Sunday 6 September 2020

Pinda segera akta berkaitan pencemaran, elak krisis air berulang



KUALA LUMPUR – Sungai perlu dipandang sebagai kawasan keselamatan negara dan diberikan zon penampan lebih luas untuk menghentikan pencemaran sungai dan menyebabkan bekalan air terputus.

Ketua Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, undang-undang berkaitan pencemaran air perlu diperketatkan bagi menghalang kejadian berulang sehingga menjejaskan ramai pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Penutupan empat loji rawatan air pada Khamis yang lalu serta terputus bekalan air telah dikenalpasti berpunca daripada Kilang Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd / AYY Construction Sdn Bhd.

“Pengendali kilang tersebut ketika ini masih dalam tahanan reman dan pihak berkuasa telah mendedahkan bahawa kilang terbabit pernah melakukan kesalahan yang sama dan telah didenda RM60,000 pada Mac yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Pemuda Amanah menyambut baik saranan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk melakukan pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pada sesi sidang Dewan Negeri Selangor akan datang.

“Cadangan pindaan adalah dengan meningkatkan denda kepada nilai RM1 juta dan turut melibatkan beberapa lagi peruntukan lain,” katanya.

Dalam masa sama, Kerajaan Persekutuan juga perlu meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 seperti Seksyen 34B(1) misalnya, dan Menteri Alam Sekitar wajar menggunakan Seksyen 51(1) untuk penggubalan peraturan-peraturan yang lebih ketat.

“Pokoknya, undang-undang ini perlu dipinda kepada hukuman lebih berat dan sebatan bagi memberi pengajaran kepada masyarakat umum kepentingan pemeliharaan sumber air,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment