Usaha Pakatan Harapan (PH) dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah berjaya membuahkan hasil.
Sejumlah besar dana yang diseleweng ketika zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib Razak telah dibawa kembali ke Malaysia.
Namun, usaha tersebut tidak harus terhenti di sini. Sebelum ini, Malaysia telah memperolehi US$620 juta (RM2.6 bilion) dari Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS).
Terbaharu, bank pelaburan Goldman Sachs bersetuju membayar pampasan bernilai US$3.9 billion (RM16.6 bilion). Bayaran ini menunjukkan pendedahan skandal kleptokrasi tersebut selama ini adalah berasas dan bukan tohmahan.
Justeru, jumlah itu harus digunakan secara telus untuk menebus tiga bon 1MDB yang akan tamat tempoh pada 2022 dan 2023. Malaysia harus membayar US$3.5 bilion (RM15 bilion) pada 2022 untuk menebus dua bon, dan US$3 bilion (RM12.8 bilion) pada 2023.
Penebusan bon-bon tersebut sangat mustahak supaya Malaysia tidak lagi terbeban dengan bayaran faedah setiap tahun. Untuk tiga bon itu sahaja, Malaysia membayar faedah sebanyak US$338.66 juta (RM1.44 bilion) setiap tahun.
Ini tidak termasuk bayaran faedah tahunan RM287.5 juta untuk sukuk 1MDB yang tamat tempoh pada 2039. Inilah hasil peninggalan kerajaan Najib Razak untuk rakyat Malaysia.
Memandangkan 1MDB adalah milik penuh kerajaan Malaysia, maka kegagalan 1MDB melunaskan hutangnya akan memberi impak terus kepada negara.
Sehubungan itu, kedudukan kewangan syarikat tersebut harus terus dipantau dan ditadbir dengan telus.
Saya menggesa agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus melaporkan status terkini dana 1MDB yang dipulangkan dan keadaan liabiliti syarikat tersebut seperti yang telah dilaporkan oleh PH sebelum ini dalam Tinjauan Fiskal 2020.
Rakyat berhak mengetahui perkembangan isu ini secara terbuka dan telus.
Siasatan dan pendakwaan berhubung skandal mega 1MDB hendaklah diteruskan dan dilengkapkan terutama terhadap Najib Razak yang didakwa terlibat dalam penyelewengan wang 1MDB ini termasuk penerimaan wang berjumlah US$681 juta (RM2.6 bilion) hasil urusniaga tiga bon haram yang diatur Goldman Sachs.
*FAIZ FADZIL merupakan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional merangkap ADUN Permatang Pasir, Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment