Thursday 6 July 2017

HARGA BARANG MAHAL : SELEBRITI CHEF WAN SALAHKAN KERAJAAN

Chef selebriti Datuk Redzuawan Ismail mendakwa pada masa kini tidak ada apa lagi yang murah di Malaysia selepas pengalamannya membeli ikan untuk masakan dirumah.
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Chef Wan mengatakan bahawa harga ikan sekarang sangat mahal. Beliau juga seolah-olah menyalahkan kerajaan di negara ini apabila mempertikaikan kenyataan pemimpin negara tentang keadaan ekonomi Malaysia yang bertambah baik.
Rungutan Chef Wan bermula apabila peniaga mengenakan harga RM 40 bagi tiga keping besar Ikan Merah yang dibelinya. Namun beliau tidak pula menyatakan berapa berat tiga keping ikan tersebut, sebaliknya menjadikan golongan miskin sebagai alasan untuk menghentam kerajaan.
Tak dapat dipastikan pula sama ada Chef Wan mengambil inisiatif ‘berleter’ kepada peniaga yang menjual ikan merah “mahal” tersebut kepadanya.
“Ambil ikan merah tiga keping besar sedikit nak buat sup ikan pun dah harga RM40,” kata beliau dalam laman Instagramnya.
Chef Wan berkata, beliau terperanjat setiap kali membeli makanan laut.
“Tak ada apa lagi yang murah di Malaysia walapun kerajaan melaung-laungkan ekonomi kita bertambah baik.
“Iyo la kan ajo…” kata Chef Wan.
Dalam masa yang sama, seorang ahli korporat pula merungut harga udang besar yang dibelinya terlampau mahal di sebuah pasar di ibunegara.
Menerusi portal Malaysia Dateline, beliau mendakwa harga satu kilogram udang di pasar tani Taman Melawati RM75, kepah satu kilogram RM10 manakala ketam pula RM25 satu kilogram.
Hasil tinjauan menerusi laman Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mendapati, harga tempatan bagi Ikan Merah ialah RM 31.00. Manakala Udang Harimau pula ditetapkan pada minimum RM 46.67 sekilogram (mengikut saiz) dan Udang Putih Besar pada RM 41.63 sekilogram. – UN

No comments:

Post a Comment