Tidak kurang orang muda yang memeram persepsi negatif terhadap
politik. Lapangan itu dianggap mereka sebagai jijik, cetek dan dipenuhi
pemimpin gila kuasa.
Ia seolah-olah sebuah taman usang yang asing daripada pengalaman waktu kecil yang tidak mengenal warna kulit dan erti perkauman.
Namun di sela-sela rasa kecewa dan amarah yang selalunya dihamburkan
golongan itu di media sosial, muncul satu sosok yang optimis yang ingin
memandang politik dari sudut yang berbeza, malah mungkin berusaha untuk
mengubah persepsi negatif yang terbina sejak sekian lama.
Marina Ibrahim, 33, anak jati Kluang, Johor melihat politik sebagai suatu wadah untuk berbakti kepada masyarakat.
Melalui program tersebut, Marina tidak kekok menyantuni golongan kurang berkemampuan bagi memberikan sedikit keceriaan kepada mereka dalam mempersiapkan diri dan keluarga untuk meraikan hari lebaran.
Perwatakan yang mesra dengan semua lapisan masyarakat itu sedikit
sebanyak terbentuk menerusi kehidupan ibunya di estet yang banyak
memberikan beliau pengajaran tentang erti bertoleransi sesama masyarakat
yang rencam latar budaya dan adat.
“Ibu saya adalah ibu tunggal dan membesar di estet. Di kawasan estet
itu kita boleh lihat kaum Melayu, India dan Cina boleh hidup dalam
kesepakatan,” katanya dalam wawancara bersama Roketkini.
Pengalaman bergaul dengan rakan dari berbagai latar kaum turut
mencorakkan aktiviti yang dilakukan Marina di kawasan setempatnya.
“Saya banyak buat aktiviti yang melibatkan kanak-kanak. Di mana
kanak-kanak Melayu, India dan Cina akan belajar sejarah perayaan
masing-masing. Ada aktiviti belajar membuat tanglong misalnya.
“Saya juga anjurkan kelas tulisan Jawi dan juga melukis sesama bangsa
kerana saya percaya lama-kelamaan kita dapat mengubah persepsi ataupun
kesangsian terhadap antara satu bangsa-bangsa lain melalui aktiviti
sebegini,” katanya.
Melalui aktiviti berkenaan, katanya, ia sedikit sebanyak membina
semangat perpaduan antara kaum, sekaligus merobohkan pemikiran sempit
perkauman yang selama ini mencengkam naratif pembinaan negara.
Beliau turut memanfaatkan platform media sosial bagi membuat membuat
hebahan tentang program yang sedang atau telah dianjurkan. Baginya media
sosial adalah tempat terbaik untuk mendekati orang muda.
“Saya rasa media sosial ini sangat mainkan peranan yang besar untuk
ubah persepsi masyarakat terhadap politik, terhadap aktiviti kebajikan
dan sebagainya,” ujarnya.
Kenapa DAP?
“DAP parti yang demokratik, adil dan juga peduli,” tegasnya ketika ditanya mengapa memilih DAP sebagai wadah perjuangan.
“Kerana DAP parti berbilang bangsa,” tambahnya.
“Saya lihat jurang persefahaman antara kaum semakin melebar. Saya
rasa saya boleh lakukan sesuatu walaupun tidak dalam skala yang besar,
tetapi saya percaya jika sesuatu itu dilakukan secara kecil-kecilan,
lama-kelamaan usaha itu akan tampak berjaya.”
Tidak kurang juga kecaman dan cabaran yang terpaksa dihadapi Marina
selepas bergelar “Melayu dalam DAP”, namun itu semua diketepikan kerana
baginya restu ibu mengatasi segala-galanya.
“Ibu saya sendiri memberikan galakkan untuk saya masuk (DAP) dan
pesan beliau adalah; ‘jika kita rasakan suatu benda kita lakukan adalah
baik, kita jangan hirau apa kata orang lain’.
“Dan saya percaya juga selama saya masuk DAP, kebanyakan kita boleh
lihat apa yang dimomokkan tentang DAP, tidak seperti apa yang
disangka,” ujarnya.
Marina turut menitipkan pesan kepada orang muda yang masih
terperangkap dalam tempurung naratif yang dicipta pihak lawan mengenai
DAP.
“Kepada golongan muda yang rasa takut untuk sertai DAP, kononnya ini
parti komunis ataupun parti Cina, datang kepada saya atau kepada
rakan-rakan saya dalam DAP dan kita akan bantu anda untuk mengenali
DAP.
“Anda boleh lihat sendiri, kerana ada kalanya cerita yang kita dengar
di media sosial ataupun daripada pihak tertentu adalah cerita yang
ditokok-tambah.
“Kita boleh sama-sama melakukan aktiviti kemasyarakatan dan daripada
situ kita boleh nilai sendiri sama ada tohmahan terhadap DAP itu benar
atau tidak,” tegasnya.
Belajar daripada pemimpin senior
Marina akui pernah dilempar akhbar terbitan bulanan DAP oleh penduduk
setempat, namun peristiwa itu tidak mematahkan semangat juangnya.
“Ada antara mereka yang kurang suka, ada yang ludah. Tetapi sebelum
ini saya juga pernah bekerja dengan YB Teo Nie Ching (Ahli Parlimen
Kulai). Saya lihat bagaimana beliau berhadapan dengan situasi tersebut.
Beliau berhadapan dengan tenang,” ujarnya.
Selain Nie Ching, beliau juga banyak menimba ilmu tentang politik dan aktivisme daripada Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi.
Malah, katanya, Shu Qi adalah antara pemimpin DAP terawal yang menawarkan beliau untuk menyertai parti ini.
“Saya didekati YB Wong Shu Qi dan saya ambil masa dalam dua atau tiga
bulan untuk berfikir sama ada platform politik ini adalah satu platform
yang terbaik.
No comments:
Post a Comment