Sikap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang gemar bercuti secara bermewah di luar negara pada hujung tahun menunjukkan sikap acuh tak acuh terhadap penderitaan yang dirasai rakyat Malaysia.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, sementara menjadi hak bagi Najib untuk bercuti dengan keluarganya, perdana menteri perlu berbuat demikian pada masa yang sesuai.
"Buatlah dengan menggunakan duit sendiri dan masa tersendiri dengan sensitif kepada realiti kesusahan yang sedang dihadapi rakyat hari ini.
"Adakah Perdana Menteri sedar masa yang sukar kepada negara ini ekoran kos menjalani kehidupan yang semakin meningkat kerana beliau sendiri luluskan kenaikan harga petrol baru-baru ini," kata Raja Kamarul Bahrin dalam kenyataan.
Jelas beliau, ketika Najib dan keluarganya menikmati percutian luar negara, rakyat sedang bergelut dengan banjir, perbelanjaan persekolahan dan bayaran cukai pendapatan, antara lain.
Raja Kamarul Bahrin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pegawai khas isteri perdana menteri, Datuk Rizal Mansor yang mempertahankan tindakan Najib bercuti di Australia baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment