Monday, 20 July 2020

Hannah Yeoh saman Musa Hassan


Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Hannah Yeoh menyaman bekas ketua polis negara Musa Hassan kerana didakwa memfitnah dalam ucapannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 30 Januari.

Peguam kepada ahli parlimen Segambut itu, daripada firma undang-undang Tetuan Sreenevasan, memfailkan writ saman di pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai.
Pada 5 Februari, dilaporkan Musa disiasat polis berhubung ucapan yang diberikan di sebuah forum di UiTM pada 30 Januari.

Musa didakwa berbuat demikian ketika bercakap dalam forum bertajuk "Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?" yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Dalam ucapannya, Musa didakwa antara lain telah mencadangkan DAP telah menerbitkan sebuah buku mengenai peranan orang Melayu di sebalik peristiwa rusuhan 13 Mei..

Menurut salinan pernyataan tuntutan saman yang dilihat Malaysiakini hari ini, Yeoh mendakwa ucapan itu mengandungi kenyataan fitnah yang "sama sekali tidak benar; merendahkan, menyusahkan, palsu, salah dan tanpa asas."

Plaintif juga mendakwa ucapan defendan itu, "telah dirancang terlebih dahulu, dibuat dengan niat jahat, digerakkan oleh niat jahat pihak defendan untuk merosakkan, mencemarkan nama baik, memfitnah, mencederakan dan/ atau memusnahkan reputasi plaintif dalam persepsi orang ramai dan selanjutnyya mendedahkan plaintif kepada kebencian awam, ejekan dan skandal."

Menurut plaintif lagi, ucapan itu "bertujuan untuk mencederakan plaintif secara politik."

Melalui tindakan undang-undang ini, Yeoh menutut "ganti rugi umum, ganti rugi tambahan dan ganti rugi teladan."

Beliau juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah injuksi untuk menghalang Musa, sama ada dirinya sendiri, pegawainya atau ejennya daripada "menyebutkan, menerbitkan, menyebabkan untuk disebutkan dan/ atau menyebabkan untuk diterbitkan," perkataan yang didakwa bersifat memfitnah itu.

Yeoh juga memohon kos dan relief "yang dianggap sesuai oleh mahkamah."

Sementara itu, peguam Yeoh, Lim Wei Jiet mengesahkan pemfailan tuntutan saman fitnah terhadap Musa.

Lim memberitahu Malaysiakini perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes e-semakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok.

E-semakan adalah satu bentuk telesidang dalam talian di mana pihak-pihak terlibat boleh menjalankan pengurusan kes undang-undang tanpa wakil guaman perlu datang ke mahkamah secara fizikal.

Menurut salinan nota kehadiran yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Julai, Musa selaku defendan diwakili oleh firma guaman Tetuan Azam Aziz & Co.

Ketika dihubungi petang ini, seorang peguam daripada firma itu, Syed Mohd Afiq, mengesahkan surat-surat tuntutan plaintif telah diserahkan kepada Musa pada 8 Julai.

No comments:

Post a Comment