Tuesday 26 September 2017

KERAJAAN KELANTAN TANGKAP LELAKI BERSELUAR PENDEK


SEORANG lelaki Islam berdepan denda RM1,000 oleh pihak berkuasa agama Kelantan kerana memakai seluar pendek untuk bermain futsal, lapor The Star.

Wan Khairul Hayye Wali diberikan notis itu pada jam 10.45 malam semalam dan diarahkan menghadiri sesi kaunseling bulan depan, sekiranya gagal berbuat demikian dia akan dihadapkan ke mahkamah syariah dan boleh didenda sekiranya didapati bersalah.

Lelaki berusia 30 tahun itu yang sudah memakai seluar pendek untuk bermain futsal sejak sekolah mengatakan dia tidak tahu wujudnya peraturan melarang pemakaian itu.

“Sangat mengejutkan saya bila pegawai penguatkuasa agama memberikan saya saman, mengatakan saya melanggar Enakmen Jenayah Syariah kerana mendedahkan lutut saya.

“Takkan lah mereka mahu saya pakai kain sarung untuk main futsal,” kata pekerja am di sebuah kedai itu.

Dalam kejadian semalam, dia mengatakan dia cuba menjelaskan kepada pegawai itu yang dia dalam perjalanan untuk bermain futsal dan keluar daripada keretanya sebentar membeli burger untuk isterinya.

“Jika saya tak berhenti beli burger, saya tak akan tahu yang salah pakai seluar pendek walaupun kita dalam perjalanan nak bersukan.

“Sekiranya ia kesalahan, mereka perlu beritahu kepada orang awam. Bagaimana kita patut tahu yang satu kesalahan pakai seluar pendek hendak main bola?

Wan Khairul mengatakan dia akan menghadiri sesi kaunseling itu.

Seorang pegawai Jabatan Agama Islam Kelantan mengatakan kod pakaian itu hanya terpakai untuk orang Islam.

“Kami tak ambil tindakan kepada orang bukan Islam, malah tak bertindak pun kepada perempuan bukan Islam yang pakai seluar pendek di tempat awam.” – 26 September, 2017.

No comments:

Post a Comment