Sunday, 17 September 2017

DAP BANTAH TUTP PUSAT TAHFIZ

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: DAP berbeza pandangan di sebalik gesaan banyak pihak supaya pusat tahfiz dan pondok ditutup kerana tidak mematuhi panduan keselamatan bangunan.
Sebaliknya, DAP menyeru pihak berwajib termasuk seluruh pengurusan sekolah tradisi memperbaiki dan memastikan tahap keselamatan pusat pengajian mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan undang-undang.
Kenyataan ini dibuat Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Zairil Khir Joharirentetan tragedi malang yang mengorbankan 23 nyawa pelajar di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Banyak pihak meminta pihak berkuasa untuk menutup sekolah-sekolah tahfiz ini. Bagi pihak DAP, tuntutan sedemikian adalah keterlaluan dan tidak wajar.
“Sesungguhnya, sistem persekolahan tradisi di seluruh alam Nusantara seperti sekolah pondok, madrasah atau pesantren di Indonesia mempunyai sejarah yang lama dan masyhur dalam mendidik manusia menjadi insan yang beradab, bertanggungjawab dan berbudi pekerti luhur,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Zairil, kebanyakan pusat tahfiz dan madrasah di Malaysia perlu menggalas tanggungjawab penting ini demi tuntutan agama dan tradisi masyarakat.
“Namun demikian, sudah tentu infrastruktur yang dibina dengan dana kewangan yang terhad akan mempunyai pelbagai kelemahan, termasuk dari segi kebakaran.
“Jika mengikut piawai binaan bangunan, sudah tentu banyak sekolah-sekolah ini akan gagal pemeriksaan bomba,” katanya.
Ahli Parlimen Bukit Bendera itu turut mengemukakan beberapa langkah wajar demi memastikan keselamatan pusat pengajian tradisi seluruh negara lebih terjamin seperti berikut:
1)     Laluan keluar tambahan harus dibina pada bangunan bertingkat mengikut keperluan bomba.
2)     Pengesan asap dan alat pemadam api harus disediakan.
3)     Latihan kebakaran juga harus dibuat secara berkala.
4)     Penyelenggaraan pengesan asap dan alat pemadam api harus dilakukan dengan sebaik-baiknya, dengan catatan rekod dalam buku log.
5)     Sekiranya boleh, perancangan jangka masa panjang juga harus dibuat bagi menaiktaraf bangunan kayu kepada bangunan batu atau sekurang-kurangnya dengan membina dinding kebakaran (fire wall) untuk mengasingkan kelas dan bilik asrama.
Bagaimanapun, beliau berkata langkah tersebut tidak akan berjaya tanpa pemantauan dan penguatkuasaan.
“Ketika ini, setiap bangunan telah pun disyaratkan untuk memiliki aspek keselamatan asas sebelum diberi kebenaran untuk diduduki.
“Namun, aspek penguatkuasaan yang lemah telah meningkatkan risiko terjadinya peristiwa yang sangat kita khuatiri ini.
“Lebih penting lagi, isu keselamatan ini bukan hanya melibatkan bangunan sekolah maahad tahfiz sahaja, malahan juga bangunan milikan persendirian hatta milikan kerajaan – khususnya bangunan lama, tradisi dan yang memiliki elemen sejarah,” ujar beliau.
Tambahnya, bahaya fizikal yang dihadapi oleh bangunan-bangunan tersebut bukan hanya daripada ancaman kebakaran malahan juga dari aspek keteguhan binaan.
“Kita tidak asing lagi dengan berita bangunan sekolah yang runtuh dan rosak, meskipun baru dibina.
“Bagi mengelakkan tragedi pada masa depan, kerjasama semua pihak diperlukan untuk menjadikan keselamatan satu keutamaan,” katanya lagi. –Roketkini.com--

No comments:

Post a Comment