Tuesday, 15 September 2020

Muafakat Nasional sudah tinggal kenangan, kini tersungkur di kaki MCA

 


Hari ini merupakan ulangtahun termenterainya piagam Muafakat Nasional, sekaligus merupakan hari terbentuknya Muafakat Nasional. Muafakat Nasional merupakan sebuah gagasan kerjasama politik antara dua parti Melayu-Islam terbesar, iaitu UMNO dan PAS.

Tiada MCA. Tiada MIC.

Muafakat Nasional bermula dari bangkitnya UMNO dan PAS daripada kesenduan mereka setelah UMNO jatuh dengan sangat teruk dalam PRU-14. Lebih parah lagi pada waktu itu, ramai wakil rakyat mereka yang lompat ke dalam blok Pakatan Harapan.

Pada mulanya, pergerakan dan persefahaman mereka adalah atas nama ‘Perpaduan Ummah’ di mana kita saksikan bagaimana mereka bersatu-padu memperjuangkan isu-isu Melayu Islam dengan sangat lantang. Termasuklah dalam isu sekolah vernakular, hak istimewa orang Melayu, tanah rizab Melayu, kedaulatan Islam dan sebagainya.

Sewaktu itu, NGO-NGO Islam begitu aktif dilibatkan dalam perjuangan-perjuangan tersebut, termasuklah membantah ratifikasi ICERD, membantah ratifikasi Statut Rom, membantah pengiktirafan UEC dan sebagainya. Malah, parti-parti Melayu-Islam kecil seperti BERJASA dan IKATAN sering dilibatkan di atas pentas yang sama dalam siri-siri ceramah dan himpunan.

Ketika itu, tiada rasa segan silu langsung untuk bercakap mengenai hak Melayu, hak Islam dan identiti nasional. Inilah yang membuat rakyat sangat teruja dan mendokong gelombang ini.

Tetapi maaf cakap, semua itu tinggal kenangan. Aspirasi Muafakat Nasional yang kita idam-idamkan sudah semakin kabur terutamanya ketika MCA dijulang di PRK Tanjung Piai atas nama ‘Muafakat Nasional’. Dari situ, MCA yang sepatutnya sudah lama mati, mendapat hayatnya kembali.

Dari situ, kemarahan orang Melayu terhadap MCA yang banyak kontroversi sebelum ini terutamanya ketika pernah satu ketika mereka menyatakan hasrat untuk keluar daripada Barisan Nasional ketika UMNO sedang tenat dahulu, sudah semakin kendur malah dilupakan. Malah, MIC juga sudah mula berani menuntut-nuntut kerusi majoriti Melayu sebagai bekalan untuk PRU-15 nanti.

Selepas menjadi sebahagian daripada kerajaan, MCA dan MIC mendapat pelbagai habuan walaupun tiada sedikit pun sumbangan dalam menguatkan naratif Melayu-Islam yang menjadi tunjang kepada penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan. Semua ini hanya bagi membuktikan Muafakat Nasional tidak rasis, dan itulah yang diratib sampai sekarang.

Malah, sudah ada suara yang kuat untuk memasukkan MCA dan MIC sebagai komponen Muafakat Nasional secara rasmi daripada pimpinan Muafakat Nasional sendiri. Sudahlah apabila mereka tidak ada di dalam secara rasmi pun, banyak telah dikompromi. Kita tidak boleh bayangkan bagaimana apabila mereka dimasukkan secara rasmi.

Kepada pimpinan Muafakat Nasional iaitu UMNO dan PAS, ingatlah dan renungilah kembali akan teras Piagam Muafakat Nasional, iaitu agenda ‘Penyatuan Ummah’ yang termaktub dalam perenggan pertama piagam tersebut. Hubungkan sekali dengan kronologi-kronologi peristiwa yang menjadi sebab kepada kewujudan Muafakat Nasional.

Selamat menyambut ulang tahun setahun Muafakat Nasional, semoga kalian kembali ke landasan asal permuafakatan tersebut.

Daripada sahabatmu,

Aminuddin Yahaya

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

14 September 2020

Sumber :https://mhdaily.net/muafakat-nasional-sudah-tinggal-kenangan-kini-tersungkur-di-kaki-mca/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook

No comments:

Post a Comment