Oleh Lim Guan Eng
(Setiausaha Agung DAP)
2 lagi pertuduhan tambahan terhadap saya pada hari ini adalah tidak berasas, bermotifkan politik, suatu penyalahgunaan kuasa oleh sebuah kerajaan yang tidak dipilih rakyat untuk mencemarkan dan merosakkan reputasi saya menjelang pilihan raya umum sama ada di Sabah atau di peringkat nasional. Sama ada ini adalah usaha untuk mencacatkan persiapan kami untuk pilihan raya di Sabah, atau satu tindakan balas dendam politik, atau cubaan mengalihkan perhatian daripada pelbagai kontroversi atau skandal kerajaan yang tidak dipilih rakyat ini memang terbuka kepada spekulasi awam.
Saya akan membuktikan bahawa saya tidak bersalah di mahkamah, terutamanya apabila tiada wang rasuah atau wang suapan dijumpai sama ada di dalam akaun bank peribadi saya atau dalam pemilikan saya berbentuk wang.
Adalah mengecewakan bahawa pihak berkuasa yang berkenaan, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), telah membenarkan diri mereka dipergunakan atau disalahgunakan untuk melakukan penganiayaan politik (political witch hunt) terhadap saya berdasarkan bukti yang tidak kukuh. Sebaliknya, tiada tindakan yang sama diambil oleh SPRM terhadap pemimpin kerajaan PN sekarang sungguhpun mempunyai fakta kes yang tidak dapat disangkal atau wujudnya bukti yang kukuh. Antara dua darjat?
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga saya, semua ahli parti dan penyokong kerana kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap integriti saya. Penghargaan saya kepada rakyat Malaysia yang menyokong kuat dan menyumbang kepada “Dana Solidariti RM10 setiap orang bersama Lim Guan Eng”, yang mengumpulkan RM 4 juta dalam seminggu. Saya terharu dengan sokongan orang ramai dan kepercayaan teguh mereka terhadap integriti saya dan pendirian berprinsip DAP melawan rasuah.
Dua pertuduhan baru ini sekali lagi berkaitan dengan projek terowong dan 3 lebuh raya (projek terowong) yang dianugerahkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang pada tahun 2013 kepada Konsortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG). CZBUCG dianugerahkan kontrak tersebut melalui tender terbuka oleh Jawatankuasa Perolehan Negeri, yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan dianggotai oleh pegawai kanan kerajaan. Walaupun saya bukan anggota Jawatankuasa Perolehan Negeri, saya tetap dituduh berdasarkan kecenderungan terkini bahawa “Semua salah Lim Guan Eng”.
Walaupun telah disoal siasat 5 kali oleh SPRM mengenai perkara ini, tiada soalan yang diajukan kepada saya mengenai ganjaran atau wang suapan yang sepatutnya ada di dalam akaun bank saya atau dalam bentuk wang tunai. Oleh kerana pihak berkuasa tidak dapat menjumpai wang suapan dalam pemilikan saya, adakah ini menjadi punca isteri saya Betty Chew, didakwa kerana menerima RM372,000 / -.
Perkara ini tidak masuk akal kerana isteri saya adalah seorang peguam yang berkelayakan dan RM372,000 adalah bayaran kepada khidmat rundingan guamannya, yang diterima dalam jangka masa 2 tahun, bukan bayaran sekali gus. Pihak berkuasa mungkin terlalu terdesak sehingga berusaha mengaitkan bayaran khidmat rundingan guaman yang diterima oleh isteri saya sebagai wang suapan yang diterima oleh saya.
Terdapat empat percanggahan atau kontradiksi dalam dua pertuduhan terhadap saya hari ini.
• Bagaimana mungkin berlakunya rasuah ketika tiada wang suapan yang dijumpai dalam pemilikan saya, dan isteri saya tidak memiliki wang tunai ratusan juta, barang kemas mahal dan ratusan beg tangan berjenama?
• Bagaimana mungkin berlakunya rasuah atau penyalahgunaan kuasa apabila projek terowong tersebut dianugerahkan melalui tender terbuka dan semua keputusan dibuat oleh pegawai kerajaan negeri, EXCO atau jawatankuasa teknikal khusus dan tidak diputuskan oleh saya seorang?
• Bagaimana mungkin berlakunya rasuah atau penyalahgunaan kuasa apabila pembayaran yang dibuat kepada CZBUCG perlu mendapat kelulusan daripada pegawai kerajaan negeri Pulau Pinang, setelah mendapat kebenaran daripada firma perunding kejuruteraan profesional bebas yang dilantik melalui tender terbuka?
• Bagaimana mungkin berlakunya rasuah apabila CZBUCG pada tahun 2019, secara terbuka melalui media menafikan memberi rasuah kepada mana-mana pegawai kerajaan negeri Pulau Pinang, dan bahawa SPRM telah mengesahkan syarikat dan Pengerusinya tiada terlibat dalam sebarang perlakuan rasuah atau korupsi?
Berani kerana benar. Amar makruf nahi mungkar. — Roketkini.com
No comments:
Post a Comment