PASIR MAS 11 Julai - Usia perkahwinan yang menjangkau 14 tahun sepatutnya menjadikan hubungan kasih sayang antara suami isteri semakin erat.
Namun hanya disebabkan perbezaan fahaman politik, perasaan cinta yang terjalin hilang sekelip mata sehingga si suami sanggup menceraikan insan yang menjadi sebahagian daripada hidupnya.
Itulah nasib yang menimpa Che Hasnah Che Ahmad, 61, seorang guru agama di Kampung Chabang Tiga, Chetok, Pasir Mas, apabila suaminya, Yahaya Ibrahim, 78, menganggapnya sebagai sesat kerana tidak menyokong Pas dan menceraikannya dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Pasir Mas di sini hari ini.
Che Hasnah ketika ditemui di luar mahkamah mendakwa, semenjak berkahwin, suaminya pernah beberapa kali mengajaknya menyertai Pas namun dia tetap dengan pendiriannya menyokong Barisan Nasional (BN).
Tahap kesabaran suaminya 'meletup' apabila dia menghadiri ceramah bekas Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Hasan Ali di Tanah Merah pada 11 Jun lalu.
"Masa mula-mula kahwin, suami saya kata tidak kisahlah sokong parti mana pun sebab itu hak masing-masing namun sejak akhir-akhir ini dia semakin taksub sehingga mengatakan saya sesat dan memaksa saya untuk bersamanya.
"Bagaimanapun saya tetap dengan pendirian saya menyokong BN dan akhirnya dia memfailkan penceraian di mahkamah pada 24 Jun lalu kerana terlalu marah dengan tindakan saya hadir di sebuah ceramah di Tanah Merah sebelum itu.
"Saya sendiri tidak tahu ia ceramah oleh pemimpin itu kerana hanya mengikuti kawan saya dan kami pergi pun sebab tertarik dengan hadiah cabutan bertuah dan saya juga ada minta kebenarannya untuk pergi ke situ," dakwanya yang mengajar al-Quran kepada lebih 100 pelajar di rumahnya setiap hari dengan bayaran elaun RM300 sebulan.
Che Hasnah yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Cawangan Chabang Tiga mendakwa, suaminya sebelum itu tidak pernah mempertikaikan fahaman politiknya namun perubahan jelas berlaku sejak Yahaya kerap pergi ke Kota Bharu untuk mendengar ceramah Pas dan apabila pulang ke rumah pertengkaran akan berlaku.
Dakwa Che Hasnah, dia percaya bekas suaminya itu dihasut oleh rakan-rakannya yang berjaya membawa ahli keluarga masing-masing menyokong Pas sehingga Yahaya rasa tercabar dan mengambil tindakan drastik itu.
"Sebelum memfailkan cerai di mahkamah, dia memberitahu saya bahawa dia tidak mahu lagi tinggal di rumah kami dan akan berpindah ke rumah anak-anaknya dengan isteri pertamanya.
"Bila dia cakap macam itu, saya tidak menolak kerana saya tahu dia sudah tidak sayangkan saya kerana tidak menyokong Pas malah setiap hari dia menuduh saya macam-macam," dakwa Che Hasnah lagi.
Terdahulu, proses penceraian secara sah pasangan tersebut yang tidak dikurniakan cahaya mata dibuat di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Hafiz Daud.
"Saya sahkan penceraian talak satu kali pertama antara kamu dengan tuntutan mutaah sebanyak RM200 dan tuntutan edah sebanyak RM600.
"Pihak lelaki perlu membayar tuntutan ini secara ansuran selama empat bulan bermula akhir Julai ke dalam akaun bank pihak wanita dengan membawa dua orang saksi," perintah Mohd. Hafiz.
Turut hadir di mahkamah adalah beberapa ahli keluarga mereka yang dipercayai anak-anak Yahaya dengan isteri pertamanya yang sudah meninggal dunia
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Politik/20120712/po_07/Isteri-tidak-sokong-Pas-dianggap-sesat-akhirnya-dicerai-talak-satu#ixzz4eZHpdnVJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment