Tuesday, 21 July 2020

Golongan muda perlukan lanjutan moratorium


Oleh Edry Faizal Eddy Yusof

(Adun Dusun Tua dan Ahli Majlis Eksekutif DAPSY Kebangsaan)

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan memanjangkan tempoh moratarium pembayaran pinjaman bank selepas September. Ini adalah sangat membimbangkan kerana banyak pihak termasuk persatuan perniagaan dan kesatuan pekerja telah memohon agar tempoh moratarium ini dipanjangkan selama 6 bulan lagi.

Alasan yang diberikan adalah kerana kebanyakan perniagaan dan perusahaan sudah mula beroperasi dan kebanyakan peminjam, baik syarikat atau individu, sudah mampu untuk membayar pinjaman mereka. Mereka yang masih memerlukan bantuan untuk membayar pinjaman mereka telah disarankan untuk berbincang sendiri dengan pihak bank.

Saya ingin menarik perhatian Menteri Kewangan terhadap situasi sebenar keadaan di bawah. Walaupun sudah banyak perniagaan dan perusahaan mula beroperasi, keadaan ekonomi yang lemah mengakibatkan aliran tunai mereka masih belum stabil untuk membolehkan mereka dapat membayar pinjaman bank seperti biasa. Sektor-sektor seperti perkhidmatan, penerbangan, pelancongan dan hospitaliti masih teruk terkesan akibat krisis Covid-19.

Sebagaiman dilaporkan, kadar pengangguran semakin meningkat naik. Ini bukan sahaja menunjukkan perniagaan dan perusahaan tidak kembali pulih seperti sediakala namun terpaksa mengecilkan perniagaan dan mengurangkan kos dengan memberhentikan pekerja.

Golongan muda paling terjejas

Golongan yang mendapat perhatian saya adalah golongan muda yang berkeluarga. Mereka yang baru mula berkeluarga, tinggal di bandar, mempunyai tanggungan kewangan yang tinggi berbanding pendapatan tetapi telah hilang pendapatan dan pekerjaan disebabkan krisis ekonomi Covid-19.

Golongan muda adalah golongan yang paling berdedah kepada pengangguran. Ini terbukti di mana pada bulan April apabila kadar pengangguran kebangsaan meningkat kepada 5.0 peratus daripada 3.9 peratus dalam bulan Mac, kadar untuk golongan muda berumur dari 15 ke 30 tahun 7.8 peratus kepada 9.0 peratus.

Data daripada Employment Insurance System oleh PERKESO juga menyebutkan bahawa sememangnya yang paling terjejas adalah golongan muda, dengan 6 peratus kehilangan pekerjaan adalah dari kalangan pekerja berusia 40 tahun ke bawah. Daripada kumpulan itu, 29 peratus darinya adalah berusia 30 tahun ke bawah.

Apabila moratarium pembayaran pinjaman bank diperkenalkan, perbelanjaan bulanan isi rumah berkurangan sehingga 50 peratus. Walaupun ada golongan muda yang tidak terkesan daripada segi pekerjaan dan pendapatan dalam tempoh PKP, mereka turut mengambil moratarium ini supaya sebarang penjimatan perbelanjaan dapat disimpan untuk tabung kecemasan seandainya keadaan ekonomi semakin buruk atau sekiranya mereka hilang sumber pendapatan pada masa hadapan.

Kepada golongan muda yang hilang pekerjaan dan hilang pendapatan, moratorium ini tentulah sangat membantu mereka. Dengan keadaan ekonomi yang masih mencabar dan peningkatan jumlah mereka yang menganggur dan hilang pekerjaan, 800,000 orang yang menganggur, yang majoritinya sudah tentulah daripada golongan muda pastinya tidak dapat kembali bekerja seawal September ini.

Jangan mangsakan golongan muda

Saya menyarankan agar kerajaan jika tidak dapat memanjangkan moratarium ini secara keseluruhan seperti sebelum ini, dapat menjadi pengurus dan orang tengah untuk satu program moratarium bersama pihak bank khususnya demi manfaat golongan yang masih memerlukan seperti golongan muda berkeluarga yang hilang pendapatan dan pekerjaan.

Membiarkan golongan yang memerlukan pemanjangan moratarium selepas September untuk berurusan sendiri dengan pihak bank tentulah akan melibatkan lebih banyak syarat dan sekatan yang akan dikenakan oleh pihak bank. Sudah tentu kesan terus adalah berlakunya kejadian seperti kereta dan rumah mereka ditarik dan disita pihak bank. Apa yang lebih merisaukan adalah kesan sosial terhadap golongan ini dan keluarga mereka apabila berlakunya kesempitan kewangan dan kehidupan. — Roketkini.com

No comments:

Post a Comment