Thursday 31 December 2020

Isu kekerapan cabutan khas meningkat, PAS dan UMNO hanya membisu



Dalam kekalutan mencari jalan keluar dari krisis ekonomi ketika pandemik Covid-19 masih berlarutan di dalam dan luar negara, kerajaan Perikatan Nasional nampaknya masih sempat mengumumkan bahawa kekerapan cabutan khas nombor ramalan 4-digit ditingkatkan kepada 22 kali pada tahun hadapan.

Ia mengembalikan amalan lama di bawah pentadbiran Barisan Nasional, di mana cabutan khas nombor ramalan bagi Magnum, Sport Toto dan Da Ma Cai ditetapkan kepada 22 kali setahun.

Namun, keadaan itu berubah selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada Mei 2018, kerajaan PH meneliti baik buruknya kesan terhadap rakyat yang suka mencuba nasib ini. Akhirnya, pada November 2018, kerajaan PH memutuskan untuk mengurangkan kekerapan cabutan khas ini daripada 22 kali setahun kepada 8 kali setahun.

Senator DAP, Liew Chin Tong, ada membuat satu hantaran Facebook semalam berkenaan dengan permintaannya supaya kerajaan PN mengikuti langkah PH menurunkan kadar kekerapan cabutan khas bagi mengekang dan mengurangkan pelbagai permasalahan sosial, terutamanya dalam kalangan golongan B40.

Main judi menyebabkan ketagihan. Untung rugi jadi taruhan.

Apa yang menariknya dalam status FB Chin Tong adalah menurutnya, cabutan khas dimulakan pada 1999 bagi membantu mangsa wabak virus Nipah yang menular pada tahun itu.

Kerajaan ketika itu mengizinkan syarikat judi mengadakan cabutan khas dan akhirnya terdapat 156 hari cabutan biasa serta 22 hari cabutan khas setiap tahun.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pada bulan April lalu lagi mengatakan bahawa sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, aktiviti perjudian dalam talian menunjukkan peningkatan yang membimbangkan. Bayangkan dalam waktu sekarang?

Ini merupakan satu hal yang amat membimbangkan. Apabila kebanyakan syarikat swasta terpaksa ditutup dan ramai yang kehilangan kerja, semakin bertambah pula bilangan masyarakat yang melibatkan diri dalam aktiviti perjudian.

Menerusi pengumuman yang dibuat oleh kerajaan bahawa kekerapan cabutan khas nombor ramalan ditingkatkan, mereka ini akan lebih kerap mencuba nasib.

Sesuai dengan imej kerajaan Melayu-Islam yang dibawa oleh Perikatan Nasional, maka saya sebagai salah seorang rakyat yang turut prihatin, meminta Menteri-Menteri daripada UMNO dan PAS khususnya, untuk bersuara dan menarik kembali keputusan meningkatkan kekerapan cabutan khas.


Sumber: 

Wednesday 30 December 2020

Amalan undang-undang dua darjat dalam kerajaan PN



Keputusan 2020 prestasi kerajaan PN yang tidak dipilih adalah penguatkuasaan undang-undang antara dua darjat untuk Menteri yang berkuasa dan rakyat.  Kerajaan PN bermula sebagai kerajaan dengan mengamalkan sikap antara dua darjat dalam kes Menteri PAS, Mohd Khairuddin bin Aman Razali.

Khairuddin telah diberi layanan manja dengan denda kompaun sebanyak RM1,000 kerana melanggar perintah kuarantin rumah Covid-19 selama 14 hari, setelah kembali dari kunjungan peribadi di Turki. Sebaliknya, seorang wanita Melayu berusia 72 tahun didakwa di mahkamah dan didenda RM8,000 serta penjara sehari, juga kerana melanggar peraturan kuarantin dan kesihatan Covid-19.

Sehingga kini kerajaan tidak dapat menjelaskan mengapa seorang Menteri tidak didakwa di mahkamah seperti wanita berusia 72 tahun tersebut? Penguatkuasaan undang-undang yang terpilih oleh agensi penguatkuasaan ini, telah menyebabkan Menteri lain juga tidak disiasat atau didakwa atas kesalahan rasuah dan mengesyorkan anak mereka dilantik sebagai pengarah Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan, berbanding dengan tindakan yang diambil terhadap penjawat awam biasa.

PN telah mengakhiri tahun 2020 dengan satu lagi kes antara dua darjat berikutan kemalangan kecil disebabkan jalan berlubang di Banting yang melibatkan Menteri UMNO Khairy Jamaluddin. JKR dengan segera membaiki jalan berlubang tersebut dan meminta maaf kepada Menteri. Ini tidak ada kaitan dengan Khairy dan kami berharap dia cepat sembuh daripada kecederaan ringan tersebut.

Isunya di sini adalah amalan antara dua darjat oleh JKR yang meminta maaf dan bertindak segera untuk membaiki jalan berlubang ketika seorang Menteri terlibat tetapi tidak peduli sama sekali ketika pihak yang cedera adalah rakyat biasa. Ini telah mengundang kemarahan awam terhadap JKR yang tidak berperikemanusiaan, terutama ketika mereka berjanji untuk melaksanakan dasar sifar jalan berlubang pada tahun 2016 di bawah Menteri Fadillah Yusof ketika itu.

Mengapa tidak ada sikap yang serupa ketika begitu ramai rakyat biasa telah mati atau mengalami kecederaan serius akibat kegagalan JKR untuk membaiki jalan berlubang? Sejak Fadillah kembali menjadi Menteri Kerja Raya sekali lagi, beliau jelas gagal memenuhi tugasnya dan memenuhi janji sifar jalan berlubang.

Kegagalan Fadillah untuk mengambil tanggungjawab terhadap amalan antara dua darjat oleh JKR sangat dikesali dan hanya menunjukkan bahawa para Menteri PN lebih berminat untuk berpolitik untuk mempertahankan kedudukan mereka dan sama sekali tidak mampu memberikan khidmat yang baik kepada rakyat. Rakyat telah hilang harapan dengan kerajaan PN yang mengamalkan sikap antara dua darjat dan rela mengorbankan kepentingan rakyat demi survival politik, di mana PN mempunyai majoriti tipis tiga kerusi parlimen.


Sumber: https://www.roketkini.com/2020/12/30/amalan-antara-dua-darjat-jkr-menteri-perlu-bertanggungjawab/?fbclid=IwAR2CHauX1IUj2BJ60Z2dLx0ctOXjAQYgljx32tFV14wCCMeoGFxsyD6xPcU

Malaysia catat 108, 615 jumlah kes, Kit Siang gesa sidang parlimen khas bincang Covid-19


 

Mesyuarat Kabinet hari ini harus memutuskan untuk mengadakan sidang Parlimen khas pada Januari bagi menangani situasi gelombang ketiga pandemik Covid-19 dengan mengguna pakai strategi melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan Covid -19 dan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Covid-19

Semalam, Malaysia mencatatkan 1,925 kes baru Covid-19, meletakkan Malaysia di tempat ke-35 dengan peningkatan kes harian tertinggi Covid-19 di dunia. 

Situasi pandemik Covid-19 di Malaysia nampaknya seperti tidak terkawal.

Mesyuarat Kabinet terakhir tahun ini yang berlangsung pada hari ini harus berusaha memperbaiki kesilapan kerajaan dalam memimpin peperangan melawan wabak Covid-19 dan harus mengadakan sidang Parlimen khas pada Januari 2021 untuk menangani situasi gelombang ketiga pandemik Covid-19 dengan mengguna pakai strategi “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan Covid -19 dan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai pandemik Covid-19.

Walaupun saya telah menggesa supaya kerajaan menerapkan strategi dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan Covid -19 dan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Covid-19 sejak enam bulan yang lalu, ia tidak diendahkan pihak kerajaan.

Kita telah mengatasi China – di mana wabak ini tercetus – yang mempunyai populasi 40 kali ganda berbanding Malaysia, dalam jumlah terkumpul kes positif Covid-19, pada 16 Disember.

Kita sekarang berada di tangga ke-74 dalam senarai jumlah terkumpul kes positif Covid-19 tertinggi di dunia, dengan rekod 108,615 kes, sementara China berada di di tangga ke-81 dengan 87,003 kes.

Berdasarkan kadar peningkatan kes Covid-19 semasa, Malaysia kemungkinan akan mengambil tempat Myanmar yang kini berada di tangga ke-68 dalam senarai jumlah terkumpul kes positif Covid-19 tertinggi di dunia dan tidak mustahil akan berada di kedudukan antara  ke-30 hingga ke-40 dalam masa tiga minggu akan datang.

Ketika itu, sekitar Hari Pelantikan Presiden Amerika Syarikat yang baru iaitu pada 20 Januari 2021, negara itu kemungkinan akan merekodkan 25 juta kes Covid-19 dan dunia pula akan merekodkan hampir 100 juta kes.

Malaysia kini, adalah antara negara terburuk di ASEAN dalam usaha memerangi wabak Covid-19, tewas kepada Thailand, Singapura, Vietnam, Kemboja dan Laos, malah hampir mengatasi Myanmar dan menewaskan Indonesia dalam indeks “jumlah kes per 1 juta penduduk” (Indonesia 2,645 vs Malaysia 3,335), sementara ketinggalan berbanding belakang Filipina dalam semua aspek – dari jumlah keseluruhan kes Covid-19, kematian Covid-19 hingga indeks “jumlah kes per 1 juta penduduk”.

Apa yang berlaku dengan sistem kesihatan awam di Malaysia? Negara ini harus menjadi antara yang terbaik dan bukan antara yang terburuk di ASEAN.

Pakar kesihatan meminta supaya strategi yang berbeza diguna pakai dalam usaha memerangi Covid-19 untuk mengelakkan bebanan yang lebih besar terhadap sistem kesihatan awam.

Ini seharusnya menjadi agenda utama Kabinet hari ini, dan pengumuman strategi baru untuk mengendalikan gelombang ketiga pandemik Covid-19 harus diumumkan setelah mesyuarat Kabinet tamat.

Dalam konteks ini, amaran oleh mantan setiausaha tetap Kementerian Luar Negeri Singapura, Bilahari Kausikan, di NikKei Asia bahawa “Asia Tenggara mesti bersiap sedia untuk situasi terburuk pada tahun 2021” harus dipandang serius oleh Kabinet.

Beliau berkata bahawa pandemik Covid-19 telah mendedahkan kegagalan kerajaan Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Beliau menulis:

“Vaksin yang sesuai akan diberikan sepanjang tahun. Tetapi vaksin bukanlah ubat mujarab untuk sebuah pentadbiran yang teruk. Negara-negara ini masih akan terus bergelut untuk mengelak dari terus tenggelam….

“Ketika pandemik berlarutan dan keletihan mula menguasai, tidak mustahil akan berlaku gelombang jangkitan baru. Mengelakkan rasa tidak puas hati dan menjaga disiplin sosial akan menjadi cabaran serius, kerana kita tidak boleh selamanya menutup sempadan negara masing-masing. Kos ekonomi semakin meningkat dan akan terus meningkat.”

Amat menyedihkan untuk kita meninjau kembali apa yang telah berlaku sepanjang tahun ini dan begitu banyak peluang yang terlepas, baik di Malaysia mahupun di seluruh dunia dalam soal perang melawan pandemik Covid-19.

Pada akhir bulan Mac tahun ini, pengarah perubatan Perkhidmatan Kesihatan Nasional Britain (NHS) di England, Prof Stephen Powis berkata setiap warga United Kingdom harus memainkan peranan untuk memastikan angka kematian tidak mencapai 20,000 sementara individu yang bertanggungkawab ketika itu untuk memerangi wabak Covid-19 di Amerika Syarikat, Anthony Fuaci, yang merupakan pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Nasional AS, memberi amaran bahawa Covid-19 boleh meragut 100,000 hingga 200,000 nyawa.

Hari ini, kematian akibat Covid-19 di Amerika Syarikat adalah berjumlah 345,512 dan cakap-cakap tentang negara tersebut bakal merekodkan 500,000 kematian sedang sibuk diperkatakan, sementara United Kingdom (71,567 kematian) adalah negara keenam di dunia setelah Amerika Syarikat, Brazil (191,735) , India (148,423), Mexico (122,855) dan Itali (73,029) dengan kematian tertinggi akibat Covid-19.

Pada 23 Mac 2020, saya telah menggesa kerajaan untuk mendapatkan kepercayaan dan keyakinan semua rakyat Malaysia dan untuk berkomunikasi secara berkesan mengenai usaha memerangi pandemik Covid-19, pun begitu kerajaan telah gagal dalam kedua-dua hal tersebut.

Kegagalan besar ini yang menyebabkan gelombang ketiga wabak Covid-19 di Malaysia dan ini harus menjadi perkara khusus untuk dibincangkan pada sidang Parlimen khas bulan depan.


Sumber: https://www.roketkini.com/2020/12/30/kit-siang-gesa-sidang-parlimen-khas-bincang-peningkatan-kes-covid-19/?fbclid=IwAR1PbkbFV1fwHsPNTmH1QTYt8t8g_hvAH39JYOKSWzCWH79iEVuLEfiW2Cg

Tuesday 29 December 2020

Guan Eng berada di Terminal Feri pada Khamis ini untuk ucap selamat tinggal

 


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng akan berada di terminal feri Pulau Pinang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pengangkutan itu, pada hari terakhir perkhidmatannya pada Khamis, iaitu 31 Dis ini.

“Saya akan pergi ke sana pada pukul 10 pagi Khamis dengan peringatan bahawa rakyat Malaysia yang menghargai feri Pulau Pinang yang ikonik tidak akan melupakan atau memaafkan mereka yang bertanggungjawab,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim yang juga bekas ketua menteri negeri itu berkata, MCA begitu nekad untuk melihat "matinya" perkhidmatan feri yang disifatkan sebagai ikonik itu.

“MCA mendakwa bahawa keputusan menamatkan feri Pulau Pinang yang ikonik didorong oleh statistik dan ekonomi, bukannya emosi atau politik.

“Jelas Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong sangat emosional dan bermain politik kotor dalam usaha menutup penipuannya, dengan melakukan serangan peribadi terhadap saya kerana menentang penamatan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang ikonik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim merujuk Wee yang berkata dia masih menganggap diri sebagai ketua menteri Pulau Pinang kerana membangkitkan isu tersebut.

“Adakah salah untuk seorang ahli parlimen dan Adun dari Pulau Pinang untuk bersuara bagi pihak rakyat negeri, terutama apabila terminal feri di Seberang Perai terletak di kawasan saya dalam kawasan Parlimen Bagan?” soalnya.

Katanya lagi, Wee gagal membuktikan yang dia atau kerajaan PH telah bersetuju untuk menggantikan feri itu dengan katamaran.

“Diaberusaha mengheret mantan Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan bahkan adik saya, Senator Lim Hui Ying, yang kononnya setuju terhadap penamatan perkhidmatan feri. Loke dan Hui Ying telah menafikan dengan keras usaha Wee untuk memecahbelahkan pemimpin DAP dengan tuduhan palsu,” katanya lagi.

Lim turut mempersoalkan sama ada Wee menuduh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menipu.

Katanya, Zafrul telah mengesahkan bahawa Kementerian Kewangan ketika pentabdiran PH telah menetapkan lanjutan perkhidmatan feri itu sebagai syarat geran RM30 juta kepada Pulau Pinang Port Sdn Bhd bagi mengendalikannya.

Tambahnya, kerajaan PH juga tidak pernah membantah penambahan katamaran, dengan syarat feri dikekalkan.

“Dengan kata lain, katamaran akan beroperasi selari dengan feri yang ada seperti yang diamalkan banyak negara seperti Hong Kong dan Kanada - kewujudan bersama warisan dan kemodenan. Adakah begitu mahal untuk mengekalkan dua atau tiga feri untuk terus beroperasi?

“Kami ambil maklum dengan kos dan kesukaran untuk cari alat ganti. Enjin baru boleh dipasang di feri ikonik ini atau pengilangan 3D boleh menghasilkan alat ganti yang tidak lagi dikeluarkan."

Isu feri Pulau Pinang semakin diperkatakan selepas Lim dan Wee kerap bertikam lidah berhubung keputusan kerajaan untuk menghentikan perkhidmatannya.

Perkhidmatan feri dua tingkat yang mengambil masa 20 minit perjalanan akan dihentikan minggu ini dan digantikan dengan katamaran yang lebih kecil yang hanya boleh digunakan untuk pejalan kaki dan penunggang motosikal.

Sementara itu, Ketua Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Tan Teik Cheng meluahkan rasa kecewa terhadap Lim yang menggunakan sentiment politik tanpa mengambil kira kehidupan dan keselamatan rakyat di situ.

“Dalam usaha untuk menyembunyikan agenda politik sempitnya, dia gunakan pelbagai taktik seperti membangkitkan 'warisan' Pulau Pinang dan mengeksploitasi 'sejarah' negeri di kalangan penduduk tempatan seolah-olah kerajaan PN menindas orang Pulau Pinang

“Saya sekali lagi menggesa Lim supaya berhenti menggunakan isu ini. Utamakan keselamatan pengguna feri dan jangan eksploitasi warisan Pulau Pinang untuk menghasut rakyat,” katanya yang juga naib presiden MCA dalam kenyataan.

Ironinya, kaanya lagi, Lim tidak berasa apa-apa nostalgia atau kehilangan ketika membenarkan binaan warisan dijual kepada orang asing dan projek tambakan laut ketika masih menjadi ketua menteri.

Adun DAP Batu Lanchang mula inisiatif sediakan makanan buat golongan memerlukan

 


Seorang Adun Pulau Pinang memulakan inisiatif komuniti untuk menyediakan makanan buat golongan yang memerlukan di kawasannya.

Adun Batu Lanchang Ong Ah Teong berkata, menerusi program itu, mereka akan menerima kupon percuma untuk membeli makanan untuk keluarga mereka.

Menyifatkannya sebagai "program seumpama yang pertama di Pulau Pinang dan negara", Ong berkata ia melibatkan kedai makan dan penjaja di bawah pihak berkuasa tempatan.

"Orang yang datang makan di Kompleks Gerai Makanan Batu Lanchang dapat menyumbang kepada dana yang akan diletakkan di empat kedai kopi di situ.

"Wang tersebut akan digunakan untuk menyediakan kupon makanan di gerai yang terlibat," katanya dalam kenyataan.

Untuk memulakan kempen itu, Ong menyumbang RM300 kepada empat kedai kopi, manakala gerai makan lain masing-masing menerima RM100.

"Setiap kedai kopi terlibat dalam program ini akan menyediakan kupon bernilai RM10 setiap hari selama sebulan. Kupon berharga RM1 dan 50 sen akan diletakkan di depan kedai.

"Mereka yang memerlukan boleh menggunakan kupon ini untuk membeli makanan di mana-mana gerai. Misalnya untuk sepinggan mi berharga RM4, dengan kupon RM1 mereka hanya perlu membayar bakinya," katanya lagi.

Sementara itu, sejumlah 37 gerai akan menyediakan tiga hidangan percuma selama 10 hari, dengan jangkaan 111 makanan percuma sepanjang tempoh itu.

"Orang miskin, berpendapatan rendah dan warga emas boleh mengambil kupon atau makanan percuma," kata Ong, yang berhasrat menambah lagi bilangan kupon makanan jika program itu mencatat kejayaan.

Katanya lagi, tujuan inisiatif itu adalah untuk melibatkan orang awam dalam membantu golongan susah yang berdekatan dengan mereka.

"Setakat ini, inisiatif ini dialu-alukan peniaga di Kompleks Gerai Makanan Batu Lanchang dan mereka sedia untuk melibatkan diri.

"Jika program ini berjaya, saya juga berhasrat melaksanakannya di Pasar Awam Jelutong dan di Jalan Perak agar lebih ramai dapat membantu.

"Pada masa sama, kami di pusat khidmat Batu Lanchang sedia berkongsi idea ini kepada mana-mana pihak yang berminat melaksanakan usaha serupa," kata Ong lagi.

Sumber: https://www.canva.com/?irgwc=1&utm_medium=affiliate&utm_source=Indoleads.&clickId=0khxsawvvxyLWYS0OGSitWCIUkEyztzGaWP53M0

Monday 28 December 2020

Kerajaan digesa beri perhatian isu kartel daging - MP Bukit Mertajam



Kerajaan Persekutuan diseru segera menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat isu kartel daging secara berani dan telus serta mencadangkan penambahbaikan, kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Langkah itu jelas beliau, demi untuk mengembalikan keyakinan pengguna terutama rakyat Malaysia terhadap sistem kawal selia halal dan kualiti makanan import secara amnya.

“Isu kartel daging yang dibongkarkan oleh media baru-baru ini ialah masalah serius yang melibatkan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia. Oleh itu, perkara ini memerlukan perhatian di peringkat paling tinggi dengan kadar paling segera.

“Akibat rasuah dan salah guna kuasa yang berleluasa di beberapa agensi kerajaan, kartel daging telah mengimport daging-daging dari sumber yang diragui dan tidak mengikut piawaian halal Malaysia.

“Malah laporan media turut mendedahkan produk daging yang menggunakan logo halal palsu untuk dijual di pasaran Malaysia. Kartel daging tersebut didakwa sudah beroperasi lebih 40 tahun,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut beliau, isu kartel daging tersebut melibatkan soal amalan agama Islam yang tidak boleh dikompromi.

Namun begitu, jelasnya, masalah tersebut tidak terhad kepada umat Islam semata-mata.

Beliau memberitahu, ia sebenarnya melibatkan isu kualiti dan khasiat makanan import secara amnya.

“Jika daging tidak halal boleh dijual sebagai halal akibat kegiatan rasuah, maka tidak hairan jika daging berpenyakit dan bermasalah mungkin terlepas daripada sekatan untuk dijual kepada pengguna.

Kata beliau, ini sudah tentu akan mendatangkan mudarat besar kepada kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Jika isu ini tidak ditangani dengan kadar paling segera, ia akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem kawal selia kerajaan.

“Perkara ini juga akan memberi kesan buruk kepada perniagaan-perniagaan yang mematuhi undang-undang kerana kehilangan keyakinan pengguna terhadap sistem kawal selia tersebut,” katanya lagi.


Sumber: https://www.roketkini.com/2020/12/29/isu-kartel-daging-masalah-serius-libatkan-kesihatan-keselamatan-dan-kesejahteraan-rakyat/?fbclid=IwAR25wx2-s8TPt89_0CKyK_yvcqoalQCywmmhzVlUqQkUd9t63IMfiZk2Ogc

Kartel daging: Muhjahid gesa SPRM siasat semua sektor termasuk agensi agama

 


Konvensyen Nasional 2020 Parti Amanah Negara (Amanah) menuntut pihak berwajib khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat agensi-agensi yang terlibat dalam isu kartel daging.

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, antara agensi terlibat termasuklah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Kementerian Pertanian dan Makanan (MAFI).

Beliau berkata, kerajaan perlu menimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan segera mendedahkan siapakah kartel dan rangkaian yang terlibat.

“Kartel ini menimbulkan masalah yang lebih teruk iaitu rasuah, habuan tertentu dan juga salahguna label halal.

“Kesangsian label halal turut mendedahkan isu kartel daging yang menguasai pasaran sejak sekian lama,” katanya pada Konvensyen yang berlangsung di Melaka pada Ahad.

Mengulas lanjut beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, ia penting bagi memelihara tuntutan syariat ‘Halalan Tayyiban’ dan kualiti serta integriti label halal Jakim yang diiktiraf dunia.

“Ini juga penting bagi memastikan isu keselamatan pelabuhan masuk negara tidak dikompromi,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian ini mendedahkan kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula dengan label serta cap palsu dan menjualnya dalam pasaran negara ini.

Perkara itu dibongkar oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) yang mengenal pasti tiga jenama popular produk daging sejuk beku keluaran Australia yang diproses di sebuah kilang sejuk beku di Senai, Johor.

Sumber: https://gemilangdaily.com/kartel-daging-sprm-perlu-siasat-semua-termasuk-agensi-agama-mujahid/?fbclid=IwAR2j-XqvziD8j8aDS5G78aoZXgVhi7vscZPh2udB3IK_-3D_xxKRviPyAiY

Masih wujud 'double standard', JKR mohon maaf untuk kemalangan yang melibatkan menteri sahaja



Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Langat digesa bersikap adil dan memohon maaf kepada semua pengguna yang pernah terlibat dalam kemalangan akibat keadaan jalan raya yang berlubang.

Ketua Pemuda PKR (AMK) Kuala Langat Mohd Shah Rezza Mohd Tuniman berkata, tidak wajar permohonan maaf hanya dibuat ketika kemalangan melibatkan menteri sahaja.

JKR Kuala Langat semalam memohon maaf kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang mengalami kecederaan selepas basikal dinaikinya terlanggar lubang.

“JKR Kuala Langat seharusnya bersikap adil untuk turut sama meminta maaf kepada pengguna jalan raya lain yang juga pernah teribat kemalangan malah ada yang meninggal dunia akibat kecuaian mereka.

“Masih banyak tempat kerosakan di sekitar jalan seliaan mereka dan apakah rasa ingin meminta maaf hadir hanya ketika kemalangan melibatkan menteri sahaja?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Khairy cedera di bahagian muka selepas terjatuh ketika berbasikal di Jalan Kampung Sri Cheeding, Banting, Selangor.

Susulan itu, pihak JKR membuat permohonan maaf itu di Twitter.

"JKR Hulu Langat memohon maaf atas kejadian yang menimpa YB menteri dan akan mengambil tindakan segera ke atas isu berkenaan dan mendoakan YB cepat sembuh," kata pihak itu.

Sementara itu, Mohd Syah turut menegaskan pihak terbabit supaya tidak berat sebelah antara menteri dan pengguna awam dalam membuat permohonan maaf itu.

“Saya ingin menegaskan bahawa tidak perlu ada berat sebelah kepada mana-mana menteri yang terlibat kemalangan di jalan raya kerana mereka mendapat keistimewaan pengecualian cukai jalan.

“Sebaliknya rakyat marhaen ini adalah pembayar cukai jalan setiap tahun dan berdiam diri bila kemalangan menimpa mereka,” katanya lagi.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/556761

Sunday 27 December 2020

"Inilah masanya golongan muda tonjolkan diri"



Sejarah lampau telah merakam bahawasanya para pemimpin politik yang ada pada hari ini datang dari perjuangan yang mereka sendiri mulakan atau yang pernah mereka sertai ketika mereka masih muda lagi.

Mereka tidak menuntut untuk mengisi kesemua kedudukan itu pada waktu dulu. Malah tidak pula merengek-rengek diberi peluang dan meminta-minta diperuntukan ruang untuk ‘berjuang’ – mereka malah mencipta peluang dan ruang tersebut dengan tangan mereka sendiri.

Begitupun, tidaklah saya katakan yang golongan muda sekarang ini tidak berbuat apa-apa untuk menonjolkan perjuangan mereka. Telah begitu banyak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang wujud berpandu kepada kepercayaan atas apa yang mereka perjuangkan.

Namun jika kita perhatikan dengan lebih mendalam terutama sekali ke medan politik, soalan yang kerap timbul dalam kotak akal ialah; apakah yang sedang dilakukan oleh golongan muda ini? Adakah cukup dengan mengeluarkan kenyataan media mengutuk keras tindakan semborono Kerajaan atas sebarang isu sensasi yang mendada di laman media sosial?

Atau apakah golongan muda ini hanya berminat dengan forum ilmiah berat yang hanya ditekuni para jargoan? Atau mereka rasa sudah memadai dengan hanya buat program online sembang santai yang tidak pernah-pernah sudah? Orang muda harus lebih radikal dan punyai taktikal – melawan kebiasaan. Mereka mesti berani dengan idea untuk mengubah, bukan diubah.

Hari ini, blok pembangkang dilihat tidak tersusun sejak kebelakangan ini. Ini mungkin gara-gara kegagalan menolak Belanjawan 2021 tempoh hari yang kemudiannya diluluskan di Dewan Rakyat selepas bacaan kali ketiga dan beberapa kegagalan lain sepanjang proses tersebut.

Walaupun ia adalah kemenangan tipis buat Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipertikai keabsahannya, namun ia masih lagi sebuah kemenangan yang tentunya seronok untuk mereka melompat bersorak. Bak kata orang, kalah tetap kalah biarpun satu undi.

Maka, saya kira sayap-sayap parti politik yang terdiri daripada golongan muda sudah seharusnya mengambil langkah yang lebih berani dengan menonjolkan diri memainkan peranan mereka sekarang. Bukan besok lusa – tetapi sekarang!

Mereka boleh sahaja memperlihatkan kesatuan dengan semua sayap parti blok pembangkang sebagai usaha segera memperbetulkan apa yang telah berlaku. Inilah masanya untuk golongan muda dalam sayap parti politik pembangkang mempertaruhkan apa sahaja idea baharu dan yang lebih segar bagi menyatukan kita semua. Orang muda jangan hanya menunggu pemimpin-pemimpin senior mereka merangka formula untuk mengikat dan memperbaharui kerjasama. Golongan muda-lah yang perlu ketengahkan idea yang mereka ada dan ianya mesti dibuat secara berpasukan.

Golongan muda yang harus mulakan dulu. Tonjolkan teladan dengan aksi, bukan hipokrasi. Jika demo, demolah sekali. Jika bantah, bantahlah sekali. Jika berpayung, berpayunglah sekali. Bina kesatuan, kumpul semua kudrat dan kekuatan yang tersisa.

Jika golongan muda mahu menuntut peluang dan ruang untuk bersuara, merasakan yang mereka mampu mencetus dan menggerakkan idea yang lebih besar dan segar, berkeupayaan memimpin sekarang dan bukan sekadar di masa depan – maka inilah masanya mereka menonjolkan diri. Ya, inilah masanya!


Sumber: https://www.roketkini.com/2020/12/28/politik-malaysia-orang-muda-harus-menonjol-bukan-minta-ditonjolkan/?fbclid=IwAR1x9XyNV09AxLITCvvMDF0q653IZ2w5f5CQhRl7KxXZD2rcEvypGm4Vm94

Tuesday 22 December 2020

Kenaikan kos haji ditanggung sendiri oleh bakal jemaah, Menteri Agama anggap berita gembira?



Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Datuk Seri Saifuddin Nasution mempertikai tindakan kerajaan yang meminta jemaah haji untuk bersiap sedia dari segi kewangan susulan penambahan caj kos haji yang akan dikenakan Arab Saudi.

Beliau berkata, dalam jawapan bertulis yang diberikan kepadanya berhubung isu berkenaan sebelum ini, Menteri Agama Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah memaklumkan akan terus membantu jemaah haji melalui subsidi.

Namun katanya, kenyataan menteri pada semalam bercanggah dengan jawapan bertulis yang diberikan.

“Saya pernah bertanya kepada menteri di dalam Parlimen tentang isu ini. Jawapan bertulis menteri kepada saya, kerajaan melalui Tabung Haji (TH) akan terus bantu jemaah haji melalui subsidi.

“Hari ini lain pula kenyataan menteri. Berapa tanggungan subsidi TH? Jawabnya RM400 juta setahun. Soalan seterusnya apakah TH sudah tidak mampu (tanggung kenaikan kos haji)?,” soalnya dalam satu hantaran Facebook.

Semalam, Zulkifli meminta jemaah haji pada tahun hadapan bersedia berdepan caj tambahan baharu yang akan dikenakan kerajaan Arab Saudi dengan menambah simpanan deposit dalam akaun Tabung Haji.

Ia berikutan prosedur operasi standard (SOP) dan langkah keselamatan lebih ketat dikuatkuasakan kerajaan Arab Saudi dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Sementara itu kata Saifuddin, Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah membuat langkah menyelamatkan TH dengan nilai RM20 bilion untuk tempoh 10 tahun mulai 2020 disebabkan banyak pelaburan TH telah rugi.

Menurutnya, TH tiada masalah dalam menguruskan simpanan pendeposit, namun masalah kewangan TH berlaku apabila keputusan pelaburan TH di lebih 100 buah syarikat mengalami kerugian.

“Ini memberi kesan kepada kedudukan kewangan keseluruhan TH. Kesannya? TH menghadapi masalah mengekalkan hibah yang tinggi dan menanggung subsidi haji.

“Saya akan menulis lagi kepada menteri agama tentang perkara ini,” katanya.

Sumber: https://malaysiadateline.com/kos-haji-saifuddin-pertikai-janji-menteri-agama/

Kit Siang tuntut penjelasan lanjut mengenai kos beli vaksin Pfizer Covid-19



 Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang meminta penjelasan lebih lanjut mengenai kos Malaysia untuk membeli vaksin Pfizer Covid-19, berbanding dengan harga yang diumumkan Belgium.

Ini selepas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin mendakwa tuduhan Lim "tidak betul" bahawa Belgium membayar 20 kali lebih murah untuk vaksin Pfizer berbanding dengan negara ini.

"Berani Khairy mengatakan Malaysia mendapat vaksin Pfizer Covid-19 (pada) 10 kali lebih tinggi daripada Belgium, atau lebih baik lagi, bahawa Malaysia mendapat vaksin Pfizer Covid-19 lebih murah daripada Belgium?

"Apa itu?," kata Lim yang menegaskan pengiraannya berdasarkan kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan memperuntukan RM3 bilion untuk imunisasi 6.4 juta penduduk Malaysia.

"Tentunya, rakyat Malaysia berhak mendapatkan maklumat untuk perbandingan seperti itu, yang tidak terperangkap dengan klausa kerahsiaan yang harus dimeterai oleh kerajaan dengan pembuat ubat untuk membeli vaksin Covid-19 ?," kata Lim.

Perbandingan Lim dengan Belgium dibuat berdasarkan kenyataan oleh setiausaha negaranya, Eva De Bleeker, yang secara tidak sengaja mendedahkan bahawa negaranya membayar 12 euro (kira-kira RM60) bagi setiap dos untuk vaksin Pfizer Covid-19.

Memandangkan Malaysia mempunyai anggaran populasi 31 juta, peruntukan RM3 bilion yang diperuntukan membabitkan sekitar RM138 setiap seorang untuk vaksin sekitar 70 peratus penduduk negara ini.

Khairy dalam respon kepada Lim, menjelaskan bahawa peruntukan RM3 bilion adalah anggaran keseluruhan untuk pelbagai vaksin Covid-19, bukan hanya dari Pfizer, untuk mengimunisasi sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk.

Melalui ciapan di Twitternya, Khairy berkata bahawa dia akan mendedahkan butiran lebih lanjut mengenai lima vaksin Covid-19 dalam senarai pembelian Malaysia pada sidang media esok.

"Saya akan mengadakan sidang media esok di MOSTI selepas Kabinet untuk memberi maklumat lebih lanjut kepada masyarakat. @Limkitsiang dipersilakan hadir," katanya.

https://twitter.com/khairykj/status/1341205259721400320?s=21

"PM @MuhyiddinYassin baru saja mengumumkan perkembangan vaksin Covid-19.

"Selepas menandatangani perjanjian dengan COVAX, Pfizer & Astra Zeneca dan memuktamadkan perjanjian dengan Sinovac, CanSino & Gamaleya, kami akan mendapat vaksin untuk hampir 83% populasi kami dengan harga RM 2.05 bilion," katanya.

https://twitter.com/khairykj/status/1341203708625838085?s=21

Untuk menjawab persoalan Lim, mengenai kumpulan pertama vaksin Pfizer Covid-19, Khairy mengulangi bahawa penghantaran pertama dijadualkan pada Februari tahun depan, tertakluk kepada persetujuan peraturan dari Kementerian Kesihatan.

Secara keseluruhan, Khairy juga mengatakan bahawa dia bersedia untuk memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengenai perincian perolehan berkaitan.


Sumber: https://m.malaysiakini.com/news/556155


Kerajaan perlu pandang serius laporan rasuah libatkan kartel pengimportan daging, kata Syahredzan Johan




 Kerajaan harus memandang serius laporan mengenai rasuah melibatkan "kartel" pengimportan daging," kata Setiausaha Politik kepada ahli Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan.


Jelasnya laporan yang didedahkan media itu menimbulkan kegusaran dan kebimbangan di kalangan umat Islam di Malaysia berhubung status halal daging-daging yang berada di pasaran negara ini.


"Di samping itu, laporan-laporan tersebut juga menimbulkan persoalan mengenai keselamatan makanan (food safety) di Malaysia yang bukan sahaja melibatkan mereka yang beragama Islam, tetapi juga rakyat Malaysia secara amnya. 


"Dilaporkan bahawa daging-daging yang dibawa masuk adalah haiwan yang berpenyakit atau daging yang berkualiti rendah.


"Pihak kerajaan harus memandang serius terhadap laporan-laporan ini, dan pihak berkuasa termasuklah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus segera menjalankan siasatan yang menyeluruh ke atas perkara yang didedahkan oleh laporan-laporan tersebut.


"Perkara ini, sekiranya benar, sekali lagi menunjukkan bahawa rasuah dan korupsi adalah barah dalam masyarakat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Laporan New Straits Times pada 21 dan 22 Disember membangkitkan isu  ‘kartel’ yang mengimport daging ke Malaysia.


Menurut laporan tersebut, kartel berkenaan bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi-agensi kerajaan untuk membawa daging-daging ke dalam negara kononnya sebagai daging yang berstatus halal.


Antara daging-daging yang dibawa masuk adalah daging kangaru dan kuda, yang dijual sebagai daging yang berstatus halal.


Dalam pada itu, Syahredzan Johan berkata berdasarkan laporan itu pegawai yang terlibat telah menerima pelbagai jenis habuan, termasuk wang dan seks, bagi membolehkan kartel tersebut beroperasi mengimport daging-daging tersebut. 


Pada 8 Dis lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dilapor sedang menjalankan siasatan berhubung kes kartel import daging haram di Senai, Johor.


Sumber: https://m.malaysiakini.com/news/556163