Kenyataan Media oleh Ahli Parlimen DAP untuk Iskandar Puteri Lim Kit Siang di Gelang Patah pada hari Rabu, 28 Oktober 2020:
Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh Parlimen pada persidangan 2 November ini adalah untuk menubuhkan Jawatankuasa Parlimen bipartisan pada Covid-19 untuk memberi contoh pemikiran dan pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan wabak Covid-19
Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh Parlimen pada persidangan 2 November ini adalah untuk menubuhkan Jawatankuasa Parlimen bipartisan pada Covid-19 untuk memberi contoh pemikiran dan pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan wabak Covid-19.
Parlimen di negara-negara lain telahpun menubuhkan jawatankuasa parlimen mengenai Covid-19 dan membentangkan laporan dan cadangan mengenai bagaimana perang melawan pandemik global Covid-19 ini dapat menjadi lebih efektif dan memberikan perhatian terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh komuniti yang memerlukan dalam berhadapan dengan wabak ini.
Namun di Malaysia, bukan sahaja tidak ada sebarang tindakan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Covid-19, semua jawatankuasa parlimen lain telah terhenti fungsinya sejak plot Langkah Sheraton yang menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan pada bulan Februari dan membawa masuk kerajaan Perikatan Nasional.
Terdapat sepuluh Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai: Pertimbangan Rang Undang-Undang, Belanjawan, Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri, Kesaksamaan Gender dan Pembangunan Keluarga, Hubungan Negeri dan Persekutuan, Pelantikan Utama Perkhidmatan Awam, Pilihan Raya, Hak Asasi Manusia dan Perkara Perlembagaan , Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan, dan Sains, Inovasi dan Alam Sekitar.
Namun, semua jawatankuasa ini telah menjadi “gajah putih” memandangkan mereka berada di bawah perintah berkurung dan tidak berfungsi sejak penubuhan kerajaan pintu belakang Muhyiddin Yassin.
Bahkan, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara juga telah menjadi “gajah putih”, satu perkara yang cukup memalukan dalam sejarah Parlimen dunia.
Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa Malaysia pada masa kini mempunyai pemerintahan yang paling tidak mesra Parlimen dalam sejarah Malaysia.
Dalam keadaan seperti itu, bagaimanakah Parlimen hendak menjunjung dan bertindak ke atas nasihat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja-raja Melayu pada hari Ahad yang diberikan ketika menolak cadangan Kabinet untuk mengisytiharan keadaan darurat di Malaysia untuk menetapkan contoh dalam menerajui pemikiran dan pendekatan menglibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan wabak Covid-19?
Apa yang jelas adalah, dengan mencadangkan kepada Yang di Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat, Kabinet Muhyiddin berhasrat untuk menggunakan wabak Covid-19 ini untuk menggantung Parlimen dan bukannya kerana keadaan benar-benar darurat.
Adakah Kabinet Muyhyiddin kini bersedia untuk menerima dan bertindak ke atas nasihat Yang di Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu dan melancarkan perang yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” terhadap wabak Covid-19, bermula daripada hari pertama persidangan Parlimen pada 2 November?
Di bawah Peraturan Mesyuarat Parlimen, usul untuk menubuhkan Jawatankuasa Parlimen bipartisan mengenai Covid-19 perlu dibentangkan oleh kerajaan untuk ia menjadi perkara pertama urusan Parlimen pada 2 November.
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Covid-19 ini harus diberikan kuasa untuk mengadakan sesi pendengaran awam bagi membolehkan orang ramai untuk menyampaikan maklumat dan menjawab persoalan yang berkenaan, yang buat pada masa ini tidak dibenarkan di bawah Peraturan Mesyuarat sedia ada walaupun perkara ini satu perkara yang biasa berlaku di negara Komanwel yang lain.
Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal parlimen, Takiyuddin Hassan mempunyai waktu yang cukup untuk berunding dengan semua pemimpin parti untuk memuktamadkan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Covid-19 untuk mengemukakan usul pada hari pertama mesyuarat Belanjawan persidangan Parlimen yang bakal bermula pada 2 November.
Sumber: https://www.roketkini.com/2020/10/28/pendekatan-keseluruhan-kerajaan-masyarakat-dalam-perang-lawan-covid-19/
No comments:
Post a Comment