Wednesday 16 September 2020

MP DAP soal ,Apakah Bung Mokhtar sudah berubah?

 


Ketika Umno telah mengingkari setiap satu daripada janji yang dibuatnya sejak parti tersebut mula bertanding di Sabah pada PRU 1994 sehingga sekarang, bolehkah calon Ketua Menteri Sabah, Datuk Bung Mokhtar Radin menjelaskan bagaimana parti itu dan BN hari ini telah berubah.

Itulah persoalan yang perlu dijawab sendiri oleh setiap pengundi di Sabah hari ini sebelum mereka membuang undi 26 September ini, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Ini kerana, ketika melancarkan manifesto bersama BN dan PN serta rakan-rakannya, Bung Mokhtar berkata, Umno hari ini telah berubah berbanding dengan Umno sebelum ini.

Semasa pelancaran manifesto Aku Janji gabungan parti politik beliau, beliau mengatakan yang Umno Sabah dan BN telah berubah, daripada segi pimpinan, keterampilan, dan organisasinya, kata Kit Siang (gambar).

Beliau berkata: “Kenapa kami berubah? Kerana kami mahu menawan hati rakyat dan meyakinkan rakyat untuk menyokong kami.”

“Beliau mengatakan yang Aku Janji ini akan dikotakan 100 peratus,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu lagi.

Tetapi, katanya, adakah Umno Sabah dan BN telah berubah?

“Apakah perbezaan Aku Janji mereka ini dengan janji-janji yang mula dibuat Umno apabila mereka bertanding buat pertama kali dalam Pilihan Raya Umum di Sabah pada tahun 1994?

“Mari kita semak semula janji-janji Sabah Baharu yang dibuat Umno pada Pilihan Raya Umum 1994,” kata beliau lagi dalam ceramahnya di Sandakan malam tadi.

Pertamanya, Umno menjanjikan untuk menurunkan kadar kemiskinan di Sabah daripada 33 peratus pada tahun 1994 kepada sifar menjelang tahun 2000.

“Sabah adalah salah satu negeri terkaya dalam negara kita, namun selepas lebih daripada setengah abad berada di dalam Malaysia, rakyat Sabah masih berada dalam kalangan golongan termiskin di dalam negara kita, senasib dengan rakyat Kelantan. Ini bukan kemajuan, tetapi kemunduran,” katanya.

Tambahnya, tahun 2000 telah datang dan pergi, tetapi kadar kemiskinan di Sabah kekal sebagai antara yang tertinggi dalam negara.

Janji untuk mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah kepada sifar ini telah diperbaharui oleh Umno di bawah pimpinan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Badawi, tetapi tahun sasarannya telah diubah kepada 2010.

“Tahun 2010 juga telah datang dan pergi, malah kita sekarang berada pada tahun 2020 dan sasaran sifar kadar kemiskinan di Sabah masih tinggal angan-angan, sedangkan kadar kemiskinan di Sabah masih lagi merupakan antara yang tertinggi dalam negara,” katanya.

Kedua, katanya, pada tahun 1994, Umno menjanjikan untuk menghapuskan kadar buta huruf kepada sifar pada tahun 2000, “namun seperti penghapusan kadar kemiskinan, tahun 2000 dan 2010 telah datang dan pergi dan kita kini berada di dalam tahun 2020 dan objektif ini masih kekal sebagai satu angan-angan.”

Ketiga, tambahnya, pada tahun 1994, Umno berjanji untuk menghapuskan rasuah di Sabah.

“Perkara ini juga kekal sebagai angan-angan. Malah, Sabah adalah salah sebuah negeri yang mempunyai masalah rasuah yang teruk, di mana pemimpin politik yang korup dilihat seakan-akan kebal daripada pendakwaan,” katanya.

Keempat, pada tahun 1994, Umno menjanjikan untuk memberikan setiap rakyat Sabah sebuah rumah menjelang tahun 2000.

“Mari kita tanyakan rakyat Sabah, sama ada setiap seorang mereka telah menerima sebuah rumah daripada kerajaan yang dipimpin Umno, pastinya jawapannya tidak,” kata beliau lagi.

Kelima, pada tahun 1994, Umno telah menjanjikan untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin di Sabah.

“Kini, 26 tahun selepas janji ini, masalah pendatang tanpa izin kekal sebagai satu masalah yang rumit dan sukar diselesaikan.

“Sudah ada Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai masalah ini, namun, perkara ini masih kelihatan jauh daripada penyudahannya,” katanya.

Sumber : https://malaysiadateline.com/apakah-bung-mokhtar-sudah-berubah-soal-mp-dap/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook

No comments:

Post a Comment