Friday 30 October 2020

Pembangkang mahu turut bersama dalam usaha menangani Covid-19 di Sabah


Anggota Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin menggesa Ketua Menteri Sabah Hajiji Mohd Nor untuk menyertakan pembangkang dalam usaha mendepani kesan wabak Covid-19.

Chan yang merupakan setiausaha DAP Sabah mencadangkan anggota pembangkang dimasukkan dalam Majlis Ekonomi Sabah yang baru ditubuhkan.

Penubuhan majlis itu diumum Hajiji semalam untuk merangka pemulihan ekonomi negeri itu.

Ahli majlis itu belum diumumkan tetapi difahamkan ia akan dibarisi tokoh pelbagai industri, ahli perniagaan, ahli akademik dan NGO.

"Saya menggesa Hajiji untuk lebih inklusif dan berfikiran dwipartisan dalam melantik ahli majlis," katanya.

Katanya, kerajaan perlu berfikiran "seluruh kerajaan" dan "seluruh masyarakat" dengan tidak meminggirkan anggota DUN pembangkang untuk turut menyumbang.

Chan mendakwa kerajaan negeri tidak melayan cadangan oleh wakil rakyat pembangkang serta tidak melayan tawaran mereka untuk memberi bantuan.

"Amat sedih apabila kerajaan mengutamakan politik dan tidak memberi ruang untuk pembangkang melakukan sesuatu yang dapat meningkatkan populariti (pembangkang) di kalangan rakyat," katanya lagi.

Mengulas isu Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan, Chan berkata dia tiada masalah untuk menyokongnya.

"Bagaimanapun, isunya adakah Muhyiddin akan terus bersikap dingin? Apakah dia akan menerima kami sebagai wakil penduduk di kawasan masing-masing?

"Adakah dia sanggup meminda Akta Covid-19 untuk memasukkan cadangan pembangkang?

"Adakah syarat DAP seperti yang dinyatakan Setiausaha Organisasi Anthony Loke begitu tak boleh diterima sehingga tidak ditimbang langsung olehnya?" soalnya lagi.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/548616


Thursday 29 October 2020

Kerajaan digesa adakan rundingan dengan ahli parlimen pembangkang berhubung Belanjawan 2021



Majlis Presiden PH menggesa kerajaan agar segera mengadakan rundingan dengan ahli parlimen pembangkang berhubung Belanjawan 2021 sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat November depan.


Gesaan itu dinyatakan dalam kenyataan media yang ditandatangani Presiden PKR merangkap Pengerusi PH Anwar Ibrahim; Presiden Amanah Mohamad Sabu; dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.


Menurut PH, gesaan itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.


“Maka perdana menteri harus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dengan mengadakan perbincangan dan rundingan segera dengan pihak pembangkang berkenaan isi kandungan Belanjawan 2021 sebelum ia dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini, supaya ia dapat mencapai objektif-objektif yang diingini Tuanku," kata Majlis Presiden PH selepas mesyuarat di ibu pejabat PKR, hari ini.

Majlis Presiden PH juga menyuarakan keyakinan bahawa semua ahli Parlimen dapat berbahas secara sihat bagi memastikan Belanjawan 2021 mengutamakan kepentingan negara dan rakyat, serta menepati titah Sultan Abdullah.

Sumber : https://m.malaysiakini.com/news/548620

25 usul menentang PM telah dikemukakan



SHAH ALAM - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa terdapat dua usul undi percaya menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikemukakan kepada Dewan Rakyat.

Menurut laporan Malaysiakini, Fahmi berkata, kedua-dua usul tersebut datangnya daripada ahli Parlimen kerajaan iaitu ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh daripada Pas.

"Seramai 25 ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul menentang Perdana Menteri berdasarkan draf Aturan Urusan Mesyuarat pada sidang Parlimen, 2 November ini," katanya hari ini.


Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa perkara tersebut tertakluk kepada perubahan.


"Parlimen akan menghantar salinan semua pertanyaan dan usul yang kami hantar (kepada ahli Parlimen).


"Tetapi urusan mesyuarat itu tertakluk kepada perubahan selanjutnya. Ini hanya sebagai panduan," katanya.


Difahamkan usul undi tidak percaya yang pertama menurut Aturan Mesyuarat ialah daripada Datuk Amiruddin Hamzah (Bebas-Kubang Pasu) di kedudukan nombor 18, diikuti oleh usul undi percaya oleh Muhammad Zawawi.


Di bawah Peraturan Mesyuarat, urusan kerajaan diberi keutamaan untuk dibahaskan di Dewan terlebih dahulu di mana rang undang-undang bagi undang-undang baharu dan pindaan daripada kerajaan didahulukan.


Dalam draf ketika ini Dewan Rakyat ditetapkan membahaskan terlebih dahulu pindaan terhadap Akta Koperasi, diikuti rang undang-undang untuk membentuk Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dan pindaan terhadap Akta Racun.


Rang undang-undang untuk membahaskan dan meluluskan Belanjawan 2021 dijangka ditambah kemudian dan kerajaan juga boleh menambah atau menarik balik rang undang-undang lain.


Sumber: https://www.google.com/amp/s/www.sinarharian.com.my/ampArticle/107509 

Wednesday 28 October 2020

DAP sedia bekerjasama dengan semua parti untuk melanjutkan moratorium



DAP bersedia untuk bekerjasama dengan semua parti bagi menekan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin supaya melanjutkan moratorium pinjaman bank secara automatik.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, lanjutan moratorium sehingga Mac 2021 diperlukan kerana rakyat sedang menderita.

Ahli Parlimen Bagan itu juga berkata bahawa gelombang ketiga penularan Covid-19 telah membantutkan pemulihan ekonomi terutama perniagaan kecil.

“Kerajaan PN telah mengecewakan ramai rakyat Malaysia kerana gagal untuk menyambung moratorium pinjaman bank secara automatik.

“Sekiranya Muhyiddin enggan mendengar keluhan lebih 6.6 juta peminjam yang ditinggalkan ketika moratorium pinjaman berakhir pada 30 September, maka semua parti politik harus bekerjasama untuk menuntut lanjutan moratorium pinjaman secara automatic selama enam bulan lagi.

“Ini semua demi menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya lagi, lanjutan moratorium akan menelan belanja sebanyak RM6.4 bilion, yang mana mampu diserap oleh industri perbankan.

“Industri perbankan telah mencatatkan keuntungan sebanyak RM32 bilion pada tahun 2019 mampu untuk menanggung kos tersebut.

“Jika industri perbankan tidak mahu memikul tanggungjawab sosial korporat itu sekalipun, kerajaan harus menanggungnya,” ujarnya.


Sumber: https://www.roketkini.com/2020/10/28/dap-sedia-kerjasama-dengan-semua-parti-politik-untuk-lanjutan-moratorium/?preview=true&_thumbnail_id=51957 

Tuesday 27 October 2020

Tubuh Jawatankuasa Parlimen Bipartisan Mengenai Covid-19 Pada Sidang Akan Datang - Lim Kit Siang


Kenyataan Media oleh Ahli Parlimen DAP untuk Iskandar Puteri Lim Kit Siang di Gelang Patah pada hari Rabu, 28 Oktober 2020:

Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh Parlimen pada persidangan 2 November ini adalah untuk menubuhkan Jawatankuasa Parlimen bipartisan pada Covid-19 untuk memberi contoh pemikiran dan pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan wabak Covid-19

Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh Parlimen pada persidangan 2 November ini adalah untuk menubuhkan Jawatankuasa Parlimen bipartisan pada Covid-19 untuk memberi contoh pemikiran dan pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan wabak Covid-19.

Parlimen di negara-negara lain telahpun menubuhkan jawatankuasa parlimen mengenai Covid-19 dan membentangkan laporan dan cadangan mengenai bagaimana perang melawan pandemik global Covid-19 ini dapat menjadi lebih efektif dan memberikan perhatian terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh komuniti yang memerlukan dalam berhadapan dengan wabak ini.

Namun di Malaysia, bukan sahaja tidak ada sebarang tindakan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Covid-19, semua jawatankuasa parlimen lain telah terhenti fungsinya sejak plot Langkah Sheraton yang menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan pada bulan Februari dan membawa masuk kerajaan Perikatan Nasional.

Terdapat sepuluh Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai: Pertimbangan Rang Undang-Undang, Belanjawan, Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri, Kesaksamaan Gender dan Pembangunan Keluarga, Hubungan Negeri dan Persekutuan, Pelantikan Utama Perkhidmatan Awam, Pilihan Raya, Hak Asasi Manusia dan Perkara Perlembagaan , Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan, dan Sains, Inovasi dan Alam Sekitar.

Namun, semua jawatankuasa ini telah menjadi “gajah putih” memandangkan mereka berada di bawah perintah berkurung dan tidak berfungsi sejak penubuhan kerajaan pintu belakang Muhyiddin Yassin.

Bahkan, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara juga telah menjadi “gajah putih”, satu perkara yang cukup memalukan dalam sejarah Parlimen dunia.

Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa Malaysia pada masa kini mempunyai pemerintahan yang paling tidak mesra Parlimen dalam sejarah Malaysia.

Dalam keadaan seperti itu, bagaimanakah Parlimen hendak menjunjung dan bertindak ke atas nasihat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja-raja Melayu pada hari Ahad yang diberikan ketika menolak cadangan Kabinet untuk mengisytiharan keadaan darurat di Malaysia untuk menetapkan contoh dalam menerajui pemikiran dan pendekatan menglibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan wabak Covid-19?

Apa yang jelas adalah, dengan mencadangkan kepada Yang di Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat, Kabinet Muhyiddin berhasrat untuk menggunakan wabak Covid-19 ini untuk menggantung Parlimen dan bukannya kerana keadaan benar-benar darurat.

Adakah Kabinet Muyhyiddin kini bersedia untuk menerima dan bertindak ke atas nasihat Yang di Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu dan melancarkan perang yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” terhadap wabak Covid-19, bermula daripada hari pertama persidangan Parlimen pada 2 November?

Di bawah Peraturan Mesyuarat Parlimen, usul untuk menubuhkan Jawatankuasa Parlimen bipartisan mengenai Covid-19 perlu dibentangkan oleh kerajaan untuk ia menjadi perkara pertama urusan Parlimen pada 2 November.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Covid-19 ini harus diberikan kuasa untuk mengadakan sesi pendengaran awam bagi membolehkan orang ramai untuk menyampaikan maklumat dan menjawab persoalan yang berkenaan, yang buat pada masa ini tidak dibenarkan di bawah Peraturan Mesyuarat sedia ada walaupun perkara ini satu perkara yang biasa berlaku di negara Komanwel yang lain. 

Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal parlimen, Takiyuddin Hassan mempunyai waktu yang cukup untuk berunding dengan semua pemimpin parti untuk memuktamadkan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Covid-19 untuk mengemukakan usul pada hari pertama mesyuarat Belanjawan persidangan Parlimen yang bakal bermula pada 2 November. 

Sumber: https://www.roketkini.com/2020/10/28/pendekatan-keseluruhan-kerajaan-masyarakat-dalam-perang-lawan-covid-19/ 

DAP akan mempertahankan institusi diraja, hak istimewa orang Melayu dan agama Islam


Di sebalik kemelut politik tanah air, DAP hari ini mengulangi pendirian akan mempertahankan institusi diraja, hak istimewa Melayu dan Islam sebagai agama rasmi sambil menggesa menolak sebarang usaha mengambil kuasa melalui perintah darurat.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke Siew Fook berkata parti itu sentiasa dilemparkan fitnah menentang sistem Raja Berperlembagaan dan ingin menghapuskan institusi diraja.

"Ini adalah tohmahan yang langsung tidak berasas.

"Dasar perjuangan DAP jelas mendukung sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan

"Dasar ini telah pun termaktub dalam satu dokumen penting DAP iaitu Deklarasi Shah Alam 2012," katanya dalam satu hantaran Facebook sebentar tadi.


Beliau berkata demikian susulan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah semalam yang menyatakan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini.


Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata bahawa parti itu akan sentiasa mempertahankan Melayu dan Bumiputra serta hak-hak kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.


"Memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta kebebasan untuk mengamalkan agama-agama lain dengan aman dan damai, seperti yang termaktub dalam Artikel 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan.


"Memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan, serta menggalakkan penggunaan dan pengajian bahasa-bahasa ibunda lain untuk membentukkan masyarakat yang cemerlang dan berbilang bahasa," tambahnya lagi.


Sementara itu, Loke juga berkata bahawa partinya menyambut baik keputusan Yang Di-Pertuan Agong untuk tidak memperkenankan pengisytiharan.


"Dalam tempoh 72 jam yang lalu, rakyat Malaysia melihat sendiri bagaimana sistem raja berperlembagaan berfungsi dalam negara kita.


"Kuasa budi bicara Yang Di-Pertuan Agong telah digunakan dengan sebaik-baiknya untuk membatasi keputusan dan tindakan pihak ekskutif.

"Keputusan Yang Di-Pertuan Agong untuk tidak memperkenankan pengisytiharan darurat disambut baik oleh rakyat Malaysia," katanya.


Sultan Abdullah, setelah berunding dengan Sultan dari Terengganu, Perlis, Selangor, Johor, Perak, Kedah, Yang diPertua Negeri Sembilan dan Pemangku Raja Pahang memutuskan untuk menolak permintaan Perdana Menteri Muhyiddin bagi mengisytiharkan darurat.


Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Syed Danial Syed Ahmad berkata lapan raja yang bertemu dengan Agong bagi berbincang behubung permohohan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat, menekankan pentingnya menghormati mekanisme semak dan imbang untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa.


Cadangan pengisytiharan darurat yang dikemukakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini digambarkan sebagai usaha memerangi Covid-19.


Namun, pengkritik mendakwa bahawa ia adalah percubaan perdana menteri mempertahankan kedudukan memandangkan terdapat spekulasi mengatakan dia sudah kehilangan majoriti di parlimen dan kemungkinan akan gagal dalam undian Belanjawan 2021 bulan depan.


Sumber : https://m.malaysiakini.com/news/548209?utm_source=dlvr.it&utm_medium=Facebook 

Monday 26 October 2020

Lim Kit Siang Berpendapat Kerajaan Perikatan Nasional Mengendahkan Nasihat Agong


Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan keikhlasan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk berhenti berpolitik dan menumpukan usaha memerangi gelombang ketiga wabak Covid-19 di Malaysia.

"Pada malam Ahad, persoalannya adalah sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri berikutan penolakan Yang di Pertuan Agong terhadap cadangan Kabinet untuk mengisytiharkan darurat dan menggantung Parlimen bagi memerangi gelombang ketiga pandemik Covid-19 di Malaysia.

"Malam semalam, persoalannya bertukar kepada adakah pemerintahan pintu belakang Muhyiddin Yassin ini akan tumbang sekiranya Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk menarik keluar Umno daripada kerajaan Perikatan Nasional yang dibentuk melalui plot Langkah Sheraton pada bulan Februari lalu.

"Semua percakapan menggunakan bahasa politik perdamaian dan perpaduan nasional, tetapi tindakan yang dilihat menunjukkan tanda-tanda politik perpecahan dan polarisasi nasional.

"Nampaknya, nasihat Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong kepada rakyat Malaysia untuk berhenti berpolitik dan menggugat kestabilan kerajaan supaya semua orang, tanpa mengira latar belakang dan ideologi, dapat mengetepikan perbezaan dan perselisihan mereka dan bersatu sebagai satu dalam memerangi wabak Covid-19 dan nasihat Raja-raja Melayu untuk menerjemahkan prinsip-prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen menjadi budaya pentadbiran untuk memastikan keadilan dan membendung sebarang penyalahgunaan kuasa tidak diendahkan," kata Lim.

Lim dalam kenyataannya juga merujuk laporan portal berita yang menyiarkan berita bahawa Sepanyol mengisytiharkan darurat.

Lim berkata situasi Covid-19 di Malaysia walaupun serius adalah tidak sama seperti Sepanyol yang mengisytiharkan darurat selepas 1,156,498 jangkitan dan 35,031 kematian.

"Namun, perbezaan yang paling penting adalah bahawa keadaan darurat di Sepanyol tidak melibatkan penggantungan Parlimen Sepanyol. 

"Malah, Parlimen Sepanyol sendiri akan memutuskan sama ada darurat akan dilanjutkan melebihi 14 hari.

"Bagaimanapun, di Malaysia, tujuan darurat adalah untuk menggantung Parlimen daripada dan bukannya melaksanakan perintah darurat," kata Lim.

Semalam Lim meminta agar parti-parti politik mencapai persetujuan bahawa kerusi parlimen Batu Sapi, yang dikosongkan berikutan kematiannya penyandangnya Liew Vui Keong diberikan kepada calon Warisan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari pencalonan bagi pilihan raya kecil Batu Sapi pada 23 November dan hari mengundi pada 5 Disember.

Sumber: https://m.malaysiakini.com/news/548239 

Muhyiddin Perlu Gugurkan Azmin dan Hamzah, Jika Mahu Betulkan Keadaan- Liew Chin Tong



Muhyiddin Yassin perlu bertindak cepat, sekiranya beliau mahu terus menerajui negara sebagai Perdana Menteri dengan bekerjasama dengan semua pihak termasuk pembangkang dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Ahli Dewan Negara, Liew Chin Tong berkata, tindakan itu termasuk menggesa Mohamed Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin meletak jawatan kerana telah mengundang pelbagai ‘huru-hara’ politik di negara ini.

Jelasnya, dua pemimpin itu sebenarnya bertanggungjawab dengan apa yang berlaku kepada kerajaan Muhyiddin pada masa ini, malah tindak-tanduk serta nasihat mereka telah mengganggu proses demokrasi berparlimen.

“Saya sudah cakap sejak sesi Parlimen pada 18 Mei lepas, Muhyiddin sepatutnya berhenti berharap dan percaya bulat-bulat kepada Hamzah dan Azmin.

“Hamzah sendiri seperti tidak faham realiti politik hari ini yang tidak lagi seperti dulu yang hanya berasaskan satu parti politik sahaja,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, Hamzah kini masih lagi cuba berusaha mengembalikan pemerintahan satu parti dengan anggapan Muhyiddin memiliki majoriti dua pertiga di Parlimen.

“Antara Mac sehingga Mei pula, Hamzah cuba membeli Ahli Parlimen dari pembangkang.

“Tidak ramai pun yang menerima pelawaan menyeberang dengan majoriti tipis itu, jangkaan kononnya ramai akan lompat sebenarnya sangat kurang bijak.

“Malah selama lebih setengah tahun, pencapaiannya hanya sekadar Ahli Parlimen Lubok Antu sahaja yang melompat ke sana,” jelasnya yang juga Pengerusi DAP Johor.

Tambahnya lagi, keputusan menggantung Parlimen dan darurat ini bukanlah sesuatu yang baharu beberapa hari berlaku.

Sebaliknya, kata beliau, dia sudah tahu sejak beberapa minggu yang lepas.

“Tapi apa yang mengejutkan saya apabila Muhyiddin meneruskan juga ‘idea’ tersebut dan mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat lepas.

“Beliau terus membuat kesilapan demi kesilapan dengan keputusan mengejutkan darinya, bermula daripada menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

“Hamzah juga merupakan arkitek rampasan kuasa yang gagal pada Oktober 2019 (yang berusaha memecat DAP dan Amanah dari PH) yang juga bersekongkol dengan Azmin Ali dan Hishammuddin Hussein.

“Dia juga merupakan penggerak utama Langkah Sheraton, dibantu oleh Azmin,” ujarnya.

Tegas Chin Tong, kini sekiranya Muhyiddin berhasrat untuk terus ke hadapan, beliau perlu menerima hakikat dirinya bukanlah menerajui sebuah kerajaan dengan majoriti dua pertiga atau pemerintahan satu parti dominan sahaja.

Sebaliknya, tanggungjawab serta peranan Muhyiddin adalah mewujudkan permuafakatan antara sekutu dan meminta muhibah dengan pembangkang lagi-lagi dalam melawan pandemik ini.

“Henti aniaya pembangkang, beliau perlu menjadi Perdana Menteri untuk semua dan bukannya untuk parti Bersatu sahaja.

“Bukan pembangkang sahaja yang gusar, malah sekutunya UMNO sendiri juga gusar.

“Untuk ini, Muhyiddin perlu meminta Hamzah dan Azmin meletak jawatan dari Kabinet, dan bertanggungjawab terhadap semua keputusan serta nasihat yang telah mereka lakukan termasuklah menasihati YDPA dan menyebabkan keadaan politik yang huru hara.”


sumber: https://www.roketkini.com/2020/10/26/pecat-azmin-hamzah-jika-muhyiddin-mahu-betulkan-keadaan-chin-tong/ 




Isu Pembesar Suara Masjid di Pulau Pinang Sengaja Dipolitikkan

 ISU larangan penggunaan pembesar suara masjid dan surau selain dari azan dan iqamat di Pulau Pinang kembali hangat atau kembali cuba dihangatkan oleh pihak tertentu untuk tujuan politik.




Sinar Harian melaporkan lebih 30 ahli daripada Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Pulau Pinang mengadakan demonstrasi Aman bagi membantah larangan penggunaan pembesar suara di masjid dan surau.


Bantahan itu dibuat susulan pekeliling yang bertarikh 15 Oktober memaklumkan bahawa pembesar suara luar masjid hanya dibenarkan untuk kegunaan azan dan iqamah manakala pembesar suara dalam boleh digunakan untuk solat dan kuliah agama.


Surat yang ditandatangani Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Mohd Zakuan Zakaria itu memandang serius penggunaan kembali pembesar suara dan memohon pihak terbabit memberi perhatian yang sewajarnya.


Isu itu juga nampaknya cuba dihangatkan di media sosial Facebook dan Twitter. 


Ini sebenarnya bukanlah perkara baru, perkara ini sudah diperdebat dan dibahaskan sejak bertahun-tahun lamanya.


Malah negeri lain juga telah mewartakan fatwa yang sama melarang penggunaan pembesar suara di luar masjid dan surau selain untuk azan dan iqamat.



Sebagai contoh, mesyuarat jawatankuasa fatwa negeri Perlis kali ke-36 pada tahun 2018, telah memutuskan fatwa berhubung isu-isu hukum yang menjadi khilaf di kalangan masyarakat negeri Perlis berhubung penggunaan pembesar suara di luar masjid.


"Islam mengajar umatnya menghormati hak orang lain. oleh itu seluruh masjid di negeri Perlis adalah dilarang menggunakan pembesar suara luar untuk selain azan dan iqamah jika ia mengganggu ketenteraman orang ramai."


"Termasuklah memperdengarkan al-quran, siaran kuliah dan seumpamanya. penggunaan pembesar suara luar masjid adalah khusus untuk laungan azan tanda masuk waktu solat fardu dan laungan iqamah sahaja." tulis kenyataan itu.


Selain itu pembesar suara di luar masjid boleh juga digunakan untuk pengumuman ringkas yang membabitkan kepentingan bersama.


Anda boleh rujuk sendiri di website Majlis Fatwa Perlis — mufti.perlis.gov.my


Sumber: https://www.milosuam.net/2020/10/larangan-pembesar-suara-masjid-di-pulau.html?fbclid=IwAR2PZNO6d5Cy_jilZZRsGaHFB8-r6u2iEl-zhhuIChb-gj0AYr0vxXCq1ps&m=1#axzz6bwjtgfOX 


Sunday 25 October 2020

Betulkah anda mahu DARURAT ?

 


Betul ke anda mahu darurat?

1) Jika anda membeli rumah secara pinjaman bank, maka secara automatik pinjaman anda akan diinsurans oleh pihak bank.


2) Kenapa diinsuranskan? Kerana Bank tidak mahu tanggung kerugian sekiranya anda ditimpa kemalangan seperti meninggal atau TPD (cacat kekal).


3) Seandainya anda meninggal dalam tempoh pinjaman dan ada baki hutang, maka tak perlu risau, syarikat insurans akan membayar kesemua baki hutang anda 100% dan waris-waris anda tidak akan mewarisi hutang rumah, dan rumah anda akan selamat dari disita oleh pihak bank.


Inilah kebaikan polisi insurans dalam pinjaman perumahan.


4) Namun, bayangkan jika darurat diisyitharkan, dan anda meninggal dalam tempoh darurat itu, apa yang akan berlaku?


- Syarikat Insurans tidak lagi melindungi pinjaman rumah anda. 


- Walaupun anda mati, namun anda meninggalkan hutang rumah kepada anak bini anda. Mereka pula yang akan menanggung hutang anda.


- Sekiranya anak bini anda gagal bayar, maka bank akan sita rumah anda dan akan halau anak bini anda keluar dari rumah anda. Oh, ia bukan lagi rumah anda, ia adalah sudah jadi milik bank.


5) Apakah Darurat  yang anda mahu? Bukan sahaja insurans perumahan, bahkan insurans kemalangan kenderaan, insurans kematian, insurans kecederaan kesemunya tidak akan dilindungi.


6) Sebelum ini syarikat Insurans masih lagi cover kematian pesakit Covid, namun jika darurat dilaksanakan, pesakit Covid sudah tidak lagi dilindungi oleh insurans.


7) Jika anda memandu dan ditimpa kemalangan, anda dan kenderaan anda sudah tidak lagi dilindugi oleh insurans, bahkan anda terpaksa keluarkan duit anda untuk baiki kenderaan anda.


8) pelbagai sektor yang melibatkan pekerjaan risiko juga akan terbantut, kerana sudah tiada lagi perlindungan insurans.


9) jika ada frontliners yang meninggal, juga insurans takkan cover satu sen pun di zaman darurat.


Jadi beritahu aku, anda mahu darurat kah?


:)

Muhyiddin Yassin khuatir dengan kedudukannya, hendak laksana darurat atas nama Covid-19?

Add caption


Senator Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mendakwa langkah kabinet untuk mengisytiharkan "darurat" bukanlah bertujuan mempermudah kepimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin memerangi Covid-19.

Sebaliknya, kata Raja Kamarul ia menjadi talian hayat buat kepimpinan Muhyiddin.

"Motif utama Muhyiddin bukan untuk menyelamatkan rakyat dari Covid tetapi untuk talian hayat politiknya sendiri bagi meneruskan kerakusan untuk berkuasa seperti di tunjukan di Sabah dan terus menjadi perdana menteri.

Beliau juga berkata pandangan yang disuarakannya itu turut dikongsi ramai pihak, termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan (gambar, atas) dan Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

"...begitu ramai lagi tokoh negara bersependapat yang darurat ini tali hayat yang akan menyelamatkan Muhyiddin dan akan menjahanamkan ekonomi Malaysia yang sedang parah," kata Raja Kamarul lagi.

Mohamad Hasan sebelum ini menggesa kerajaan menangani krisis Covid-19 dengan mempertahankan perlembagaan serta membenarkan demokrasi berfungsi.

Tanpa menyebut langkah 'darurat', Mohamad berkata kerajaan tidak patut menambah kesengsaraan yang dialami rakyat ketika ini dan wabak itu hanya akan dapat diatasi dengan pendekatan saintifik, pemulihan ekonomi dan kepatuhan kepada perlembagaan.

Dr Mahathir pula berkata darurat tidak akan dapat menghentikan penularan wabak Covid-19 lebih baik daripada apa yang ada sekarang, sebaliknya hanya memberikan kuasa tambahan kepada perdana menteri.

Sementara itu, Tengku Razaleigh pula berkata beliau terkejut apabila mendengar kabinet mencadangkan pengiytiharan darurat.

Saya kecewa dan terkejut apabila perdana menteri (dengan sokongan kabinetnya) sedang meminta perkenan YDPA untuk mengisytiharkan darurat, dan dipercayai (untuk) meletakkan dirinya sebagai pentadbir kerajaan dalam darurat yang mempunyai kuasa yang besar,” katanya.

'Darurat elak undi belanjawan'

Ramai pengkritik berpendapat langkah Muhyiddin itu bertujuan mengelakkan kerajaan Perikatan Nasional yang dilihat 'rapuh' itu daripada tewas dalam undi Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah akan mengadakan pertemuan dengan Majlis Raja-Raja Melayu hari ini, dijangka bagi membincangkan permintaan kabinet untuk mengisytiharkan "darurat", yang dilaporkan akan mempermudah pertempuran melawan wabak Covid-19.

Dalam perkembangan berkaitan, Anggota Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh berkata tindakan Muhyiddin yang juga presiden Bersatu itu disifatkan sebagai melampau.

"Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin bimbang kerajaan PN akan jatuh sekiranya Belanjawan 2021 tidak dapat diluluskan.

"Muhyiddin jelas telah bertindak melampau (overdo) dalam situasi yang dihadapi sekarang.

"Walaupun bukan setiap kali rang undang-undang kerajaan ditewaskan membawa kepada kejatuhan kerajaan, tetapi ia adalah cukup untuk menunjukkan kerajaan yang sedia ada tidak mempunyai sokongan yang mantap," katanya dalam satu kenyataan.

Wong berkata Muhyiddin sepatutnya memulakan proses konsultansi dan rundingan Belanjawan 2021 dengan blok pembangkang.

"Ia bagi memastikan peruntukan-peruntukan yang disalurkan tepat pada hasratnya dan sampai kepada rakyat secara optimum. Janganlah Muhyddin Yassin takut pada bayangnya sendiri.

"Kini, Muhyddin Yassin begitu khuatir dengan kedudukannya, sehingga hendak melaksanakan darurat atas nama Covid-19.

"Adakah Muhyddin Yassin tidak mempunyai keyakinan terhadap Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan, atau beliau tidak mempunyai keyakinan terhadap 113 ahli parlimen PN beliau," soal Wong.

Tambah Wong Muhyddin harus berkelakuan sebagai seorang negarawan yang sanggup menghadapi cabaran lantaran daripada ancaman Covid-19 bersama-sama dengan kesemua anggota Parlimen pada ketika ini, dan bukannya bertindak sebagai seorang pengecut sehingga merosakkan system domokrasi berparlimen yang sedia ada.

SUMBER: https://www.malaysiakini.com/news/547983?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook

Saturday 24 October 2020

Agong harapan terakhir halang darurat yang "tidak wajar"- Lim Guan Eng


Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah adalah harapan terakhir untuk menghalang sebarang langkah ke arah pengisytiharan darurat yang "tidak wajar", kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Menurut Lim, langkah yang didakwa dirancang kerajaan Persekutuan itu adalah usaha Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menyelamatkan diri dengan "mengorbankan rakyat, demokrasi berparlimen dan ekonomi".

"Rakyat memohon dan mendoakan untuk satu keputusan di mana suara rakyat biasa dapat didengar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat khas Kabinet semalam mencetuskan spekulasi bahawa kerajaan berhasrat ke arah darurat.

Istana Negara juga telah memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong akan berunding dengan Raja-raja Melayu berhubung cadangan yang disampaikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.

Kenyataan Istana Negara itu tidak menjelaskan apakah cadangan yang dibawa Muhyiddin.

Lim berkata rancangan itu tiada kaitan dengan penularan wabak Covid-19, berdasarkan penilaiannya terhadap satu laporan akhbar The Star yang dimiliki MCA.

"(Laporan itu) secara terbuka mengakui pengisytiharan darurat untuk mengelakkan Belanjawan 2021 dikalahkan dan menghentikan seketika 'aktiviti politik'.

"Kesan darurat adalah ia akan memusatkan kuasa kepada perdana menteri dengan mengorbankan Parlimen, merosakkan ekonomi dan menyebabkan kehilangan keyakinan yang teruk," katanya lagi.

Laporan "eksklusif" The Star hari ini memetik sumber yang mendakwa kerajaan Persekutuan menimbang untuk mengisytiharkan darurat bagi menggantung Parlimen.

Sidang Dewan Rakyat dijadual bermula 2 November. Belanjawan 2021 akan dibentangkan pada 6 November dengan pengundian pada 17 November.

Pada masa ini tidak jelas sama ada Muhyiddin masih memiliki sokongan majoriti di Dewan Rakyat.


Umno sebelum ini juga menimbang untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN), bagaimanapun presidennya Ahmad Zahid Hamidi kemudian mengumumkan “gencatan politik” dan menegaskan sokongannya terhadap gabungan itu.


Sumber : https://m.malaysiakini.com/news/547909?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook

Kerajaan Persekutuan wajar bincang dengan semua Kerajaan Negeri sebelum mengisytiharkan darurat


JAWI – Kerajaan Persekutuan wajar berbincang dengan semua Kerajaan Negeri termasuk Pulau Pinang terlebih dahulu, jika benar mempunyai hasrat untuk mengisytiharkan darurat ekoran penularan kes wabak COVID-19 yang dipercayai semakin membimbangkan di negara ini.

Demikian respons Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika mengulas mengenai desas-desus Putrajaya mahu melaksanakan perintah ‘darurat pentadbiran’.

“Spekulasi setakat ini masih berlegar dalam kalangan parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Majlis Peguam.

“Jadi, elok lah kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) tidak memberi ulasan kerana masih tiada gambaran terperinci (mengenai perkara itu).

“Kita mahu Kerajaan Persekutuan turut berbincang dengan Kerajaan Negeri terlebih dahulu,” responsnya selepas menyempurnakan acara perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mampu Milik Jenis A Taman Kalidonia Indah di sini pada 24 Oktober 2020.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa; Jagdeep Singh Deo dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar merupakan antara barisan kepemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai sidang media ringkas tersebut.

Sejak semalam, tular di media sosial mengenai desas-desus bahawa pentadbiran Perdana Menteri berhasrat mengisytiharkan perintah darurat.

Perintah ‘darurat pentadbiran’ itu turut digambarkan demi mempertahankan politik kekuasaan individu tertentu di Putrajaya, sebelum musim pembentangan Bajet 2021 Persekutuan di Parlimen yang dijadualkan pada bulan November ini.


Sumber: https://www.buletinmutiara.com/bincang-dengan-negeri-sebelum-putrajaya-isytihar-darurat-kon-yeow-respons-spekulasi/ 

Thursday 22 October 2020

Elak Rakyat Keliru, MKN Digesa Memuktamadkan SOP Sebelum Umum - Hannah Yeoh

Kenyataan Media oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh bertarikh 22 Oktober 2020


Majlis Keselamatan Negara (MKN) digesa memuktamadkan semua Prosuder Operasi Standard (SOP) sebelum ianya dikeluarkan tanpa orang ramai perlu menunggu pengumuman kementerian lain sebagai rujukan sebagaimana SOP panduan Bekerja Dari Rumah (BDR) atau Work From Home yang terlalu umum dan sangat mengelirukan.

Arahan yang mengelirukan dan setengah masak ini mengakibatkan ketidakpastian kepada masyarakat terutamanya komuniti perniagaan dan mereka yang berkeluarga. Mereka inilah yang paling terkesan kerana bagi sesebuah perniagaan, setiap hari begitu penting bagi mereka.

Sektor perniagaan sedang menghadapi suasana kelembapan ekonomi dan berpotensi kehilangan lebih banyak peluang akibat ketidaktentuan ini. SOP yang kabur dan mengelirukan ini turut menyukarkan pegawai penguatkuasa menjalankan arahan dan mengakibatkan berlakunya ketidakadilan di kalangan orang awam.

Saya menggesa kerajaan segera menjelaskan kekeliruan ini dan memastikan denda tidak dikenakan kepada sesiapa yang didapati keliru dengan SOP yang dikeluarkan oleh kedua-dua Menteri Kanan, Ismail Sabri Yaakob dan Mohamed Azmin Ali. Subsidi juga seharusnya diberikan kepada majikan yang terpaksa membuat ujian Covid-19 untuk pekerja mereka akibat kekeliruan dalam pengumuman Menteri.

Saya juga menggesa Menteri-Menteri yang bertanggungjawab segera belajar untuk menyelaras secara bersama sebelum sesuatu keputusan diambil kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini bukan sesuatu yang baharu, malah ianya telah bermula sejak bulan Mac lagi. Saya cuma mahu mengingatkan mereka yang masa untuk berbulan madu telah pun tamat.

Saya juga menggesa Menteri Kanan Pertahanan berhenti mengadakan sidang media hariannya jika beliau tidak mempunyai apa-apa pengumuman substanstif yang dapat membantu rakyat. Sidang media bukan tempat untuk mempromosikan baju atau barang pameran di rak. Ini kerana semakin banyak yang diumumkan, orang awam menjadi semakin keliru. Hentikan kekeliruan, ia akan menghentikan Covid-19! Apa yang paling menakutkan kita ialah sekiranya Covid-19 tidak pun membunuh ekonomi kita, semestinya ketidakcekapan para Menteri akan melakukannya! — Roketkini.com

Tuesday 20 October 2020

Covid19 di Sabah semakin teruk, kerajaan perlu henti main politik -Lim Kit Siang

Kenyataan Media Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang pada hari Selasa, 20 Oktober 2020


Kerajaan Perikatan Nasional perlu berhenti bermain politik dan menumpukan tenaganya untuk menyalurkan semua sumber yang untuk membantu melawan wabak Covid-19 di Sabah

Saya teringat kepada satu petikan Shakespear: “the lady doth protest too much” apabila membaca surat terbuka daripada mantan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, yang menafikan beliau bertanggungjawab terhadap gelombang ketiga wabak Covid-19 yang sedang melanda Sabah dan Malaysia.

Saya akan katakan, yang jika ada sesiapa di Sabah yang perlu bertanggungjawab terhadap gelombang ketiga wabak ini, orang tersebut adalah Musa Aman.

Musa Aman merupakan Ketua Menteri Sabah selama 15 tahun, daripada tahun 2003 sehingga 2018, tetapi beliau telah meneruskan dasar yang menyebabkan Sabah, sebuah negeri yang terkaya dengan hasil sumber di Malaysia, kekal sebagai negeri termiskin dalam negara, baik dari segi kadar kemiskinan dan juga pembangunan infrastruktur di negeri tersebut — sehinggakan berlakunya insiden di mana pelajar dari Pitas, Veveonah Mosibin, terpaksa meluangkan masa selama 24 jam di atas pokok untuk mendapatkan sambungan internet yang lebih baik bagi membolehkan beliau menduduki peperiksaan atas talian!

Dalam tempoh selama 15 tahun beliau menjadi Ketua Menteri, Musa mempunyai lebih daripada cukup masa untuk memenuhi janji PRU 1994 yang dibuat oleh UMNO Sabah untuk sebuah Sabah Baharu.

Pertamanya, UMNO menjanjikan pada tahun 1994, untuk mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah, daripada 33% pada tahun 1994 kepada sifar menjelang tahun 2000.

Sabah adalah salah satu negeri yang terkaya dengan hasil semula jadi, tetapi selepas lebih daripada setengah abad dalam Malaysia, rakyat Sabah kekal sebagai di antara yang termiskin di Malaysia, berada dalam kalangan negeri seperti Kelantan. Inilah bukanlah kemajuan, tetapi kemunduran.

Apakah yang telah dilakukan oleh Musa untuk memenuhi janji ini, walaupun tahun 2000 telah pun datang dan pergi?

Fakta yang menyedihkannya adalah sehingga hari ini, kadar sifar kemiskinan di Sabah ini kekal sebagai satu angan-angan kosong, memandangkan Sabah masih lagi tergolong dalam negeri yang termiskin dalam negara.

Kedua, UMNO telah berjanji untuk menghapuskan kadar buta huruf di Sabah kepada sifar menjelang tahun 2000. Tetapi, tahun 2000 telah datang dan pergi, begitu juga dengan tahun 2010, dan objektif ini masih lagi kekal sebagai angan-angan kosong.

Ketiga, UMNO berjanji untuk menhapuskan rasuah di Sabah. Ini adalah salah satu lagi angan-angan kosong. Malah, Sabah adalah salah satu negeri dengan masalah rasuah yang amat serius di mana para pemimpin politik yang korup kelihatan seakan-akan kebal dari pendakwaan.

Keempat, UMNO berjanji untuk memberikan setiap rakyat Sabah sebuah rumah menjelang tahun 2000. Berapa banyakkah rumah yang telah diberikan oleh Musa aman selama 15 tahun beliau menjadi Ketua Menteri?

Kelima, UMNO berjanji pada tahun 1994 untuk menyelesaikan masalah rumit pendatang asing tanpa izin di Sabah. Kini, 26 tahun selepas “Aku Janji” pertama ini, masalah pendatang asing tanpa izin kekal sebagai satu masalah yang rumit dan sukar diselesaikan. Sudah terdapat siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai perkara ini, tetapi masalah ini kekal sukar diselesaikan juga.

Adakah kerajaan baharu Sabah, di bawah pimpinan Ketua Menteri Hajiji Mohd Noor berikrar akan memenuhi janji yang dibuat 26 tahun lalu ini?

Saya telah katakan sebelum ini, dan saya berpegang dengan pendapat saya yang punca krisis Covid-19 di Malaysia ini adalah Langkah Sheraton pada bulan Februari lepas yang telah menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan, menyebabkan berlakunya gelombang kedua dan ketiga wabak Covid-19, sehingga mencatatkan 21,363 jangkitan dan mengorbankan 190 nyawa di seluruh negara setakat hari ini.

Mantan Perdana Menteri, Najib Razak, telah menyalahkan Bersatu di atas gelombang ketiga ini pada minggu lepas. Beliau menulis, mengatakan yang Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menolak cadangan daripada Menteri Kesihatan (Dr Adham Baba) daripada UMNO, untuk melaksanakan kuarantin wajib ke atas mereka yang pulang daripada Sabah sebelum berlangsungnya pilihan raya negeri, dan menyalahkan Menteri Dalam Negeri Bersatu, Hamzah Zainudin kerana tidak mengasingkan banduan secara betul atau mematuji SOP yang telah menyebabkan berlakunya beberapa kluster jangkitan di pusat tahanan di Kedah, Perak, dan Pulau Pinang.

Najib mengadu, mengatakan: “Jika kesilapan-kesilapan ini tidak berlaku, tidak wujudnya gelombang ketiga Covid ini di Malaysia.”

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah mengatakan yang penularan Covid-19 di dan dari Sabah telah tertangguh akibat sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Apakah “sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan” ini yang telah menyebabkan jumlah kes Covid-19 terkumpul di Sabah untuk melonjak daripada 426 kes dan lapan kematian pada 1 September kepada 8,082 kes dan 64 kematian setakat semalam?

Ini adalah satu peningkatan jangkitan yang mengejutkan di Sabah, lebih daripada 19 kali ganda, dan peningkatan kadar kematian lebih daripada lapan kali ganda dalam tempoh kurang daripada dua bulan — satu perkara yang amat mengejutkan, terutamanya memandangkan semasa negara kita mula melaksanakan perintah kawalan pergerakan pada 18 Mac, jumlah kes terkumpul dalam negara hanya berada pada tahap 790 kes dan dua kematian!

Adakah Musa bersetuju bahawa perkara ini adalah satu akibat tindakan politik tidak bertanggungjawab, yang menghampiri perbuatan kecuaian jenayah?

Walaupun Sabah kini menjadi pusat penularan utama gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia (Selangor, negeri kedua, mencatatkan 3,357 jangkitan dan 25 kematian), Perdana Menteri dan Jemaah Menteri terus sibuk dengan perebutan kuasa dan tidak menyalurkan semua sumber yang ada untuk membantu usaha memerangi Covid-19 di Sabah.

Saya seru kerajaan Perikatan Nasional untuk berhenti bermain politik dan menumpukan tenaganya ke arah menyalurkan semua sumber yang ada bagi melawan wabak Covid-19 di Sabah. — Roketkini.com

SUmber: https://www.roketkini.com/2020/10/20/kerajaan-perlu-henti-main-politik-tumpu-lawan-covid-19-di-sabah/