Berikutan penjelasan oleh Ahli Parlimen Amanah Shah Alam, Khalid Samad bahawa dia tidak pernah bercakap bagi pihak DAP berkenaan dakwaan kerjasama DAP dengan UMNO, saya ingin menegaskan bahawa tidak ada pihak luar DAP yang berhak untuk berbuat sedemikian. Perkara ini telah dijawab dan pendirian DAP telah dinyatakan dengan jelas, yang terakhir adalah kenyataan saya kepada akhbar di Kota Kinabalu.
Dasar dan pendirian politik parti hanya dapat dinyatakan melalui Pengerusi Nasional, Timbalan Pengerusi dan Setiausaha Agung. Khususnya, kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agung adalah mewakili parti kecuali dinyatakan dengan jelas ianya pendapat peribadi semata-mata.
Saya telah diminta oleh media untuk memberi komen tentang pendirian DAP mengenai perkembangan politik semasa berikutan perpecahan Perikatan Nasional dan parti-parti komponen kerana tidak berpuas hati dengan kelemahan Perdana Menteri dalam menangani krisis kesihatan Covid-19. Namun, tidak ada keperluan untuk menyatakan atau mengulangi pendirian parti ketika orang awam mendambakan kerajaan yang bertanggungjawab kepada kepentingan negara dan rakyat, bukannya hanya untuk survival individu dan politik mereka sendiri.
Ini sangat penting dalam memerangi gelombang ketiga jangkitan Covid-19 yang mencapai tahap tertinggi sebanyak 871 kes. Daripada memfokuskan pada survival politik dengan menyogok sokongan ahli parlimen dengan jawatan GLC, termasuklah jawatan besar sebagai Pengerusi Petronas, dan bahkan mengumpan prospek jawatan Menteri melalui rombakan Kabinet, masa dan usaha harus digunakan oleh Perdana Menteri untuk membetulkan kegagalan kerajaannya dalam krisis Covid-19.
Perdana Menteri harus menyatakan bahawa tidak ada rombakan Kabinet, dan menghentikan penawaran kedudukan dan jawatan politik secara tidak bermaruah dan tidak jujur ini. Marilah kita fokus untuk menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, dan bukannya menggunakan retorik perkauman dan agama yang memecahbelahkan, untuk menyokong wira-wira barisan hadapan kita memenangi pertempuran melawan Covid-19. — Roketkini.com
Sumber: https://www.roketkini.com/2020/10/20/muhyiddin-patut-tumpu-urus-krisis-covid-19-bukan-survival-politik/?fbclid=IwAR1ubL6pOsEastFtd6Q5KIEZXpf8y2PU0xhXPbHlN5sxhVt_tMas1Dz2D-Y
No comments:
Post a Comment