Tuesday, 13 October 2020

Kerajaan Sabah sibuk lantik wakil PAS, tapi gagal lantik Menteri Kesihatan



Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sabah, Datuk Christina Liew mempersoalkan keseriusan kerajaan negeri dalam menangani COVID-19, selepas tiada pelantikan menteri kesihatan dalam kabinet kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).


Beliau hairan mengapa kerajaan negeri baharu melenyapkan portfolio kementerian kesihatan yang diwujudkan oleh Warisan Plus sebelum ini, walaupun kes COVID-19 meningkat dengan mendadak selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).


“Secara universal, kesihatan adalah bidang utama yang perlu diberi perhatian. Sekarang ini, kita dilanda satu lagi tamparan hebat ketika Sabah melalui gelombang ketiga wabak COVID-19, dengan jumlah kes tertinggi di negara ini.


"Justeru, kami memerlukan Menteri Kesihatan dengan segera untuk mengekang penyebaran jangkitan, dan mengembalikan Sabah ke situasi yang terkawal," katanya seperti dilaporkan Borneo Daily Bulletin.


Pada masa sama, Christina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api menyifatkan pelantikan wakil PAS sebagai ADUN yang dilantik tetapi tidak melantik menteri kesihatan menunjukkan kerajaan negeri gagal meletakkan keutamaan yang sewajarnya terhadap kesihatan rakyat.


"Sebaliknya, seorang ahli PAS dilantik untuk menjadi anggota DUN.


"Keutamaan kerajaan nampaknya berada di pihak yang salah," katanya.


Christina juga mempersoalkan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili sama ada partinya benar-benar boleh memainkan peranan semak dan imbang seperti yang dijanjikannya.


"Dr Maximus sendiri tidak dapat menghentikan pelantikan wakil PAS, walaupun terdapat banyak bantahan yang ditimbulkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) serta wakil rakyat negeri," katanya.


sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/kerajaan-sabah-sibuk-lantik-wakil-pas-tapi-gagal-lantik-menteri-kesihatan?fbclid=IwAR22s8ZXZc061YpJXcGq92Y-mrlmLwUxhZcecQEwANNLdpEry7c2vadVIMw

No comments:

Post a Comment