Wednesday, 22 July 2020

Mahathir Anwar yang perlu berkorban, Menjelang Aidiladha



TATKALA nukilan ini sedang dicanai, sepatutnya umat Islam seluruh dunia membilang hari menanti detik hari raya Aidiladha. Perjalanan rohani dalam menunaikan salah satu rukun Islam adalah menunaikan haji paling kurang sekali dalam seumur hidupnya.

Apabila menyebut mengenai ibadah haji kita tidak boleh menyampingkan ibadah korban yang menjadi tuntutan dan klimaks dalam merayakan Aidiladha. Ketika ini, pastinya petugas-petugas masjid dan surau di serata negara mulai sibuk dengan agenda korban dan persiapan yang perlu diperapikan terutamanya dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Segala SOP dalam urusan pelaksanaan ibadah korban sudah diperhalusi dan telah dibentangkan dan sedia untuk dilaksanakan. Matlamat utama tidak lain dalam melaksanakan ibadah korban kita tidak menginginkan umat Islam pula menjadi korban kelak.

Dalam menghayati persoalan ibadah korban dan SOP yang dirancang sedemikian rupa, seluruh umat Islam wajar menginsafi dan menjadikannya sebagai iktibar dalam sejarah hidup kita.

Dalam menghadapi Covid-19 kita mampu menyediakan SOP demi mencapai matlamat iaitu ibadah korban yang berjaya. Kenapa tidak dalam dunia politik negara?
Sudah tiba masanya para pemimpin terutamanya di kalangan PH dan PH PLUS mengambil langkah dan bersedia untuk memenuhi falsafah politik korban.
Politik korban adalah kemampuan seseorang pemimpin untuk mengorbankan kepentingan diri demi untuk rakyat. Konsep politik dari rakyat kepada rakyat perlu menjadi santapan dan ijtihad politik pemimpin. Perjuangan rakyat wajar diangkat dan dihargai.

Persetankan sebentar angka 109 yang menghantui duduk bangun – susun atur di dalam parlimen. Ketepikan juga persoalan kenapa Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan. Dan lupakan dahulu kenapa dan apa kewajaran ‘Langkah Sheraton’ dicipta oleh Azmin dan konco-konconya. Yang paling utama SOP dan matlamat dalam perjuangan ini.
Para pemimpin PH atau PH Plus perlu duduk dalam seangkatan dan merenung kembali serta mengambil iktibar atas apa yang telah berlaku. Ini masanya untuk melangkah ke hadapan. Mengambil iktibar dan semangat Aidiladha, maka konsep korban perlu dihayati dan menjadi sebahagian SOP PH dan PH PLUS.
Penulis percaya semua pemimpin dalam PH dan PH PLUS berjiwa besar. Pemimpin berjiwa besar pastinya tidak akan tunduk dengan keserakahan dan nafsu yang terpamer dalam ‘Langkah Sheraton’ sebelum ini. Pastinya para pemimpin besar dalam angkatan ini berjiwa besar dan sanggup berkorban demi matlamat perjuangan.

SOP utama di sini adalah berkorban dan matlamat utama ketika ini adalah mengembalikan mandat dan kepercayaan rakyat. Pimpinan besar dalam PH dan PH PLUS perlu berkorban. Sama ada Tun Mahathir atau Datuk Seri Anwar Ibrahim, masing-masing perlu berkorban. Ketepikan dahulu segala benang yang basah dan ini masanya untuk memberikan kemenangan kepada rakyat.

Mandat yang diberikan dalam pilihan raya yang lalu wajar dihormati. Dalam mandat itu juga terletak harapan besar rakyat untuk melihat Malaysia yang lebih bersih dan adil. Pemimpin PH dan PH PLUS semua wajar ingat bahawa rakyat memilih anda ketika itu adalah kerana untuk melihat sisi Malaysia yang lain dan rakyat juga berharap besar dengan segala janji dalam manifesto lalu.

Kelangsungan mandat ini perlu diteruskan. Demi rakyat para pemimpin PH dan PH PLUS perlu bergandingan. Perlu senada. Wajar mengenepikan segala bebenang yang basah. Dan seharusnya melihat matlamat utama sebagaimana dalam korban begitu juga dalam perjuangan politik ini iaitu politik rakyat.

Politik rakyat perlu diutamakan. Susah senang rakyat terutamanya dalam menghadapi pandemik Covid-19 ini wajar dijadikan landasan utama. Di kala ketidaktentuan musim covid sama ada akan berakhir atau tidak, para pemimpin perlu berjiwa besar dengan menolak jauh kepentingan peribadi.
Ini bukan masanya untuk menentukan siapa harus menjadi PM atau tidak. Ini bukan masanya untuk berdebat kerajaan Pakatan Nasional adalah kerajaan pintu belakang atau tidak, tetapi ini masanya untuk menegakkan kembali keluhuran politik perjuangan rakyat yang memberikan mandat penuh kepada PH dahulu.

Penulis percaya rakyat masih ingin melihat kembalinya kuasa PH dengan penglibatan Tun Mahathir dan Anwar bersama pimpinan PH yang lain. Rakyat pasti inginkan apa yang mereka beri sewaktu pilihan raya lalu dituai dengan hasil yang menyakinkan. Dan rakyat pasti ingin melihat sebuah Malaysia yang baru dan kekal selamanya demi anak bangsa di kemudian hari.

Oleh yang demikian, pimpinan PH dan PH PLUS perlu kembali ke meja persepakatan. Mereka perlu berkorban.
Jika Tun Mahathir perlu korbankan hasrat untuk menjadi PM buat kali ketiga demi rakyat maka korbankanlah hasrat tersebut. Jika Anwar perlu korbankan impian untuk menjadi PM yang tertangguh sejak sekian lama, maka korbankanlah hasrat tersebut dahulu demi kelangsungan politik rakyat.
Kita tidak ingin melihat rakyat mula muak dan mual dengan kerakusan dan sandiwara politik dengan masing-masing cuba berusaha menegakkan bebenang basah mereka. Kita tidak mahu kelak anak cucu di kemudian hari meludah keji atas potret pimpinan ini kerana akibat kerakusan dan survival politik peribadi segala impian untuk melihat kelangsungan Malaysia baru hilang selamanya.

Semoga akan ada yang mampu berkorban dengan semangat Aidiladha ini. Biar perjuangan para pemimpin ini penuh dengan pengorbanan dan bukannya dikorbankan. Jangan dikorbankan mandat dan politik rakyat.

No comments:

Post a Comment