Thursday 24 September 2020

Guan Eng dan Kit Siang jangka GPS sokong Anwar dalam masa terdekat

 


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata beliau beranggapan bahawa Presiden PKR Anwar Ibrahim berjaya memujuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) supaya bergabung dengan Pakatan Harapan.

Menurut laporan Malaysiakini, Lim, yang kini sedang berkempen di Sabah berkata, Anwar memaklumkan kepada beliau mengenai rancangannya beberapa ketika sebelum membuat pengumuman di sebuah hotel di Kuala Lumpur bahawa beliau mempunyai cukup sokongan untuk membentuk kerajaan baru.

Dalam sidang media semalam, Anwar juga berkata, Yang di-Pertuan Agong telah menerima beliau untuk menghadap walaupun terpaksa ditangguhkan selepas Sultan Abdullah menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada Isnin.

“Anwar memberi gambaran bahawa beliau mendapat sokongan GPS, sekali gus memperoleh majoriti selesa. Dengan adanya GPS, sekurang-kurangnya ada 120 ahli Parlimen,” kata Lim.

Susulan pengumuman Anwar, GPS mengeluarkan kenyataan media menafikan penglibatan dalam rancangan Anwar, selain mengulangi sokongan tidak berbelah bagi kepada pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Selepas itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan ramai ahli Parlimen parti itu menyokong Anwar, walaupun pemimpin Umno lain, termasuk timbalan presiden Mohamad Hasan, menolak pengumuman Anwar sebagai “gimik”.

Lim memberitahu Malaysiakini bahawa parti selain GPS “tidak dijangka” akan bergabung dengan PH.

“Saya cuma mahu kata, kami menjangka ia adalah GPS. Apabila (orang) bercakap tentang parti lain, ia sesuatu yang tidak dijangka,” katanya, selain menambah bahawa beliau tidak dapat berbincang dengan Anwar secara lebih lanjut kerana sambungan tidak baik dan tidak selamat.

Laporan itu juga memetik veteran DAP Lim Kit Siang yang berkata, Anwar pernah memberi jaminan kepadanya bahawa tiada perjanjian akan dibuat dengan pemimpin kontroversi dalam Umno.

“Anwar memberi jamin bahawa beliau tidak menghubungi bekas pemimpin Umno seperti Najib (Razak) dan Zahid atau pimpinan PAS dalam usaha mendapatkan semula mandat rakyat yang dirampas dalam konspirasi ‘Langkah Sheraton’ pada Februari 2020 yang menjatuhkan kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH),” kata beliau.

Kit Siang juga berkata, beliau tidak berhubung dengan Anwar sejak tiba di Sabah pada 14 Sept untuk berkempen dan pengumuman beliau merupakan “kejutan besar kepada saya seperti orang lain juga”.

Sumber:https://klatedaily.com/guan-eng-dan-kit-siang-jangka-gps-sokong-anwar-dalam-masa-terdekat/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook

No comments:

Post a Comment