Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh menggesa Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin untuk mengambil langkah bagi melindungi pihak polis daripada dijangkiti Covid-19.
Dalam satu kenyataan hari ini, dia membangkitkan kebimbangan terhadap laporan berita bahawa seramai 147 anggota polis disahkan positif Covid-19 setakat 13 Okt.
“Dengan peningkatan kes di kalangan anggota polis dan komuniti di sekeliling mereka, sudah tiba masanya menteri dalam negeri untuk lebih serius menambah baik kebajikan anggota polis. Ini termasuk memastikan bahawa tempat kerja dan kuarters perumahan mereka tidak sesak.
“Bolehkah anggota polis kita mengamalkan SOP (prosedur operasi standard) Covid-19 dengan mempraktikkan jarak sosial di tempat kerja mereka sekarang? Banyak balai polis dan kuarters perumahan mereka didapati kurang memuaskan.
“Saya mendesak menteri dalam negeri supaya memastikan alat pelindung diri disediakan secukupnya termasuk alat pengimbas suhu, pelitup muka dan pembersih tangan untuk anggota polis kita di tempat kerja mereka dan ketika mereka bertugas dimana-mana pusat bergerak,” katanya.
"Melindungi barisan hadapan kita adalah komponen terpenting dalam memerangi Covid-19 ini. Oleh itu, kerajaan harus meningkatkan usaha melindungi barisan hadapan kita yang setiap hari membahayakan nyawa mereka bagi memastikan kita semua selamat,” kata Yeoh lagi.
Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Ramli Din dilaporkan berkata seramai 147 anggota polis, 106 ahli keluarga mereka dan 10 kakitangan awam polis dijangkiti Covid-19 setakat Selasa lalu.
“Positif paling tinggi adalah kontinjen Kuala Lumpur dengan 36 kes, iaitu lima pegawai dan 31 anggota,” kata Ramli seperti dipetik The Malaysian Insight.
Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras mencatatkan 19 kes positif Covid-19, jumlah kes tertinggi di Kuala Lumpur.
sumber: https://www.malaysiakini.com/news/546770
No comments:
Post a Comment