Wednesday, 29 July 2020

Terbukti siapa aibkan maruah Melayu, Mujahid ajak lawan perompak harta rakyat


Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyeru agar masyarakat Melayu bersatu menentang individu yang terlibat dengan rasuah dan merompak harta rakyat.

Dalam catatannya Facebook hari ini, beliau mengimbas perjalanan Pakatan Harapan (PH) sebagai pembangkang yang ketika itu pernah dituduh memfitnah dan berbohong, dalam cubaan mereka mendedahkan isu 1MDB dan SRC.

Beliau berkata, pendedahan mereka sering dijawab dengan bahasa perkauman sehingga dilabel anti Melayu, liberal, tali barut Amerika dan tidak setia pada negara.

Kempen terancang dan dibiayai kerajaan BN pada masa itu juga katanya, telah menuduh pembangkang sebagai khadam DAP yang tunduk pada orang kafir.

“Saya dikatakan khadam DAP dan penganut Islam Liberal! Melayu tertipu dengan skim licik ini supaya orang Melayu Islam asyik sibuk tuduh menuduh sesama mereka.

“Hari ini terbuktilah siapa yang mengkhianati aset negara dan memalukan maruah orang Melayu?

“Bukankah orang Melayu sendiri yang dimalukan dengan rompakan terbesar harta negara abad ini?
Kenapa orang Melayu masih perlu berbalah tentang kesalahan merompak harta negara yang cukup jelas ini?” soalnya.

Justeru katanya, seluruh kerajaan Barisan Nasional (BN) dianggap bersubahat dengan Najib Razak ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri itu, lebih-lebih lagi apabila membayangkan bagaimana jentera kerajaan digunakan untuk menutup isu skandal yang dilakukannua.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, Umno dan Pas giat melaungkan tentang perpaduan Melayu namun bersatu atas nama perompak harta negara.

“Apabila saya memikirkan bagaimana seluruh aparatus kerajaan (BN) digunakan untuk menutup isu ini, saya yakin seluruh kerajaan BN-Umno bersubahat dengan Najib.

“Parti Islam Pas turut memberi ‘nyawa’ penafian kepada Najib sampailah selepas penghakiman bersalah dikeluarkan.

“Alhamdulillah. Disebalik sentimen Melayu dan agama yang digunakan untuk mengalih pandangan rakyat, tidak semua orang Islam dan Melayu terpesong dengan pembohongan itu,” kata Mujahid lagi.

No comments:

Post a Comment