Friday, 30 October 2020

Pembangkang mahu turut bersama dalam usaha menangani Covid-19 di Sabah


Anggota Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin menggesa Ketua Menteri Sabah Hajiji Mohd Nor untuk menyertakan pembangkang dalam usaha mendepani kesan wabak Covid-19.

Chan yang merupakan setiausaha DAP Sabah mencadangkan anggota pembangkang dimasukkan dalam Majlis Ekonomi Sabah yang baru ditubuhkan.

Penubuhan majlis itu diumum Hajiji semalam untuk merangka pemulihan ekonomi negeri itu.

Ahli majlis itu belum diumumkan tetapi difahamkan ia akan dibarisi tokoh pelbagai industri, ahli perniagaan, ahli akademik dan NGO.

"Saya menggesa Hajiji untuk lebih inklusif dan berfikiran dwipartisan dalam melantik ahli majlis," katanya.

Katanya, kerajaan perlu berfikiran "seluruh kerajaan" dan "seluruh masyarakat" dengan tidak meminggirkan anggota DUN pembangkang untuk turut menyumbang.

Chan mendakwa kerajaan negeri tidak melayan cadangan oleh wakil rakyat pembangkang serta tidak melayan tawaran mereka untuk memberi bantuan.

"Amat sedih apabila kerajaan mengutamakan politik dan tidak memberi ruang untuk pembangkang melakukan sesuatu yang dapat meningkatkan populariti (pembangkang) di kalangan rakyat," katanya lagi.

Mengulas isu Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan, Chan berkata dia tiada masalah untuk menyokongnya.

"Bagaimanapun, isunya adakah Muhyiddin akan terus bersikap dingin? Apakah dia akan menerima kami sebagai wakil penduduk di kawasan masing-masing?

"Adakah dia sanggup meminda Akta Covid-19 untuk memasukkan cadangan pembangkang?

"Adakah syarat DAP seperti yang dinyatakan Setiausaha Organisasi Anthony Loke begitu tak boleh diterima sehingga tidak ditimbang langsung olehnya?" soalnya lagi.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/548616


No comments:

Post a Comment