Tuesday, 12 December 2017

PENDUDUK TUNTUT PAMPASAN TANAH TAPI MB TERENGGANU TIDAK MAHU BERJUMPA


KUALA TERENGGANU – Kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) khususnya Menteri Besar (MB) Dato’ Seri Ahmad Razif diminta bertanggungjawab dan jangan hanya ‘lepas tangan’ dalam isu membabitkan pembinaan jalan ‘Kuala Terengganu-Bypass’.

Seramai 30 orang penduduk menuntut hak dan keadilan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) keatas 240 lot tanah mereka yang diambil balik bagi pembinaan jalan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindaknya Haji Chik Ali, 54, dari Kampung Seberang Baroh kesal kerana pertemuan dengan MB bagi mengadu masalah tersebut mendapat jawapan yang mendukacitakan.

Beliau berkata, Ahmad Razif mendakwa pampasan tidak dapat dibayar mengikut kehendak penduduk kerana kerajaan negeri tidak mempunyai kewangan bagi tujuan itu.

“Saya bersama beberapa orang Jawatankuasa Bertindak pernah jumpa MB di Pejabat Umno Bahagian Kuala Terengganu.

“MB kata kerajaan Terengganu tidak ada duit untuk bayar pampasan seperti yang dituntut oleh penduduk itu. Dia lepas tangan begitu sahaja…kata kerajaan tak ada duit.

“Jika tidak ada duit (kami) minta kerajaan tangguhlah dahulu projek itu. MB ada kuasa untuk tangguh sementara dan biar kerajaan pusat buat, kasihan kepada rakyat,” jelasnya.

Haji Chik berkata, tanah miliknya berada di lot hadapan jalan utama Kuala Terengganu ke Kota Bharu.

Namun katanya, bayaran pampasan ditawarkan kerajaan negeri terlalu rendah dan tidak setimpal dengan anggaran penilai.

“Bayar (pampasan) murah dan rakyat hendak beli tanah ganti di mana dengan bayaran yang tidak setimpal itu.
“Kami hendak beli tanah ganti dengan duit pampasan yang dibayar itu pun tidak mampu dengan harga tanah sekarang,” ujarnya.

Katanya, penduduk tidak puas hati kerana tanah mereka hanya dibayar antara RM48.00 hingga RM53.00 sekaki persegi, sedangkan mereka menuntut pampasan RM90.00 sekaki persegi.

Selain itu, kata beliau, kerajaan hanya mahu bayar harga tanah sahaja sedangkan ganti rugi untuk bangunan atau rumah tidak dibayar.

“Siapa yang hendak pindah, takkan hendak ‘rombak’ (punggah) rumah dengan air liur sahaja. Orang berniaga, dia hendak bawa keluar macam mana, barang dia ada (banyak) hendak letak di mana?

“Tanah saya pula berada di lot pertama jalan utama dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, sudah tentu harganya tidak sama dengan harga tanah di lot kedua, ketiga dan seterusnya,” ujar beliau.

Oleh itu menurutnya mereka sepakat enggan berpindah selagi tidak ada penyelesaian terbaik, walaupu notis terakhir arahan mengosongkan rumah diterima pada tiga bulan lalu.

Katanya mereka diberi tempoh 21 hari dan akan didenda RM500,000 jika engkar dan yang terbaharu pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) datang Pada 10 Oktober lalu dan arah berpindah.

No comments:

Post a Comment