fokus DAP ketika ini ialah untuk istiqamah membantu rakyat dan membantu golongan kurang bernasib baik. 


“Bukan mencari pihak ketiga untuk dipersalahkan, bagi menutup kelemahan diri sendiri,” tegasnya.


Sumber: https://www.roketkini.com/2021/01/18/dap-terus-istiqamah-bantu-rakyat-meski-jadi-punchbag-umno/?fbclid=IwAR3GtUQPa-AZ2NadaSEqTrRC_uO8AveTsQ_3UqT2nDQtKu5r9jnPV6NS3eE