Monday 11 January 2021

Saintis pertegas hutan gondol punca bah besar, kerajaan Pahang nafi salahkan hujan lebat



Ketika pakar menegaskan bah besar membawa lumpur bukan disebabkan faktor semula jadi, sebaliknya diburukkan aktiviti penggondolan hutan yang semakin berleluasa, lain pula penegasan pihak kerajaan negeri Pahang.

Kenyataan Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Pahang menyebut hujan lebat luar biasa hampir serentak di seluruh negeri itu punca sebenar banjir teruk yang melanda sejak awal tahun baharu ini.

Katanya, faktor itu disahkan menerusi laporan oleh jabatan berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Kenyataan tersebut sebagai reaksi terhadap laporan muka depan BH semalam, ‘Hutan kena gondol punca banjir berlumpur’ yang menampilkan pandangan saintis yang menolak faktor semula jadi sebagai punca bah teruk membawa lumpur yang melanda negeri Pantai Timur Semenanjung sejak seminggu lalu.

Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nor Shahidah Mohd Nazer menegaskan banjir yang melanda di negeri Pantai Timur Semenanjung, khususnya Pahang tidak akan seteruk sekarang, jika penggondolan hutan terutama aktiviti pembalakan dilakukan secara terancang dan terkawal.

Beliau menyifatkan bencana alam boleh berlaku secara tidak terkawal di Pahang dan Terengganu apabila geomorfologi perbukitan dan berlembah di dua negeri itu kini menunjukkan ciri ketidakstabilan.


Banjir teruk di Pahang menenggelamkan bumbung Sekolah Kebangsaan Chenor.

Bagaimanapun, Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Pahang tetap menafikan dakwaan pakar berkenaan.

Dalam masa sama, kerajaan negeri mengakui aktiviti pembalakan masih menjadi sumber ekonomi negeri tetapi ia dilakukan secara terkawal.

“Bukan sebab penerokaan hutan dan tanah, kerana jika benar maka mewajarkan lagi usaha keras Kerajaan Pahang membendungnya seperti yang dilakukan di Raub dan Sungai Ichat dan Lembah Bertam, Cameron Highlands baru-baru ini.

“Rekod taburan hujan antara 1 Disember hingga 10 Januari lalu menunjukkan, Daerah Pekan, menerima purata hujan antara 238 milimeter (mm) dan 136 mm; Kuantan, masing-masing 234 mm dan 144 mm, manakala Maran, daerah pertama dilanda banjir menerima sehingga 935mm pada 3 Januari sahaja,” jelasnya.

Sumber: https://malaysiadateline.com/saintis-pertegas-hutan-gondol-punca-bah-besar-kerajaan-pahang-nafi-salahkan-hujan-lebat/

No comments:

Post a Comment