Wednesday, 2 September 2020

PRN Sabah: Amanah tanding guna lambang Warisan

Semua calon Amanah akan menggunakan lambang Warisan dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah, kata Pengarah Komunikasi Khalid Abd Samad.

Katanya, keputusan itu dibuat sebagai tanda solidariti parti itu dengan Warisan dan Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal, kerana berjaya menghalang rampasan kuasa di negeri di bawah bayu itu.

“Amanah berdiri teguh bersama Shafie dan Warisan dalam berjuang untuk mempertahankan kedaulatan rakyat Sabah yang dicabuli golongan pengkhianat ini.

“Sebagai tanda solidariti dan kebersamaan, Amanah telah memutuskan bahawa calon-calon Amanah akan menggunakan lambang Warisan semasa bertanding dalam PRN yang bakal diadakan September ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khalid berkata keputusan itu adalah tanda sokongan Amanah terhadap Shafie selaku ketua menteri Sabah yang sah.

“[...] jawatan ini wajar dikembalikan kepadanya. Amanah bersetuju bahawa kedudukan ketua menteri perlu ditetapkan oleh rakyat Sabah, melalui sebuah parti Sabah itu sendiri dan bukan oleh pihak semenanjung,” katanya lagi.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengumumkan pelantikan pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin untuk mengetuai usaha BN dalam merampas semula kerajaan negeri itu.

Sekiranya BN menang PRN nanti, Bung juga diberi kuasa untuk menentukan siapa yang bakal menjadi ketua menteri.

“Oleh itu, walaupun PRN ini satu peluang baik untuk Amanah memperkenalkan lambangnya, namun tanda solidariti dan kebersamaan diberikan keutamaan,” kata Khalid lagi.

Dalam PRU14, Amanah meletakkan seorang calon di bawah lambang PKR di Merotai, iaitu DUN dalam parlimen Kalabakan, yang kini dipegang Sarifuddin Hatta dari Warisan.

Pada masa itu, Amanah tidak terlibat dalam rundingan rasmi agihan kerusi antara PKR, DAP dan Warisan, tetapi Malaysiakini difahamkan bahawa rundingan kini sedang berjalan dengan Warisan untuk parti itu bertanding sekurang-kurangnya satu kerusi.

Sumber yang dekat dengan rundingan berkenaan berkata Amanah tidak akan bertanding semula di Merotai, sebaliknya diberikan kerusi Tanjung Keramat, iaitu DUN baru dalam parlimen Putatan.

“Tetapi Amanah masih mahu berunding untuk tambah kerusi. Sekiranya dapat, amanah akan bertanding di kerusi yang berjaya dirunding. Jika tidak, satu kerusi sahaja (Tanjung Keramat),” kata sumber Amanah Sabah.

Katanya lagi, rundingan itu membabitkan sekurang-kurangnya dua lagi kerusi di kawasan parlimen Pitas dan Kota Marudu.

“Amanah tak akan bertanding (dan) bertembung dengan Warisan, PH, dan Upko dalam PRN ini," kata sumber itu lagi.

No comments:

Post a Comment