Presiden PKR Anwar Ibrahim mengecam kerajaan Perikatan Nasional (PN) ekoran keputusan penutupan sekolah sehingga akhir tahun ini tanpa mengambil kira nasib para pengusaha kantin.
"Saya ambil maklum mengenai lebih 10,000 pengusaha kantin di seluruh negara terkesan ekoran keputusan penutupan sekolah sehingga 17 Disember ini. Ini dikhuatiri akan memaksa mereka untuk gulung tikar akibat ketidakmampuan menanggung bebanan kos operasi harian.
"Keputusan tergesa-gesa tanpa ambil kira nasib para pengusaha kantin adalah mengecewakan," kata Anwar dalam satu kenyataan hari ini.
"Saya tuntut penjelasan dan tindakan segera dari kerajaan, terutamanya Menteri Pendidikan (Mohd Radzi Jidin) berhubung isu ini," tambahnya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menggesa kerajaan untuk pertimbangkan cadangan memberi geran bantuan dan lanjutkan kontrak perkhidmatan mereka.
"Saya nasihatkan kerajaan untuk fikir dan teliti setiap aspek sebelum membuat keputusan yang akan mengesankan rakyat terbanyak, terutamanya ketika zaman getir seperti hari ini," katanya.
Pada Ahad, Mohd Radzi mengumumkan bahawa semua sekolah yang ditadbir Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) - termasuk di negeri yang tidak dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat - akan ditutup mulai 9 Nov sehingga hari akhir persekolahan (18 Disember 2020).
Katanya pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan menyebabkan 74 peratus sekolah di bawah KPM ditutup.
Hanya sekolah di Kelantan, Perlis, Pahang dan Sarawak yang tidak terkesan dengan pelaksanaan PKPB berkenaan.
Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik juga menggesa kementerian untuk mengambil kira nasib lebih dari 600,000 murid penerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang tidak boleh ke sekolah.
Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/550395?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook&fbclid=IwAR0kE65LTiYVTLNI2MAY0SYilXOAqr4_vXSwDXuB6yV6AzuSpf6_8urh8qE
No comments:
Post a Comment