Gobind Singh Deo (PH-Puchong) menggesa kerajaan menjelaskan sekiranya wujud pelanggaran Akta Kontrak berhubung kes ‘melepaskan tanpa dibebaskan’ dari dakwaan pengubahan wang haram, terhadap anak tiri Najib Razak, Riza Abdul Aziz.
Beliau berkata, mengikut seksyen 24, seseorang yang berjanji memulangkan semula nilai harta rompakan dengan syarat dakwaan terhadapnya perlu digugurkan, maka perjanjian tersebut sebenarnya adalah tidak sah dan terbatal di sisi undang-undang.
“(membacakan seksyen 24), Individu A berjanji dengan individu B untuk menggugurkan dakwaan kerana rompakan yang telah dimulakan oleh B.
“B berjanji untuk memulangkan kembali nilai barangan yang dirompak itu. Perjanjian itu adalah batal kerana tujuan tidak sah disisi undang-undang,” katanya ketika ucapan perbahasan dalam sidang Parlimen hari ini.
Peguam tersebut turut mempertikaikan bagaimana satu perjanjian untuk kes sebegitu besar yang telah pun menarik minat seluruh dunia, boleh diselesaikan dengan cara tersebut.
Ini kerana dakwanya, sekiranya satu kesalahan mencuri petai boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga 15 bulan, kes Riza Aziz itu patut dikenakan hukuman lebih berat kerana melibatkan satu jumlah yang cukup besar.
“Adakah ini bermakna, jika dalam representasi yang dibuat bahawa kita berjanji akan kembalikan wang yang dirompak atau kita ambil dengan perbuatan rasuah itu, maka dengan keadaan tersebut, pertuduhan itu akan gugur?” soalnya lagi.
Mei lalu, kerajaan dilapor bakal menerima aset luar negara bernilai RM465.3 juta, hasil persetujuan yang dicapai untuk Riza dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan pengubahan wang haram.
SPRM berkata, ia adalah persetujuan dicapai antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi di mahkamah.
No comments:
Post a Comment