Thursday 15 October 2020

ZAHID HAMIDI DAN 30 AHLI PARLIMEN SOKONG ANWAR JADI PM 9?



Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad mengesahkan seramai 30 Ahli Parlimen Umno menyokong Anwar Ibrahim.

Beliau mendedahkan, perkara itu diketahui dalam satu surat ditandangani pemimpin Amanah, DAP, PKR dan Umno yang diserahkan Anwar kepada Yang di-Pertuan Agong.

Surat itu bagi membuktikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah hilang majoriti di Dewan Rakyat, kata Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam dalam satu saluran Youtube, Jom Channel.

“Apa difahamkan, Anwar Ibrahim membawa surat daripada ketua-ketua parti yang nyatakan ahli Parlimen partinya menyokong Anwar Ibrahim.

“Bagi Amanah, surat ditandatangani oleh Mohamad Sabu (presiden) dengan 11 ahli Parlimen, DAP ditandatangani oleh Lim Guan Eng dengan 42 ahli Parlimen, surat dari PKR mungkin Anwar Ibrahim sendiri yang tandatangan, 39 ahli Parlimen sokong.

“Saya difahamkan, daripada Ahmad Zahid Hamidi (presiden Umno) ada 30 ahli Parlimen, jika tidak silap saya menyokong Anwar Ibrahim. Kemuka itu sahaja (kepada Yang di Pertuan Agong),” katanya dipetik.

Tambahnya, beberapa ahli Parlimen Bebas turut menyokong Anwar melalui surat akuan bersumpah (SD) tetapi beliau tidak menamakan wakil rakyat terbabit.

“Dalam sidang media, Anwar Ibrahim tidak sebut surat akuan (SD) daripada semua ahli parlimen, tetapi ada beberapa ahli Parlimen Bebas yang berikan SD.

“Ahli Parlimen lain melalui presiden parti, termasuk Umno iaitu Zahid. Agak pelik kenapa melalui Zahid.

“Mungkin Zahid juga sokong dan memimpin ahli Parlimen Umno menyokong Anwar. Itu (saya) tidak tahu,” jelasnya.

Jelas Khalid, dengan jumlah itu Muhyiddin sudahpun hilang kuasa sebagai perdana menteri dan sepatutnya meletak jawatan secara prinsipnya tetapi tidak berbuat demikian.

Malah Muhyiddin masih lagi tampil ke khalayak umum sebagai perdana menteri walaupun kedudukannya dipertikai, kata bekas menteri wilayah persekutuan itu.

“Apabila Muhyiddin tidak letak jawatan, isu ini terus menjadi pertikaian dan timbul pelbagai spekulasi. Apabila Anwar menghadap Agong, beliau masih buat ucapan perutusan sedangkan kita tahu hakikatnya persoalan majoriti dipertikaikan.

“Zahid sendiri sudah sahkan ada ahli Parlimen menyokong Anwar Ibrahim, patutnya (Muhyiddin) sudah tahu (hilang majoriti),” kata Khalid.

Bagaimanapun beliau mengakui proses untuk Anwar mengambil alih pentadbiran kerajaan dari Muhyiddin itu belum berakhir dan perlu ditentusahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Memang ada tanggapan Anwar membawa senarai nama dan SD yang menyokong beliau tetapi hakikatnya kalau bawa SD pun, Agong akan tetap buat perincian, siasatan sama ada SD itu betul atau tidak.

“Memang belum berakhir sekadar Anwar menghadap Agong,” jelas beliau lagi.

Tambahnya, tindakan Anwar untuk tidak mendedahkan senarai nama juga tepat kerana bimbang sekiranya ahli Parlimen terbabit menukar fikiran atau ditekan partinya.

Anwar mengadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Selasa bagi mempersembahkan senarai ahli Parlimen yang didakwa mendukungnya.

Istana Negara kemudian menyatakan Anwar hanya mengemukakan jumlah penyokong tetapi tidak menyerahkan senarai nama itu kepada baginda.

Sumber: http://suarapakatandaily.com/archives/30151 

No comments:

Post a Comment