Saturday, 26 September 2020

Serahkan jawatan pilihan yang wajar, berbanding bubar Parlimen



 Serah jawatan atau bubar Parlimen – itulah pilihan yang ada pada Muhyiddin Yassin ketika ini berikutan pengumuman Anwar Ibrahim tentang sokongan majoriti yang ada dalam tangannya sekarang untuk mengambil alih dan membentuk kerajaan baru.

“Kalaulah disebabkan saya sudah tidak mendapat majoriti yang disebutkan oleh Anwar dan saya pun dititahkan untuk menghadap Agong, yang mana ia belum lagi dititahkan, perkara pertama (saya akan melakukan) ialah memaklumkan (Agong) bahawa kalau sudah begitu keadaannya, maka saya akan mengosongkan kerusi (saya),” katanya dalam satu klip video KiniTV.

Pilihan lain, tambah Muhyiddin ialah mencadangkan pembubaran Parlimen kepada Agong.

Dalam situasi sekarang, bermakna Muhyiddin amat sedar bahawa nasib dirinya umpama sedang berada di pergentingan.

Tetapi, yang manakah – antara mengosongkan jawatan Perdana Menteri, seterusnya menyerahkan kepada Anwar mengambil alih kerajaan dan membubarkan Parlimen – akan menjadi pilihan Muhyiddin?

Dalam hal ini, tidak dinafikan, ramai yang menjangka membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihanraya awal adalah pilihan yang paling wajar buat Muhyiddin.

Diperkatakan ramai, dengan pembubaran itu, maka hasrat Anwar untuk menjadi Perdana Menteri tidak akan kesampaian.

Seterusnya, apabila diadakan pilihanraya pula, belum tentu lagi Anwar dan PH mampu memenanginya.

Dalam keadaan tersebut, terutamanya kepada pembenci Anwar, mereka berhujah bahawa akan tertutup teruslah peluang Presiden PKR itu untuk menduduki kerusi Perdana Menteri buat selama-lamanya.

Tidak kurang yang berhujah bahawa sokongan UMNO kepada Anwar pun bukan untuk menjadikannya sebagai Perdana Menteri, tetapi lebih bertujuan agar PRU dapat segera diadakan.

Ternampak sekali pandang, memang diakui membubarkan Parlimen adalah pilihan yang paling munasabah untuk diambil oleh Muhyiddin.

Tetapi, harus diingat, sokongan kepada Anwar kali ini sebahagiannya datang daripada UMNO dan ini bermakna, UMNO sudah bersedia untuk meninggalkan Bersatu dan berlawan dengan parti itu di semua kerusi yang ditandinginya dalam PRU akan datang.

Apakah Bersatu ada keupayaan untuk menang bila berlawan dengan UMNO?

Lebih buruk lagi nasib Muhyiddin jika Pas yang sudah bermuafakat dengan UMNO turut mengambil keputusan tidak mahu bersama lagi dengan Bersatu.

Maka, macam mana Muhyiddin mahu mengemudi Bersatu menghadapi pilihanraya tanpa ada rakan yang kuat bersamanya?

Dalam kemungkinan lain, katalah Pas memilih untuk bersama dengan Bersatu dalam PN dan meninggalkan UMNO, sejauh manakah pula kekuatan dua parti bila bergabung dan mampukah ia memperolehi kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan?

Lebih-lebih lagi apabila Pas mengambil keputusan untuk bersama dengan Bersatu dan meninggalkan UMNO, pertandingan dalam PRU nanti akan menjadi pertembungan tiga penjuru – PN, BN dan PH.

Dalam sifir yang mudah, jika tiga penjuru, pihak yang berpotensi untuk menang ialah sama ada BN atau PH, manakala PN langsung tidak ada kelibatncahaya di hujung terowong.

Dalam erti kata lain, memilih untuk membubarkan Parlimen dan bertanding lagi, lebih memberi jaminan kekalahan buat Muhyiddin dan tetap kehilangan jawatan Perdana Menterinya.

Bukankah dengan itu hanya suatu pembaziran, bahkan jalan yang memalukan saja jika Muhyiddin memilih untuk membubarkan Parlimen?

Mahu tidak mahu, jika terbukti sokongan majoritinya sudah tiada, Muhyiddin harus berjiwa besar dengan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.

Tambahan lagi, dengan gelombang Covid-19 yang seakan-akan muncul kembali, ekonomi negara kekal parah dan tempoh penggal Parlimen masih panjang iaitu sehingga tahun 2023, menyegerakan pilihanraya hanya akan menambahkan lagi beban serta perit derita negara ini.

Apakah di pengakhiran kariernya, Muhyiddin sanggup memusnahkan negara sebegitu rupa?

Dengan sedia melepaskan jawatannya kepada Anwar, Muhyiddin bukan saja akan dikenang sebagai pemimpin yang berjiwa besar dan lebih mementingkan masa depan negara, malah inilah peluang untuk beliau membuktikan kata-katanya sebelum ini – Saya Bukanlah Seorang Yang Kemaruk Kuasa.

Sumber:https://malaysiadateline.com/berbanding-bubar-parlimen-serah-jawatan-kepada-anwar-pilihan-wajar-buat-muhyiddin/?fbclid=IwAR2T3okLprOA-VApQe-HYg5iv_rMJZ1S-e_pBOEXNt-UEMmvGWqX7E6YnGQ#.X27-ovEv5D0.facebook

No comments:

Post a Comment