Tuesday 7 March 2017

PENJUALAN TANAH MILIK DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR (DBKL) - DBKL PERLU JELASKAN

Yang Berhormat Teresa Kok Ahli Dewan Rakyat Seputeh pada 7 Mac 2017 telah menyoal Menteri Wilayah Persekutuan di Dewan Rakyat tentang prosedur penjualan tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kenapakah tender terbuka tidak dilaksanakan. Dalam jawapannya, Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa "semua permohonan penjualan tanah akan dipertimbangkan di peringkat Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh pengurusan tertinggi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Jawatankuasa akan meneliti, membuat analisa dan memperakukan syarikat yang boleh ditawarkan untuk membeli tanah DBKL. Jawatankuasa akan memastikan setiap penjualan akan mendapatkan nilai pulangan yang terbaik untuk DBKL. Selaras dengan keperluan Seksyen 101 (r) Akta Kerajaan Tempatan 1976, perakuan Jawatankuasa akan dikemukakan kepada YB Menteri Wilayah Persekutuan untuk dimuktamadkan."

Jawapan yang diberikan oleh Menteri terbabit menimbulkan beberapa persoalan yang perlu dijawab dan diperjelaskan oleh pihak Datuk Bandar Wilayah Persekutuan, DBKL dan juga Kementerian Wilayah Persekutuan.

Persoalan pertama ialah berkaitan Jawatankuasa yang bertindak meneliti, membuat analisa dan memperakukan syarikat yang boleh ditawarkan untuk membeli tanah. Jawapan Menteri menyebut Jawatankuasa dipengerusikan oleh pengurusan tertinggi DBKL yang boleh difahami ianya dipengerusikan oleh Datuk Bandar sendiri. Selain Datuk Bandar sebagai pengerusi Jawatankuasa tersebut, siapakah lagi anggota Jawatankuasa? Bagaimana Jawatankuasa ditubuhkan dan anggota-anggota Jawatankuasa dilantik?

Persoalan kedua ialah berkaitan proses meneliti, menganalisa dan memperakukan syarikat yang akan ditawarkan. Bagaimana proses penelitian, penganalisaan dan perakuan dilakukan? Adalah pelik bagaimana Jawatankuasa boleh bertindak meneliti dan menganalisa syarikat untuk ditawarkan pembelian tanah. Kenapa tanah milik DBKL hendak dijual? Untuk apa dijual tanah-tanah milik DBKL? Adakah terdapat suatu polisi jelas di pihak DBKL untuk menjual tanah-tanah milik DBKL?

Persoalan ketiga ialah berkaitan syarikat yang ditawarkan membeli tanah. Bagaimana Jawatankuasa mendapat senarai syarikat yang berhajat membeli tanah? Adakah DBKL membuat tawaran terbuka kepada awam tentang niat untuk menjual tanah?

Persoalan keempat ialah nilai tanah yang dijual. Bagaimana penilaian dibuat oleh Jawatankuasa?

Persoalan kelima berkaitan kegunaan tanah oleh pembeli. Adakah DBKL meletakkan apa-apa syarat kegunaan tanah kepada syarikat yang membeli?

Semua persoalan ini hendaklah dijawab dan diperjelaskan oleh DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan kerana ianya melibatkan tanah-tanah awam dan kepentingan awam.

ZULHAZMI SHARIFF
8 MAC 2017

No comments:

Post a Comment