Monday 8 January 2018

GABUNGAN PAS UMNO TERGUGAT



Timbalan Pengerusi AMANAH Negeri Melaka Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, keputusan besar yang dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) semalam merupakan kejayaan besar dan di luar dugaan musuh-musuh politik PH.

Keputusan tersebut ialah menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri (PM) dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan persetujuan pengagihan kerusi Parlimen untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Tahniah kepada pimpinan tertinggi PH, semua pimpinan parti komponen PH, ahli dan penyokong-penyokong PH.

“Keputusan semalam menutup mulut musuh-musuh politik PH dan ia membuktikan bahawa PH mampu untuk bersatu dan mencapai kata sepakat dalam apa juga isu.

“Keputusan itu juga merupakan hadiah untuk rakyat Malaysia kerana mereka yang terhimpit sejak 60 tahun di bawah kerajaan BN, kini sudah mempunyai alternatif untuk mendapat kerajaan baru pada PRU14 nanti,” kata beliau dalam kenyataan medianya hari ini.

Tambah beliau, pengumuman yang dibuat semalam jelas membuktikan pimpinan PH mampu mengorbankan kepentingan diri dan parti sendiri demi untuk rakyat dengan mencapai kata sepakat tentang calon PM, TPM dan pembahagian kerusi.

“PH juga membuktikan mereka mempunyai barisan kepimpinan yang berpengalaman, berkebolehan dan hebat untuk menggantikan BN sebagai kerajaan. Malah PH telah membuktikan kejayaan mereka memerintah Selangor dan Pulau Pinang dengan program-program kebajikan rakyat serta ekonomi negeri yang kukuh.

“13 janji perubahan untuk Malaysia yang diumumkan semalam terbukti sangat relevan dan mampu membawa negara dan rakyat ke satu era baru yang lebih maju, adil dan sejahtera serta menyelamatkan negara dari menjadi sebuah ‘failed state’,” kata Naib Pengerusi PH Melaka itu.

Kata beliau lagi, kini masanya telah tiba untuk rakyat memberikan mandat kepada PH dalam PRU14 nanti bagi menggantikan BN sebagai kerajaan baharu.

No comments:

Post a Comment