Tuesday 10 November 2020

Lancar semula "era pemomokan", Muhyiddin hidupkan semula JASA dalam Belanjawan 2021

 


Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjanjikan dalam perutusan pertama beliau pada bulan Mac untuk menjadi Perdana Menteri bagi pihak semua rakyat Malaysia, tetapi Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz pada hari Jumaat lepas mendustakan janji Perdana Menteri ini kerana belanjawan tersebut menambah polarisasi dan bukannya menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya dalam negara kita.

Di Amerika Syarikat, Presiden-terpilih ke-46 Joe Biden telah berjanji untuk menamatkan “era pemomokan” yang berlaku di bawah Trump, tetapi Muhyiddin di Malaysia berhasrat untuk melakukan perkara yang berlawanan pula dengan melancarkan satu “era pemomokan” dengan pengembalian semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dalam Belanjawan 2021.

Kerajaan Pakatan Harapan telah membubarkan JASA memandangkan badan ini merupakan alat propaganda dan badan penyebar penipuan utama kerajaan Najib, di mana Ketua Pengarahnya lebih berkuasa daripada seorang Menteri Kabinet.

Malah, Ketua Pengarah JASA ini merupakan seorang yang lebih tinggi daripada Menteri, dengan gaji yang lebih tinggi berbanding dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, di mana JASA ini diletakkan secara rasmi sebagai sebuah jabatan, dan Ketua Pengarah JASA ini berntanggungjawab secara terus kepada Perdana Menteri dan bukannya kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Semasa pemerintahan Najib, JASA adalah badan yang paling tidak patriotik dan tidak bertanggungjawab yang melanggari kelima-lima prinsip Rukun Negara dan merupakan agensi utama kerajaan yang menyebarkan penipuan yang mengatakan skandal kewangan 1MDB sebagai “berita palsu” dan dalam pada masa yang sama, memomokkan DAP dengan mengatakan DAP sebagai anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, malah komunis, untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu 1MDB dan kleptokrasi.

Saya amat terkejut melihat kerajaan Perikatan Nasional bukan sahaja memutuskan untuk mengembalikan JASA yang merupakan agensi pemomokan utama kerajaan Najib, tetapi memperuntukkannya dengan belanjawan yang teramat besar, sejumlah RM85.5 juta untuk tahun hadapan, yang hampir tiga kali ganda (RM30 juta) jumlah peruntukan yang diberikan kepada agensi tersebut dalam tahun terakhir pemerintahan Najib.

Nampaknya, kerajaan Perikatan Nasional ini telah berpusing semula ke arah yang sama seperti kerajaan UMNO-Barisan Nasional yang ditolak rakyat pada 9 Mei 2018.

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan mengatakan yang JASA di bawah kerajaan Perikatan Nasional bukan lagi satu unit propaganda.

Beliau berkata: “Era tersebut telah berlalu”.

Wan Saiful tidak memahami apa yang dikatakan oleh beliau.

Apa yang lebih tepat adalah yang dikatakan oleh mantan Ketua Pengarah JASA sendiri, Mohd Puad Zarkashi yang mengatakan lumrah JASA itu adalah satu badan politikal dan tidak ada sebarang sebab untuk menyorokkan hakikat tersebut.

Puad mengatakan JASA adalah sebuah agensi untuk menyebarkan maklumat dan menjalankan komunikasi strategik untuk kerajaan.

Beliau mengatakan, kerajaan memerlukan alat untuk menyampaikan maklumat.

“Apa salahnya dengan perkara tersebut?” tanya beliau.

Ketidak-gembiraan Puad tidak datang daripada hakikat peruntukan JASA ini meningkat tiga kali ganda, sebaliknya hanya kerana JASA yang baru dikembalikan semula ini tidak diketuai oleh seseorang daripada UMNO, tetapi daripada Bersatu.

Jadi, adakah Ketua Pengarah JASA Baharu ini akan sekali lagi menjadi seorang Super-Menteri, yang dibayar lebih tinggi daripada Menteri dan hanya bertanggungjawab kepada Perdana Menteri sahaja, dan bukannya kepada Menteri di mana agensi ini diletakkan?

Jika Perdana Menteri mahukan sokongan semua Ahli-ahli Parlimen terhadap Belanjawan 2021 ini, beliau perlu menggugurkan idea buruk mengembalikan JASA ini sebagai sebuah alat propaganda yang mengetuai usaha-usaha memomokkan DAP dan para pembangkang kerajaan PN.

Peruntukan RM85 juta ini sepatutnya disalurkan kepada usaha menggalakkan perpaduan dalam rakyat yang berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya dalam negara kita yang bertanggungjawab terhadap sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersifat bipartisan.

(Kenyataan Media Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri di Parlimen pada hari Isnin, 9 November 2020)

Sumber: https://blog.limkitsiang.com/2020/11/09/biden-promised-to-end-trumps-era-of-grim-demonization-but-muhyiddin-wants-to-do-the-opposite-and-launch-a-new-trumpian-era-of-demonization-with-the-reviva/#more-41315

No comments:

Post a Comment