Monday, 24 April 2017
HANYA ORANG BODOH SAJA YANG MASUK UMNO, KATA MAHATHIR.
TASEK GELUGOR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rakyat berasa malu apabila Malaysia sekarang ini diketahui di seluruh dunia, diperintah oleh pencuri dan penyamun.
“Pencuri, penyangak, penyamun, perompak. Orang ini yang memerintah negara kita sekarang. Dan kita berasa malu. Dia tak berasa malu, tapi kita berasa malu. Kalau kita nak tebus perasaan malu itu, kita kena singkirkan Datuk Seri Najib (Razak),” katanya berucap pada perhimpunan rakyat di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, malam tadi.
Beliau berkata, seluruh dunia tahu bahawa Najib telah melesapkan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan duit itu ada pada rakan rapatnya iaitu Jho Low serta Rosmah Mansor.“Semua dunia akui Najib adalah pencuri. Baru-baru ini, dia buat ucapan meminta dunia menghormati Malaysia. Siapa nak hormat negara yang dipimpin oleh pencuri?
“Kalau dalam keluarga kita ada pencuri, kita berasa malu. Tapi bila Najib ditanya.. awak curi.. (ketawa). Pemimpin UMNO pun kata Najib tak curi, tapi dapat derma,” katanya. Tun Dr Mahathir berkata, bagi mendapat sokongan daripada ahli-ahli UMNO, Najib memerlukan wang yang banyak sedangkan gaji Perdana Menteri tidak cukup untuk tujuan itu.
“Kawan dia dari Pulau Pinang, Jho Low kata ada satu cara mudah untuk dapat duit banyak iaitu mencuri. Maka, Najib pun merancang nak curi. Mulanya nak curi duit Terengganu, tapi raja tak bagi.
“Lepas itu buat 1MDB… duit kerajaan tak ada nak buat modal. Kerajaan mampu bagi RM1 juta sahaja. RM1 juta tak cukup nak curi. Jadi dengan nasihat Jho Low, pinjam RM42 bilion dengan kerajaan menjadi penjamin, kononnya untuk berniaga, nak tambah pendapatan negara. Sebaliknya tujuannya ialah untuk mencuri duit yang dipinjam,” katanya.
Tun Dr Mahathir berkata, orang tahu pelbagai perkara yang berlaku kepada wang 1MDB, tetapi sekarang semua tidak mengetahui di mana wang yang begitu banyak itu.“Duit yang banyak tak boleh simpan bawah bantal. Kena simpan dalam bank. Bila simpan dalam bank mesti ada rekod dan apabila ditanya, gagal menunjukkan rekod. Akhirnya kata, tok Arab bagi. Tok Arab ini pula sudah mati, susah kita nak tanya.
“Inilah Najib. Mula-mula diberitahu oleh akhbar bahawa dia ada RM2.6 bilion dalam akaun Ambank, dia kata fitnah. Tapi bila ditunjuk bukti, baru mengaku. Dia kata tok Arab bagi.
“Macam-macam pembohongan dibuat semata-mata untuk mempertahan diri setelah duit RM42 bilion bertambah dengan faedah menjadi RM50 bilion sudah dilesapkan. Hari ini, tak ada pun audit lagi. Pada mulanya diambil syarikat audit, dia nampak benda salah ditukarnya auditor, kemudian ambil audit baharu, ditukar lagi. Sekarang tak ada syarikat audit yang sanggup untuk audit akaun 1MDB. Selama dua tahun kita tak dengar lagi audit dilakukan ke atas wang 1MDB,” katanya.
Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, pemimpin dan ahli UMNO sekarang ini juga mengamalkan kepentingan diri dan menjadikan ‘apa aku dapat’ sebagai tujuan perjuangan.
“Kepimpinan UMNO semakin lama semakin buruk kerana hanya yang bodoh saja yang boleh menyertai UMNO dan mereka ini mengutamakan kepentingan diri, tidak mengutamakan agama, bangsa dan negara. Mereka kerap bertanya ‘apa aku dapat’.
“Kalau ada orang baru nak masuk UMNO, kalau ada kelebihan sikit dari ketua cawangan tak boleh masuk.. orang yang lebih bodoh daripada ketua cawangan boleh masuk dan apabila ketua cawangan itu mati, maka orang yang lebih bodoh daripada ketua cawangan itu akan menggantikannya. Begitulah seterusnya. Inilah yang berlaku kepada UMNO sekarang,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment