Tuesday, 21 March 2017

10 PERKARA UNTUK SELAMATKAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Selepas 60 tahun, Malaysia masih lagi terhumban ke dalam kancah politik kotor yang memainkan isu kaum dan agama, sedangkan perpaduan dan toleransi telah menjadi aspirasi negara sejak awal kemerdekaan lagi.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata semua pihak harus bekerjasama bagi menjalankan operasi ‘Malaysia Reset’, di mana sebarang dasar kerajaan yang baik dikekalkan, manakala semua dasar yang merugikan negara dihentikan atau diperbetulkan ke arah yang lebih baik.
Terdapat 10 butang ‘reset’ yang harus ditekan bagi menyelamatkan negara ini, iaitu:
  1. Pakatan parti politik yang membentuk kerajaan haruslah berdasarkan persetujuan dan keputusan bersama, bukannya sebuah gabungan yang berdasarkan hubungan ‘tuan-hamba’.
Menurut Kit Siang, pakatan antara Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock dan Tun V.T Sambanthan suatu ketika dulu amat mementingkan persetujuan bersama dalam segenap hal.

“Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin tertinggi Barisan Nasional pada awal 1970-an, iaitu Tun Razak, Tan Siew Sin, Sambanthan dan Dr. Lim Chong Eu.

“Tapi, Barisan Nasional pada hari ini amat berbeza. Ia telah berubah menjadi sebuah gabungan yang dikawal hegemoni UMNO dalam setiap keputusan dasar,” ujarnya.

2. Malaysia harus menjadi negara demokratik yang sebenar, di mana pengundi boleh secara aman dan demokratik menukar kerajaan Persekutuan melalui peti undi tanpa perlu takut kepada sebarang ancaman dan ugutan.

“Pengundi tidak boleh diugut dengan kekacauan, pergolakan atau sebarang cara kuku besi untuk menggagalkan usaha demokratik rakyat dalam pilihan raya, seperti di Malaysia hari ini,” kata Kit Siang.

3. Parlimen mesti dipulihkan menjadi badan perundangan tertinggi negara, selaras dengan doktrin pengasingan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman.

Pada hari ini, kata Kit Siang, parlimen dikuasai eksekutif, dengan beberapa isu nasional dihalang daripada dibahas, seperti skandal 1MDB.

4. Pemulihan kebebasan dan profesionalisme badan kehakiman, seperti di negara-negara maju lain seperti Korea Selatan.

Menurut Kit Siang, lapan hakim di Mahkamah Persekutuan Korea Selatan telah mendakwa presidennya atas kesalahan rasuah dan kronisme.

“Adakah perkara sebegitu boleh dijalankan di Malaysia hari ini? Itu saja sudah menunjukkan tahap kebebasan badan kehakiman kita,” ujarnya.

5. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bebas, tidak berat sebelah dan efisien.

Kit Siang menjelaskan, tahap kecekapan SPR yang ada pada hari ini mesti dipersoal, memandangkan masih ada 4.4 juta individu yang layak mengundi masih belum mendaftar.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk parti pembangkang dan NGO seperti Bersih turut mendakwa SPR bersikap berat sebelah dalam proses pilihan raya, termasuk persempadanan semula yang tidak adil dan enggan menjalankan sistem pendaftaran secara automatik.

6. Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung skandal antarabangsa, 1MDB yang menyebabkan reputasi Malaysia terjejas teruk di seluruh dunia.

7. Memerangi habis-habisan kronisme dan penyalahgunaan kuasa.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu, negara jiran Indonesia juga sudah mula menentang penyalahgunaan kuasa dengan memastikan semua pegawai awam memberi laporan tentang sebarang hadiah yang diterima.
Ia termasuklah hadiah dari delegasi Arab Saudi bernilai berjuta ringgit kepada pegawai awam Indonesia semasa lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman ke Jakarta baru-baru ini.
“Mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak melakukan perkara sama kepada semua pegawai Malaysia yang mendapat hadiah dari delegasi Arab Saudi?” soalnya.

8. Ke arah negara di mana potensi, bakat dan kepakaran rakyat dapat digunakan sepenuhnya agar negara dapat membangun dalam segenap aspek.

Kit Siang sekali lagi membandingkan situasi Malaysia pada hari ini dengan Korea Selatan.
Ujarnya, 60 tahun lalu, Korea Selatan jauh ketinggalan berbanding Malaysia dari segi politik dan ekonomi, namun hari ini negara itu telah berkembang pesat.

“Malah, hak asasi dan demokrasi di negara itu telah mencapai tahap tinggi apabila presidennya dapat diturunkan kerana penyalahgunaan kuasa,” katanya.

9. Memenuhi aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak melalui pemberian hak sama rata dengan Semenanjung, selaras Perjanjian Malaysia 1963.

10. Memulihkan kembali perpecahan antara rakyat pelbagai kaum dan agama.

Menurut Kit Siang, Malaysia tidak pernah mengalami perpecahan seteruk hari ini sejak merdeka.
Malah, katanya, pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar mempunyai visi jauh ke hadapan apabila mahu membuka keahlian UMNO kepada kaum lain bagi menamatkan politik berdasarkan kaum.
“Operasi ‘Malaysia Reset’ ini perlu bagi menghentikan sebarang perpecahan atas dasar kaum dan agama, tetapi menyemai perpaduan atas satu nama – Malaysia!” tegasnya. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment