Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim berkata, Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh yang memberi komen terkait kitab Injil baru-baru ini adalah sikap yang kurang bijak.
Bahkan katanya, Ketua Dewan Ulama Pas itu juga tidak peka dan mencerminkan pemahaman Islam yang rendah tatkala berbahas dengan penganut-penganut agama lain, khususnya dalam konteks ia merujuk pada agama Kristian.
“Saya bertegas menentang retorik fanatik agama atau kaum yang terus memecahbelahkan perpaduan rakyat Malaysia.
“Saat kita paculkan dialog antara umat Islam dan Kristian, ia sewajarnya dipaksikan pada semangat persaudaraan seperti yang ditegaskan Allah SWT yakni, “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu” (Surah Ali ‘Imran :64) yang menyeru persaudaraan atas asas mentaati Tuhan yang satu.
“Jika niat beliau adalah untuk mengajak orang ramai untuk memahami Islam, adalah mustahak untuk menggunakan “kebijaksanaan dan nasihat yang baik” (An-Nahl: 125) yang bermaksud saling menghormati antara satu dengan yang lain,” katanya.
Anwar berkata, jika perkataan itu menimbulkan perseteruan dan kesalahfahaman, maka jalan terbaik adalah menonjolkan kerendahan hati dengan mengakui kemungkinan terdapat kesalahan dalam pendekatan itu.
“Kita mampu membawa dan mencipta kerukunan dengan memperteguh akhlak dan teladan Rasul yang menegaskan tentang aspek kasih sayang dan sikap belas kepada jiran-jiran kita tanpa mengira agama. Dan ini ditonjolkan sendiri oleh Nabi Muhammad SAW melalui kata-kata dan sikapnya.
“Perdana Menteri dalam perutusan kemerdekaan menyatakan bahawa, “Bersatu padu dengan semangat waja, mari bersama kita pertahankan kemerdekaan negara” seharusnya mencerminkan komitmen beliau dalam memperkukuh perpaduan dan menolak faham kefanatikan,” ujar beliau.
Anwar menjelakan, Al Quran memerintahkan ‘fa yusari’una fil khayrat’ yang bermaksud berlumba-lumbalah dalam mengerjakan kebaikan
Bahkan beliau turut menyarankan kepada rakan-rakan Muslim yang berkhidmat di sektor awam agar berlumba-lumbalah dalam membanteras kemiskinan dan membendung jurang pendapatan yang semakin melebar.
“Ini antara nilai kebaikan yang telah diamanahkan oleh pengundi kepada kita.
“Rakyat Malaysia juga sedar bahawa dalam usaha kita dalam mendepani tantangan-tantangan seperti pengangguran, kemunduran ekonomi, tahap pendidikan yang semakin merudum, kebejatan dan kefanatikan agama bergantung pada sikap kita dalam memastikan prinsip keadilan, kesaksamaan dan sikap belas kepada semua dipraktikkan.
“Tidak harus ada yang terkecuali dari hukum, dan keadilan mesti ditegakkan,” katanya.
Sebelum ini, ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat minggu lalu, Zawawi berkata tidak ada agama yang membenarkan penganutnya ‘meminum arak’.
Ekoran itu, Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) kemudiannya bingkas mencelah dan mengatakan bahawa kenyataan Zawawi itu tidak tepat kerana agama lain membenarkan minum arak tetapi tidak memabukkan.
Zawawi bagaimanapun ketika itu mempertahankan kenyataannya dan berkata kitab Injil telah ‘dipesongkan atau diubah’.
No comments:
Post a Comment