Wednesday 6 January 2021

Netizen sindir PAS hasrat bebas judi 2025, kenapa tidak sekarang




Rata-rata warganet mengecam hasrat Pas yang hanya ingin menjadikan negara ini bebas daripada judi menjelang lagi empat tahun.

Mereka mempersoal tempoh sasaran itu kerana berpendapat Pas patut melakukannya sekarang ketika masih berada dalam kerajaan bukan hanya lantang bersuara semasa bergelar pembangkang.

Reaksi orang ramai itu susulan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary semalam.

“Jika kita kekal sebagai kerajaan, Pas mempunyai wawasan untuk menjadikan negara kita bebas daripada judi menjelang tahun 2025 nanti,” katanya.

Ekoran itu, ruangan komentar bagi laporan berita tersebut di Facebook Harakahdaily semalam dibanjiri kecaman dan sindiran daripada pembaca portal lidah rasmi Pas itu.

Kebanyakannya mempertikaikan ke mana pendirian Pas yang sebelum ini lantang terutama ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga mereka mahu menutup operasi judi termasuk yang dilesenkan.

“Dah jadi kerajaan tutup sajalah. Buat apa nak tunggu sampai 2025. Takut tak sempat bulan depan dah bubar Parlimen,” sindir pengguna Facebook Lee Thuan.

Ada juga yang membidas sikap Pas yang dilihat ‘senyap’ berhubung tindakan kerajaan membenarkan cabutan khas judi ditambah daripada lapan kepada 22 kali setahun mulai tahun ini.

“Apa Pas buat bila cabutan khas naik sampai 22? Sekarang sudah jadi kerajaan? Tak boleh bertegas?” sinis Zain Abdullah.

Pas daripada peringkat pimpinan tertinggi hingga akar umbi amat garang memerangi judi ketika berada dalam pembangkang terutama era Pakatan Harapan (PH) diberi mandat di Putrajaya.

Pendirian itu termasuklah Ahmad Marzuk sendiri yang sehingga pernah menggesa agar usaha memerangi judi bukan terhenti setakat perjudian haram.

Dia dalam kenyataan pada 18 Jun 2019 berkata, usaha memerangi judi termasuk judi yang ‘dihalalkan’ oleh kerajaan, khasnya Kasino Genting, Magnum, Sports Toto dan Da Ma Cai.

Antara deretan kecaman dalam komentar di Harakahdaily berhubung hasrat Pas banteras judi lagi empat tahun.

Sumber: https://malaysiadateline.com/netizen-kecam-hasrat-pas-banteras-judi-menjelang-2025-bukan-sekarang/

No comments:

Post a Comment