Persoalan berbangkit yang tular di media arus perdana sejak semalam mengenai tiadanya senarai nama atau Akuan Berkanun (SD) yang dipersembahkan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Yang di-Pertuan Agong bukanlah syarat khusus dalam Perlembagaan Persekutuan untuk melantik Perdana Menteri (PM).
Menurut pakar undang-undang Perlembagaan Dr Aziz Bari, Perlembagaan Persekutuan hanya menyebut calon PM hendaklah ‘mendapat kepercayaan majoriti’ ahli-ahli Dewan Rakyat.
Katanya, tidak timbul isu Anwar tidak mengikut lunas undang-undang atau prosidur standard perlantikan PM sebagaimana dilaporkan media.
“Kalau disebutkan bahawa prosidur dan lunas-kunas Perlembagaan itu tidak dipatuhi, saya pun tidak jelas
“Dari apa yang kita baca dalam Perlembagaan, khususnya Perkara 43, yang disebut ialah ‘kepercayaan majoriti’ sahaja. Tidak disebut soal bilangan dan soal senarai nama. Inilah yang saya fikir menimbulkan banyak persoalan.
“Sebab dalam kenyataan semalam disebut supaya Datuk Seri Anwar mengikuti lunas-lunas Perlembagaan. Jadi bila saya buka (buku Perlembagaan), tidak ada di sini yang mengatakan lunas-lunas. Yang ada hanyalah kepercayaan majoriti. Itu sahaja,” kata Dr Aziz dalam sesi siaran langsung Facebook, malam tadi.
Mantan Profesor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu juga menolak keperluan calon PM menyatakan dengan jelas bilangan Ahli Parlimen yang menyokong beliau, sebelum boleh dianggap layak dilantik sebagai PM.
“Kalau nak melantik (PM maka) berdasarkan kepercayaan majoriti. PM (semasa) yang wajib meletak jawatan pun berdasarkan kepercayaan majoriti. Tidak ada disebut berapa bilangannya (Ahli Parlimen) kerana kita tahu (jumlah Ahli Parlimen) berubah-ubah sejak merdeka hingga sekarang.
“Mungkin 50, mungkin 150, bergantung kepada jumlah keseluruhan Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.
“Soal kepercayaan majoriti itu merupakan perkara yang saya fikir bergantung kepada keadaan, dan tidak menjadi isu sebenarnya. Dikatakan Datuk Seri Anwar gagal mengemukakan (senarai SD). Memang tak ada keperluan (senarai) dan bukan SOP yang diperlukan pun.
“Saya pun tidak tahu syarat yang sama dikemukakan kepada Tan Sri Muhyiddin sewaktu beliau jadi PM kira-kira 6 bulan lepas. Adakah Muhyiddin serahkan nama kepada Agong dan berapa bilangannya kita pun tidak tahu dan tak dimaklumkan sampai sekarang,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Dr Aziz tidak menolak sekiranya pihak istana memerlukan senarai nama sebagai proses memastikan seseorang calon PM benar-benar mempunyai cukup sokongan.
Cuma, menurut Ketua Pembangkang DUN Perak itu, perkara yang tiada dalam peruntukan Perlembagaan seharusnya dimaklumkan terlebih dahulu kepada Anwar untuk dipersembahkan ketika mengadap Agong.
“Benda ini sekurang-kurangnya dimaklum lebih awal. Pegawai istana hubungi Anwar minta bawa senarai yang kamu kata sokong kamu. Kalau nak lebih tegas, bawa SD dan sebagainya.
“Sekarang sudah macam-macam cara kita nak menentukan apa yang dipanggil kepercayaan majoriti. Kalau di Perak 2009, Sultan Azlan Shah panggil seorang demi seorang. Dengar dari mulut sendiri, betulkah mereka sokong calon MB pada waktu itu.
“Jadi ini gaya baru. Kalau kita imbas apa yang diamalkan sejak merdeka, tak ada benda ini,” katanya lagi.
Semalam, laporan media membayangkan seolah-olah mustahil PM dilantik tanpa SD dipersembahkan terlebih dahulu dan usaha Anwar mengadap Agong adalah langkah yang tidak mengikut Perlembagaan kerana tidak menyertakan jumlah Ahli Parlimen tertentu tanpa menyebut peruntukan khusus dalam Perlembagaan Persekutuan yang mewajibkan syarat sedemikian.
Sumber: http://suarapakatandaily.com/archives/30137
No comments:
Post a Comment