Veteran DAP Lim Kit Siang meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah untuk menyatakan pendirian berkenaan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) - yang dikenali sebagai penyebar propaganda kerajaan BN sebelum ini.
Kata Lim, Saifuddin setakat ini belum menafikan laporan yang menyatakan dia tidak tahu Jasa diberikan peruntukan sebanyak itu, yang mecetuskan kritikan daripada pelbagai pihak.
“Saifuddin tidak membantah laporan lima hari yang lalu (berkenaannya)...Sekiranya Saifuddin bukan orang yang akan bertanggungjawab dan mengendalikan Jasa, siapakah yang akan memegang jabatan ini?
“Apa jenis tadbir urus yang ada di Malaysia jika seorang menteri tidak bertanggungjawab dan mengendalikan agensi di kementeriannya sendiri?" soalnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut laporan The Malaysian Insight pada 10 November lalu, sumber mendakwa Saifudin tahu bahawa agensi itu akan dihidupkan semula tetapi tidak tahu-menahu dengan jumlah peruntukan yang disediakan.
“Beliau terkejut apabila nampak jumlah itu. Beliau tidak pernah minta sebanyak itu diperuntukkan untuk Jasa,” kata sumber itu, yang turut memaklumkan Saifuddin telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Mohammad Mentek untuk menyiasatnya.
Dalam pada itu, Lim turut mencabar Saifuddin untuk menyatakan tujuan Jasa dikembalikan dan apakan dia akan menentangnya secara terbuka.
Laporan The Malaysian Insight itu turut memetik timbalan Saifuddin, Zahidi Zainul Abdin sebagai berkata peruntukan RM85.55 juta itu dipersetujui setelah perbincangan dan ia antara lain untuk membela nasib lebih 1,000 kakitangannya yang diberhentikan pentadbiran PH ketika menutup agensi itu sebelum ini.
Lim turut memetik penjelasan seorang bekas pegawai tugas-tugas khas di Kementerian Komunikasi dan Multimedia sebelum ini yang berkata Jabatan Penerangan mempunyai kakitangan dan kepakaran yang cukup untuk menyampaikan maklumat untuk mengekang kekeliruan berhubung wabak Covid-19.
"(Justeru) Bolehkah Menteri Kewangan Tengku Zafrul (Tengku Abdul Aziz) dan Saifuddin kemudian menjelaskan mengapa perlunya ditubuhkan sebuah agensi lain dengan mengembalikan semula Jasa?” soalnya.
Terdahulu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia menjelaskan Jasa akan bertindak sebagai agensi penyebaran maklumat secara "tersusun, strategik serta bersasar" dan peranannya amat penting ketika negara sedang menghadapi wabak itu.
Kementerian itu juga memberi jaminan agensi itu akan dianggotai pasukan yang tidak bermotifkan politik dan peruntukan akan dimanfaatkan untuk melaksanakan tugasnya secara berkesan.
Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/550992
No comments:
Post a Comment