Tuesday 20 October 2020

Sumbang RM94.7 billion kepada KDNK, Pulau Pinang tunjuk prestasi cemerlang




GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menunjukkan prestasi cemerlang apabila berupaya menyumbang sebanyak RM94.7 bilion atau 6.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun 2019.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata pencapaian tersebut meletakkan Pulau Pinang sebagai negeri keempat tertinggi yang menyumbang kepada KDNK negara.

“Mengambil kira pencapaian ini, adalah wajar bagi Kerajaan Persekutuan untuk menilai semula pemberian peruntukan tahunan agar lebih setimpal dengan sumbangan yang diberikan oleh Negeri Pulau Pinang.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri ingin memohon sekurang-kurangnya RM1 bilion dapat disalurkan setiap tahun kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan atas prestasi cemerlang ini.

“Pemberian ini semestinya akan membantu Kerajaan Negeri dalam mengurangkan defisit belanjawan negeri,” katanya pada sesi penggulungan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang sebentar tadi.

Tambah Kon Yeow, sehingga September 2020, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM241.56 juta.

“Saban tahun, Kerajaan Negeri menerima beberapa pemberian daripada Kerajaan Persekutuan di bawah Pemberian Mengikut Bilangan Kepala, Pemberian Pelancongan, Pemberian Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (MARRIS) serta lain-lain.

“Kerajaan Negeri menghargai dan berterima kasih atas pemberian ini, namun ia tidak setimpal jika dibandingkan dengan sumbangan Negeri Pulau Pinang kepada nilai KDNK negara (94.7 bilion),” ujarnya.

Tambah Kon Yeow, Kerajaan Negeri juga menerima peruntukan berjumlah RM15,197,400 daripada Kerajaan Persekutuan bagi menangani pandamik COVID-19 di negeri ini.

“Daripada jumlah ini, RM10 juta digunakan untuk membiayai bantuan kepada penjaja dan peniaga kecil serta bantuan pembekalan seperti pelitup muka dan pensanitasi tangan kepada rakyat terjejas.

“Sejumlah RM5 juta digunakan untuk pelaksanaan projek berskala kecil di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 manakala RM197,400 lagi bagi membiayai bayaran bantuan kepada penarik beca di negeri ini,” ulasnya.

sumber: https://www.buletinmutiara.com/pulau-pinang-sumbang-rm94-7-bilion-daripada-kdnk-negara-pada-2019/ 

No comments:

Post a Comment