Monday, 12 October 2020

SETIAUSAHA AGUNG PAS BIMBANG ANWAR MENGHADAP AGONG?


Setiausaha Agong Pas Takiyuddin Hassan menyifatkan Anwar Ibrahim yang kini muncul dengan ageda perulangan (isu lapok) untuk menghadap Agong bagi memaklumkan apa yang sedang berlaku dalam kerajaan PN dan juga kedudukan Muhyiddin Yassin apabila beliau mendapat sokongan cukup dakwaannya, menyifatkan Anwar sebagai desprados.

Secara harpiahnya pengertian “desprados” adalah terdesak dan tertekan sehingga sanggup melakukan kerja bukan-bukan dan ganjil.

Takiyuddin juga menganggap apa dibangkitkan oleh Anwar itu isu sama dan dibangkitkan oleh orang yang cuba menangguk di air keruh untuk kepentingan diri sendiri. Memanglah kalau hendak menangguk mesti di air keruh baru mengena ikan begitu menurut rukun politik.

Dalam satu kenyataan ahli Parlimen Kota Bharu yang asalnya di Kedah itu, yakin Yang diPertuan Agong tidak akan layan tindakan Anwar itu. Apakah Takiyuddin tidak percaya bahawa Agong telah menetapkan 13 Oktober sebagai tarikh meminta Anwar menghadap? Apakah kenyataan akhbar Anwar itu tipu?

Takiyuddin berhak memperkata dan menghinakan Anwar dengan apa sahaja demi memastikan kerajaan PN dan Muhyiddin utuh. Beliau sewajarnya bertindak demikian kerana kalau PN tumbang bermakna beliau juga akan tumbang sama. Adat dedalu menumpang pokok persinggahan, pokok tumbang, tumbanglah dedalu. Adat menumbuk lesong pecah kempunanlah alu.

Mengenai desperados itu, Takiyuddin jangan terlalu jauhkan wajahnya daripada cermin sebaliknya cuba tilik diri sebaik mungkin. Yang resah gelisah, bimbang dan berdebar dengan ulah Anwar itu siapa? Anwar atau beliau? Kalau apa dilakukan Anwar itu retorik, perlu apa takut-takut dan bimbang. Kalau apa diputar Anwar itu piring lama, kenapa mahu curi-curi untuk dengarnya.

Sadis lagi apabila Takiyuddin cuba mempengaruhi kerajaan agar bertindak ke atas Anwar yang diterjemahkan sebagai cuba menggugat kententeraman negara, merosakkan ekonomi sehingga dianjurkan agar mengenakan tindakan undang-undang terhadap Anwar?

Sebagai menteri bertanggungjawab dalam bidang perundangan, dianjurkan Takiyuddin lebih mendalami dan membuat tafsiran undang-undang mengikut prinsipnya bukan mengikut kemahuan amarah. Takiyuddin harus membaca dan memahami semua kanun yang ada.

Sumber: Redzuan RF8 Media ( http://suarapakatandaily.com/archives/30106 )

No comments:

Post a Comment