Monday 11 January 2021

Negeri Sembilan tetap kukuh ditadbir oleh kerajaan PH




SEREMBAN- Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan tetap kukuh dan stabil walaupun menerima pelbagai rintangan serta cabaran pada tahun lalu.

Pengerusi DAP Negeri, Anthony Loke Siew Fook berkata, Negeri Sembilan akan terus memerintah disebabkan mempunyai seorang Menteri Besar yang berwibawa dan sangat komited dalam kebajikan rakyat.

“Saya yakin Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun akan terus memimpin negeri ini dengan penuh kebijaksanaan dan muafakat demi kesejahteraan rakyat.

“Cara pentadbiran Menteri Besar disenangi oleh semua rakan komponen kerana sentiasa terbuka untuk membincangkan segala isu dan mencari konsensus sebelum sesuatu keputusan dicapai," katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian, selepas mengadakan kunjungan hormat tahun baru kepada Menteri Besar Negeri Sembilan di kediaman rasminya, pada malam Ahad

Tambah Ahli Parlimen Seremban itu, Menteri Besar merupakan seorang yang sering mendengar pendapat dan memberi ruang kepada orang lain untuk mengetengahkan idea secara bersama.

Katanya, dalam merangka belanjawan tahunan, setiap ahli Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diberi ruang untuk memberikan input masing-masing.

“Akhirnya, apabila belanjawan dibentangkan, ianya merupakan satu muafakat bersama dan semua pihak dalam kerajaan negeri menyokong dan mendokong dengan sepenuh hati,” katanya.

Loke yang juga merupakan ADUN Chennah menjelaskan ia merupakan pendekatan yang sangat baik dan menjurus ke arah kestabilan politik di Negeri Sembilan yang nyata terbukti berkesan.

Dalam perkembangan lain, bekas Menteri Pengangkutan itu turut menyalurkan bantuan mangsa banjir di Pahang, yang disalurkan melalui Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack.

Katanya, sebanyak 400 pek beras (5 kilogram), 200 set tilam dan bantal serta 200 unit cerek air akan diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir khususnya dalam kawasan Raub.

"Sedikit sumbangan ini sebagai tanda solidariti bersama mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur dan saya berharap kepada semua mangsa banjir terus tabah dengan dugaan ini," katanya.


Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/118524/BERITA/Politik/PH-tetap-kukuh-tadbir-Negeri-Sembilan?fbclid=IwAR0Pp9VfrFQSjkSNBZn4eMW-SS0WxRmhUz0kdYuZKcvy0d46ZI9sLj0X024 

No comments:

Post a Comment