Friday 17 March 2017

Mengapa Mahathir Dan Lim Kit Siang Berkawan?

Wan Hamidi Ahmad – Bagi kebanyakan orang Melayu, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah pejuang bangsa. Dalam konteks ini, ia membawa dua maksud, iaitu bangsa sebagai kaum dan bangsa sebagai negara (nation).
Mereka yang menyanjunginya pasti tidak lupa amanat terakhir beliau sebagai Presiden UMNO sewaktu berucap di perhimpunan agung parti ke-54 pada Jun 2003 yang mengingatkan ahli dan pemimpin parti agar tidak mengkhianati bangsa, iaitu kedua-dua maksud bangsa; Melayu dan Malaysia.

Mahathir, Melayu dan Bangsa Malaysia
 
Dalam ucapannya beliau antara lain telah menyebut bahawa: “UMNO sebagai satu kumpulan yang penting, jika rosak, akan membawa padah kepada bangsa Melayu, bangsa Malaysia, kepada agama Islam dan kepada negara Malaysia.”

Istilah Bangsa Malaysia terkandung dalam idea beliau yang dirumuskan dalam Wawasan 2020 pada 1991 sebagai satu dasar kerajaan bagi mewujudkan Malaysia sebagai negara maju yang berteraskan kepada rakyat yang berdaya saing dan bermaruah.

Cabaran utama negara, menurut Mahathir sebagai Perdana Menteri pada masa itu, ialah mewujudkan Bangsa Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat dikongsi bersama. Beliau yakin wawasan itu dapat dicapai jika cabaran tersebut dapat dilaksanakan.

Dalam ucapannya melancarkan Wawasan 20200 pada 28 Februari 1991, beliau menjelaskan:
“Cabaran pertama ialah mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama. Ia mesti menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu Bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.”

Kebanyakan orang Melayu bangga dengan kepimpinan Mahathir, terutamanya sepanjang pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun. Orang Melayu bukan sahaja melihatnya sebagai bapa pembangunan moden tetapi juga sebagai pemimpin yang mengangkat taraf orang Melayu.

Malah ramai juga orang bukan-Melayu yang memuja Mahathir, terutama atas dasar ekonomi pasaran bebas (walaupun keutamaan diberikan kepada usahawan Melayu) dan kestabilan politik (dengan kawalan undang-undang termasuk ISA dan kekangan kebebasan bersuara dan media).

Walaupun tidak semua orang menganggap beliau sebagai wira atau tokoh, ia tidak menghalang jutaan ahli UMNO serta sekutu-sekutu parti tersebut untuk memartabatkan Mahathir sebagai tokoh besar Melayu.

Mahathir diserang UMNO-BN

Kini musim berubah. Mahathir yang melihat UMNO pimpinan Najib Razak sebagai sudah rosak, kini berkawan dengan Lim Kit Siang, tokoh veteran DAP yang selama ini dianggap sebagai musuh UMNO-BN.
Namun, bagi Mahathir dan Kit Siang, mereka rela mengetepikan cerita lama demi menyelamatkan Malaysia. Bagi mereka, musuh yang lebih besar adalah Najib Razak yang dilihat sedang membawa kepada keruntuhan bangsa dan negara akibat pentadbiran yang korup, kleptrokrat dan khianat terhadap amanah rakyat.
Di peringkat akar umbi – yang tidak disiarkan oleh media arus perdana – momentum sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan + Bersatu semakin meningkat. Orang Melayu semakin terbuka hati untuk mendekati barisan pembangkang, khususnya mereka yang mengagumi Mahathir, dan mereka yang sebelum ini pernah percaya dengan fitnah terhadap Kit Siang.

Keadaan ini menyebabkan pentadbiran Najib resah. Seperti biasa, melalui kuasa, perundangan dan aparatus negara seperti media yang mereka kawal, UMNO-BN mula menyerang Mahathir dan Kit Siang secara habis-habisan.

Sasaran mereka adalah minda dan hati orang Melayu kerana mereka sedar status UMNO sebagai pelindung orang Melayu semakin rapuh. Ini adalah kerana Mahathir sendiri berkempen sana-sini untuk mendedahkan kepincangan pentadbiran Najib yang dikatakannya bakal merudumkan masa depan orang Melayu.

Apa yang media kawalan UMNO-BN cuba lakukan adalah memastikan orang Melayu tidak akan dipengaruhi Mahathir untuk mengubah kerajaan dalam pilihanraya umum akan datang.

Walaupun mereka tahu Pakatan Harapan + Bersatu tetap berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan yang sememangnya menjadi hak-hak sah Melayu dan kaum-kaum lain, mereka tetap menghamburkan fitnah demi mengekalkan kuasa.

Mereka tidak mahu orang Melayu berpeluang mendengar hujah Mahathir yang antara lain telah menjelaskan: “DAP, Amanah, PKR – ketiga-tiga parti ini telah menyatakan pendirian mereka, iaitu DAP dan rakan-rakan mereka akan patuh kepada Perlembagaan Persekutuan.

Mereka menerima kedudukan Raja-Raja. Menerima Islam sebagai agama rasmi negara. Mereka menerima kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta menerima Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.”

Mereka juga mahu menutup minda dan hati orang Melayu daripada mendengar penjelasan Kit Siang: “Orang Melayu tidak akan berhadapan dengan mimpi ngeri sekiranya UMNO hilang kuasa dalam PRU14 akan datang.

Najib hanya mahu mewujudkan ketakutan dan rasa panik di kalangan orang Melayu bahawa mereka akan kehilangan kuasa politik kepada orang Cina. Jika Najib tewas dalam PRU14, Perdana Menteri akan kekal Melayu dan beragama Islam, dan bukannya seorang bukan-Islam atau bukan-Melayu.”

Tolak perkauman demi harapan baru

Amat malang isu perkauman masih laku dalam politik Malaysia yang sepatutnya lebih matang apabila negara sudah hampir 60 tahun merdeka. Lebih malang lagi apabila generasi muda yang biasanya dianggap golongan berani dan berakal hanya mampu menjadi burung kakak tua untuk menjaja fitnah dan pembohongan.
Sepatutnya, apabila mendengar atau membaca tuduhan yang bersifat melampau atau perkauman, ia perlu diteliti. Seperti mana diri sendiri menjadi bengang dan marah apabila menyedari diri difitnah, seperti itu juga rasanya pihak-pihak yang menjadi mangsa fitnah UMNO-BN.

Kerana itulah Mahathir dan Kit Siang berkawan; demi menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah negara gagal yang bukan sahaja memalukan setiap warga tetapi juga akan menyebabkan setiap rakyat bakal menderita.

Selama mana persahabatan mereka boleh terjalin, ia terpulang kepada keadaan. Sedangkan lidah lagi tergigit, ini kan pula kerjasama mantan seteru politik. Dan seperti yang pernah didengar, politik adalah seni serba mungkin.


Kerjasama Mahathir dan Kit Siang melalui Pakatan Harapan + Bersatu mungkin bakal melahirkan semula usaha untuk mencapai wawasan Bangsa Malaysia, iaitu mencapai kesejahteraan bagi semua kaum termasuk Melayu, dan demi negara (nation).

No comments:

Post a Comment