Wednesday, 16 September 2020

Manifesto GRS yang dikatakan nampak gah tapi hanya sekadar tin kosong sahaja

 


Parti Warisan Sabah (WARISAN) menyifatkan manifesto hanya akan kekal sebagai sebuah manifesto jika tiada sebarang pelaksanaan dilakukan untuk merealisasikannya.

Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai maklum balas terhadap manifesto yang bakal diumumkan oleh Gabungan Rakyat Sabah hari ini di Kota Kinabalu.

“Manifesto boleh nampak menjadi sangat bagus dan boleh sebut apa sahaja yang terkandung di dalamnya tetapi apa yang paling penting adalah pelaksanaannya.

“WARISAN sudah mengumumkan manifesto tetapi ia bukanlah sebuah manifesto melainkan hanya sebuah visi dan misi untuk melaksanakan apa yang telah kami lakukan sebelum ini.

“Apa yang paling penting untuk kita adalah untuk memastikan bagaimana kita dapat menarik pelabur datang untuk membangunkan Sabah kerana banyak yang boleh ditawarkan jika bercakap dari sumber yang ada di negeri ini.

“Apa pun Gabungan Rakyat Sabah katakan, semua tahu mereka hanya memberitahu bahawa mereka adalah sebuah gabungan tetapi tidak bersatu malah hanya untuk memastikan dapat menarik minat rakyat Sabah.

“Kami sangat jelas dan terang-terangan dalam menonjolkan maksud dan keperluan sesama rakyat Sabah jadi saya pasti rakyat lebih mengetahuinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mohd Nor.

Dalam pada itu, Shafie ketika ditanyakan pemberita mengenai dakwaan WARISAN adalah mesra dengan Parti Liberal Demoktratik (LDP).

“Jangan membuat kesimpulan bahawa mereka LDP amat mesra dengan kita melainkan mereka hanya mahu mengelirukan pengundi kami jadi tolong jangan undi mereka. Undilah WARISAN, DAP, UPKO dan PKR,” katanya.

Dalam pada itu, Shafie juga turut tidak ketinggalan membalas kenyataan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam yang menyarankan beliau harus mengadakan perdebatan bersama Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai siapa yang layak menjadi Ketua Menteri Sabah.

Shafie menyatakan pihaknya boleh menyertai debat itu pada bila-bila masa sahaja namun fokus beliau buat masa sekarang adalah untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Saya berminat dengan debat itu tetapi sekarang saya mahu fokus dengan PRN. Mereka boleh berdebat tetapi saya mahu berjumpa dengan pengundi seramai mungkin kerana Sabah ini sangat luas,” katanya.

Sumber :https://infopertiwi.com/manifesto-grs-nampak-gah-tapi-sekadar-tin-kosong-sahaja/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook

No comments:

Post a Comment