Sunday 28 May 2017

BEKAS PEMUDA PAS SELAYANG BAKAL KETUAI KUMPULAN PENGANAS DI FILIPINA

PETALING JAYA: Dr Mahmud Ahmad, pensyarah Malaysia yang kini bertindak sebagai militan disebut-sebut bakal menjadi pemimpin Negara Islam (IS) di bandar selatan Filipina Marawi yang sedang menyaksikan pertempuran sengit, lapor Star Online hari ini.
Beliau dipercayai bersembunyi di bandar di mana tentera Filipina sedang bertempur dengan kumpulan Maute, menyaksikan 44 orang, termasuk 2 rakyat Malaysia terbunuh.
Mahmud dikenal pasti sebagai individu yang akan membentuk kubu IS di Asia Tenggara, kini di bawah pimpinan Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon.
Isnilon diisytihar sebagai Emir IS di Filipina awal tahun lalu tetapi dia dilaporkan cedera parah dalam serangan udara di Basilan kira-kira 2 bulan yang lalu.
Laporan itu menambah, Mahmud mengetuai rakan-rakan militan untuk menyelamatkan Isnilon dalam serangan di Marawi, kata sumber, sambil menambah, mereka percaya dia juga cuba untuk mengisi kekosongan dalam kepimpinan jika Isnilon disahkan mati.
Kata mereka, khalifah IS Abu Bakr al-Baghdadi cuba sedaya upaya untuk mencari seorang pemimpin baharu dalam puak Asia Tenggara yang pernah diketuai oleh Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, yang terbunuh dalam serangan di Raqqa, Syria baru-baru ini.
Menurut sumber itu, Mahmud yang turut dikenali sebagai Abu Handzalah, kini adalah orang kanan yang dipercayai, dikaitkan dengan Abu Bakr selain Isnilon.
Mereka berkata terdapat beberapa warga asing yang terdiri daripada rakyat Malaysia, Singapura dan Indonesia dalam kumpulan Maute, yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat Kristian Filipina yang memeluk Islam.
Menurut sumber risikan, rancangan Mahmud adalah untuk membentuk puak IS rasmi di Asia Tenggara dengan menyatukan sel-sel pengganas yang berbeza di Malaysia, Indonesia dan Filipina.
Menurut sumber, mereka tidak dapat menganggarkan bilangan rakyat Malaysia di kawasan itu tetapi percaya ramai warga asing dengan kumpulan militan seperti Abu Sayyaf di Mindanao dan Basilan.
Pegawai Filipina masih belum mendedahkan nama-nama kumpulan militan terbunuh di Marawi di mana pertempuran sengit berterusan dengan tentera Filipina yang cuba untuk menawan semula bahagian bandar yang dikuasai kumpulan militan sejak Selasa lalu.
Sumber telah mengenal pasti 2 rakyat Malaysia mati sebagai Ustaz Abdurahman Asmawi dari Kelantan dan Dr Kamsa Yahya dari Kedah. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan dengan segera sama ada kedua-dua mereka terlibat dengan kumpulan militan atau sekadar melawat bandar tersebut.
Antara lain terbunuh ialah seorang warga Indonesia dan Arab Saudi, sumber berkata, sambil menambah, 9 lagi adalah warga Filipina.
Mahmud, yang dilatih di kem Al-Qaeda di Afghanistan bawah pimpinan Osama bin Laden semasa belajar di Universiti Islam Islamabad Pakistan pada akhir 1990-an, pulang ke Malaysia sebagai pensyarah di Universiti Malaya.
Selepas didedahkan sebagai militan pelampau oleh Bukit Aman pada tahun 2014, dia melarikan diri ke Filipina. Dia dikenal pasti sebagai ketua pengambilan kumpulan pengganas dan bertanggungjawab untuk melatih dan menghantar militan untuk berjuang di Syria dan Iraq.
Mahmud adalah antara 5 rakyat Malaysia yang meninggalkan negara ini. Yang lain adalah pembantunya paling dekat, Mohd Najib Husen (yang terbunuh di Filipina), pekerja Majlis Perbandaran Selayang Muhammad Joraimee Awang Raimee dan ahli Darul Islam Sabah, Mohd Amin Baco dan Jeknal Adil.
Mereka telah bekerja dengan kumpulan militan lain yang termasuk Abu Sayyaf di pelbagai serangan dan aktiviti jenayah di selatan Filipina.
Star Online memetik Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Timbalan Komisioner Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata, Mahmud diketahui sebahagian daripada kumpulan Abu Sayyaf.
“Bagaimanapun, kita masih cuba untuk mengumpul maklumat yang cukup untuk mendedahkan militan Malaysia yang terlibat di sana (Mindanao),” katanya.
Mengenai kemungkinan Mahmud mungkin menjadi pemimpin sel IS di selatan Filipina, Ayob berkata, beliau mengesyaki itu adalah matlamat utama Mahmud.
Semalam, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, kawalan di sempadan negara khususnya di Sabah dipertingkat bagi mengelak penyusupan anggota kumpulan bersenjata ke Malaysia susulan pertempuran dengan tentera Filipina di bandar Marawi.
Katanya, anggota kumpulan berkenaan berkemungkinan cuba melarikan diri dari bandar tersebut berikutan tekanan daripada pihak berkuasa Filipina.
Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengisytiharkan undang-undang tentera di wilayah selatan negara itu.

No comments:

Post a Comment