Sunday, 4 June 2017

GUAN ENG DEDAHKAN ERA KERAJAAN BN JUAL 3,661EKAR TANAH PULAU PINANG


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD

PANTAI JEREJAK - Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyanggah tuduhan Gerakan kononnya RM574 juta lebihan kewangan yang Kerajaan Negeri hari ini berjaya kumpul adalah hasil penjualan tanah di Pulau Pinang semata-mata.

"Daripada RM1.1 bilion (hasil jual tanah secara tender terbuka) ini, sehingga sekarang kerana ia adalah pembayaran secara berjadual, kita telah terima kira-kira RM700 juta.

"Daripada RM700 juta ini, jangan lupa, kita (Kerajaan Negeri) telah berikan RM500 juta untuk program Rumah Mampu Milik (RMM).

"Maka, kalau ada apa-apa lebihan lagi yang tinggal hanya RM200 juta, (RM200 juta) ini pun tidak cukup untuk menampung kos selama ini.

"Justeru, tiada kaitan antara lebihan kewangan terkumpul sebanyak RM574 juta sejak tahun 2008 (dengan hasil jual tanah semata-mata).

"Ini (lebihan kewangan) adalah usaha Kerajaan Negeri kutip hasil daripada sumber-sumber lain, selain hasil penjualan tanah.

"Bukanlah penjualan tanah menjadi sebab utama kita mencatatkan lebihan (kewangan)," jelas Guan Eng  yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan kepada pemberita, selepas berucap dalam Majlis Penyerahan Rasmi Penyiapan Kerja-Kerja Pengecatan Semula Blok 74 Jalan Tengah dekat Bandar Bayan Baru pada tengah hari tadi.

Timbalan Ketua Menteri I Dato' Mohd. Rashid Hasnon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak; Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Sing Deo; dan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) Dato' Rosli Jaafar turut sertai sidang media tersebut di sini.

Guan Eng mendedahkan Kerajaan Negeri era Barisan Nasional terdahulu direkodkan menjual tanah secara tender tertutup seluas 980 ekar dekat Tanjong Tokong dengan harga RM42.7 juta atau RM1 sekaki persegi; 325 ekar tanah untuk projek Jelutong Expressway (RM325 juta atau RM20 sekaki persegi); 750 ekar tanah kepada Abad Naluri di Batu Kawan (RM106 juta atau RM3.24 sekali persegi); dan 1,606 ekar tanah kepada Rayston Concortium Sdn. Bhd. di Butterworth.

Manakala Kerajaan Negeri hari ini, katanya lagi, sejak tahun 2008 direkodkan menjual tanah secara tender terbuka seluas 1.1 ekar di Jalan Zainal Abidin dekat Taman Manggis dengan harga RM10.2 juta atau RM232 sekaki persegi; dan satu lagi 105 ekar tanah di Bayan Mutiara (RM1.1 bilion atau RM240 sekaki persegi).

"Tanah yang kita (Kerajaan Negeri hari ini) jual hanya 106 ekar, (Kerajaan Negeri era) BN jual 3,661 ekar, iaitu 36 kali ganda lebih banyak.

"Tapi, dia punya (hasil) pendapat lebih kurang kerana kita buat tender terbuka dan dia tak buat tender terbuka," jelas Guan Eng yang juga Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan.

Guan Eng yang juga ADUN Air Itam merangkap Ahli Parlimen Bagan turut memberi respons pada isu Kerajaan Negeri menjual tanah untuk tujuan pembinaan hospital swasta terbesar negara berhampiran Island Hospital yang sedia ada di Pulau Pinang, yang membawa RM2 bilion pelaburan ke negeri ini.

"Kalau berprinsip, jawab dahulu dan tunjuk bukti bahawa penjualan tanah Island Hospital dibuat oleh saya seorang.

"Sehingga sekarang, mereka (Gerakan) tidak mahu tunjuk bukti," tegas Guan Eng sambil menganggap tuduhan Gerakan itu menyerlahkan amalan fitnah pemimpin Barisan Nasional di Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment